MIAMI: Biarpun pada awalnya, dianggap hanya pelengkap jadual ketika saingan bermula, Cape Verde kini bersedia menulis satu lagi babak luar biasa dalam kempen sulung mereka di Piala Dunia apabila berdepan juara bertahan, Argentina, pada aksi pusingan 32 terbaik awal pagi Sabtu ini.
Di atas kertas, wakil Afrika itu dilihat berdepan tugas mustahil untuk menumbangkan pasukan yang dibarisi bintang dunia dan diketuai Lionel Messi namun Cape Verde sudah membuktikan bahawa mereka bukan pasukan yang mudah menyerah kalah.
Kejayaan mengikat dua bekas juara dunia, Sepanyol dan Uruguay dalam saingan kumpulan membolehkan mereka melakar sejarah mara ke pusingan kalah mati, sekali gus meneruskan kisah dongeng yang menjadi perhatian ramai di kejohanan kali ini.
Bagi pembantu jurulatih Cape Verde, Humberto Bettencourt, pertemuan dengan Argentina bukanlah satu beban atau nasib malang, sebaliknya peluang istimewa untuk menguji kemampuan pasukannya di pentas tertinggi dunia.
“Ia satu penghormatan untuk berdepan Argentina,” katanya ketika ditemui di kem latihan pasukan di Tampa.
Menurut Bettencourt, segala ramalan dan statistik yang memihak kepada Argentina tidak membawa makna besar apabila wisel perlawanan ditiup kerana sejarah bola sepak telah banyak kali membuktikan bahawa kejutan mampu berlaku pada bila-bila masa.
“Statistik hanyalah teori. Bola sepak sudah berkali-kali membuktikan bahawa apa yang benar-benar menentukan keputusan ialah apa yang berlaku di dalam padang.
“Sebelum ini mereka memberi kami peluang satu peratus untuk mara. Kini, jika ada yang mengatakan peluang kami empat peratus, ia juga tidak membawa sebarang makna.
“Kami lebih memberi tumpuan kepada cita-cita, keyakinan serta nilai yang menjadi identiti pasukan ini,” ujarnya.
Apa yang menarik, Cape Verde tidak bercadang mengubah identiti permainan mereka semata-mata kerana berdepan juara dunia.
Bettencourt menegaskan pasukannya akan terus bermain mengikut kekuatan sendiri dan tidak akan menggunakan kawalan individu khas ke atas Messi.
Dia percaya ancaman Argentina tidak hanya terletak pada Messi semata-mata, tetapi juga pada kekuatan kolektif pasukan yang dibentuk di sekeliling pemenang lapan kali Ballon d’Or itu.
“Kami tahu Messi ialah pemain yang mampu mengubah keputusan perlawanan. Namun, tumpuan kami sentiasa kepada permainan berpasukan, kombinasi yang mereka hasilkan dan ruang yang cuba mereka buka untuk Messi,” katanya.-AGENSI










