Pemain tempatan diminta kembangkan bakat bola sepak ke Thailand 

Pemain tempatan diminta kembangkan bakat bola sepak ke Thailand 

DION Cools antara pemain Malaysia yang beraksi dengan kelab bola sepak Thailand, Buriram United. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemain bola sepak tempatan perlu mencabar diri untuk mengembangkan lagi bakat mereka ke luar negara dan bukan hanya gah di pentas domestik semata-mata.

Jika tidak mahu berkelana jauh, para pemain boleh memilih untuk mencuba nasib di rantau Asia Tenggara yang mana liga mereka juga tidak kurang hebatnya dan kompetitif.

Kini peluang terbuka luas selepas Thailand menambah jumlah pendaftaran pemain import untuk saingan 2025-2026 dan paling menarik tidak mengenakan sebarang had kuota pemain dari negara jiran di Asia Tenggara.

Pengarah Urusan Action Football Asia (M) Sdn. Bhd., Effendi Jagan Abdullah berkata, daripada aspek gaji, bayaran bakal diterima mungkin tidak jauh beza dengan apa yang pemain boleh dapat di Liga Malaysia (Liga M).

Bagaimanapun, Effendi menjelaskan pemain Malaysia patut memanfaatkan peluang untuk memikat perhatian kelab Thailand dan ia mungkin jalan terbaik untuk keluar daripada masalah gaji yang sering melanda Liga M.

“Berita baik untuk pemain Malaysia tetapi kebiasaan mereka ambil pemain dari Filipina, Laos atau pun Myanmar kerana budaya mereka hampir sama. Budaya juga mereka ambil kira dan Malaysia mungkin berbeza, misalnya soal makan.

“Kita berada berdekatan dengan Thailand, cara permainan pun tidak jauh beza dan saya rasa pemain dari Liga Super tidak ada masalah untuk bermain di sana. Persoalannya mereka mahu atau tidak ambil pemain dari Malaysia,” katanya. 

Sebelum ini, penganjur Liga Thailand mencapai kata sepakat untuk menambah kuota import bagi musim 2025-2026 kepada maksimum tujuh pemain dan tidak ada had untuk kelab mendaftarkan pemain import dari rantau Asia Tenggara.

Dalam masa sama, Effendi menjelaskan soal bayaran juga tidak jauh beza dan ada beberapa kelab besar di Thailand dan Indonesia sanggup membuat bayaran tinggi kepada pemain tertentu.

“Kalau soal gaji, ada juga kelab besar di Thailand dan Indonesia yang sanggup berbelanja besar. Mungkin keputusan mereka ini kerana nak rancakkan liga dan secara purata kelab kecil pun biasanya berbelanja besar untuk setiap pemain import,” katanya.

Ketika ini terdapat beberapa pemain Malaysia yang beraksi di luar negara iaitu Dion Cools (Buriram United), Fergus Tierney (Chonburi), Luqman Hakim (Yokohama SCC), Endrick Dos Santos (Ho Chi Minh City) dan Muhammad Abu Khalil (FC Osaka). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN