KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih baharu beregu wanita negara, Rosman Razak mahu merealisasikan impian pemain No. 7 dunia, Pearly-M. Thinaah untuk meraih pingat pada Sukan Olimpik Los Angeles (LA) 2028.
Rosman merupakan jurulatih yang menggandingkan Thinaah daripada perseorangan wanita berpasangan dengan Pearly sebagai beregu ketika menjadi pengendali kebangsaan pada 2019.
Selain diberikan mandat untuk membina skuad beregu wanita, Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM), Rexy Mainaky memberinya tugas untuk melonjakkan pasangan itu ke tahap yang lebih tinggi.
“Itu (pingat LA 2028) tidak perlu diperkatakan lagi. Mereka (Pearly-Thinaah) sudah mara ke separuh akhir dan langkah seterusnya ada apa yang mereka sasarkan selepas ini.
“Mereka menetapkan apa mereka mahu (sasaran) dan saya komited untuk membantu mereka mencapainya.
“Mereka mahukan lebih apa yang dicapai setakat ini yang bermakna mengejar pingat di Kejohanan Dunia, Sukan Asia 2026 dan LA 2028 ada dalam agenda mereka,” kata Rosman kepada pemberita selepas sesi latihan pertamanya di ABM, kelmarin.
Sementara itu, Rosman berkata, musim depan Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF) hadir dengan pelbagai cabaran baharu yang mampu menghalang Pearly-Thinaah untuk mencapai impian mereka.
Menurutnya, negara seperti Jepun dan Korea akan membentuk pasangan baharu dari pemain remaja yang beranjak ke peringkat senior untuk menguji kebolehan mereka.
“Mulai tahun depan, banyak pasangan antarabangsa yang baharu. Cabarannya lebih getir berbanding tahun ini selepas Olimpik Paris. Terdapat banyak ‘scratch pair’ seperti dari Jepun yang mana rombak semula beregu wanita mereka.
“Apa nasihat saya kepada mereka adalah tiada apa yang perlu ditakutkan kerana mereka (Pearly-Thinaah) mampu atasi cabaran terbabit,” ujarnya.
Beregu utama negara itu akan meneruskan baki musim 2024 mereka di Jepun Masters pada 12 hingga 17 November ini diikuti China Masters (19-24 November) dan Jelajah Akhir Dunia (11 hingga 15 Disember. – UTUSAN










