Saibari sah milik Bayern, impian 'budak' Maghribi jadi kenyataan

Saibari sah milik Bayern, impian ‘budak’ Maghribi jadi kenyataan

AKSI Penyerang Maghribi, Ismael Saibari (baju putih) ketika menentang Belanda pada pusingan ke-32 Piala Dunia 2026.-AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNICH: Juara Bundesliga, Bayern Munich terus memperkukuhkan kekuatan jentera serangan mereka apabila berjaya mendapatkan khidmat penyerang sensasi Maghribi, Ismael Saibari dari PSV Eindhoven.

Walaupun Bayern tidak mendedahkan nilai rasmi perpindahan tersebut, beberapa laporan media Eropah menganggarkan gergasi Jerman itu membayar sehingga 55 juta euro (RM257 juta) bagi mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun berkenaan.

Ketibaan Saibari dianggap sebagai satu lagi pelaburan besar daripada Bayern yang terus agresif memperkemaskan skuad mereka dalam usaha mengekalkan dominasi domestik serta kembali mencabar kejuaraan Eropah musim depan.

Bagaimanapun, penyokong Bayern perlu menunggu sedikit masa untuk melihat aksi pemain itu di Allianz Arena apabila Saibari akan terus bersama skuad kebangsaan Maghribi bagi menghadapi baki kempen Piala Dunia 2026 sebelum menyertai kelab baharunya sebaik sahaja kejohanan berakhir.

Saibari tiba di Munich dengan reputasi yang semakin meningkat selepas beberapa musim cemerlang bersama PSV.

Sejak menyertai kelab Belanda itu dari KRC Genk pada 2020, dia telah meledakkan 42 gol dalam 142 penampilan dalam semua pertandingan dan muncul antara pemain paling berpengaruh dalam skuad PSV.

Prestasi terbaiknya hadir musim lalu apabila menjaringkan 15 gol dalam 27 perlawanan liga, sekali gus membantu PSV menjulang kejuaraan Eredivisie buat musim ketiga berturut-turut.

Ketajaman penyudah, keupayaan mencipta peluang dan versatilitinya di bahagian serangan menjadikan dia ntara pemain paling dikehendaki di Eropah ketika ini.

Dalam kenyataan pertamanya sebagai pemain Bayern, Saibari mengakui perpindahan itu merupakan detik yang diimpikannya sejak kecil dan menyifatkan peluang menyarung jersi kelab Bavaria itu sebagai satu penghormatan besar dalam kariernya.

“Sejak kecil, anda bermimpi untuk menandatangani kontrak dengan kelab seperti Bayern. Semua orang tahu ia antara kelab terbesar di dunia.

“Bayern sentiasa bersaing untuk trofi terbesar termasuk Liga Juara-Juara setiap tahun. Saya mahu memenangi sebanyak mungkin trofi dan membantu pasukan mencapai kejayaan,” katanya.

Ketika Bayern menaruh harapan tinggi terhadap rekrut baharu mereka, Saibari turut membuktikan nilainya di pentas antarabangsa apabila menjadi antara tonggak utama Maghribi pada Piala Dunia kali ini.

Selain menjaringkan gol ketika menewaskan Scotland dan Haiti, dia juga tenang menyempurnakan sepakan penalti penentu ketika membantu Maghribi menyingkirkan Belanda pada pusingan 32 terbaik.-AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN