PETALING JAYA: Dua skuad pembangunan hoki negara akan bertembung sesama sendiri dalam aksi separuh akhir Piala Mirnawan 2024 di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, malam ini.
Skuad Malaysia Speedy yang dibimbing Muhammad Sufian Mohamad mara ke separuh akhir selepas muncul selaku juara Kumpulan B, manakala Malaysia Tigers yang dikendalikan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin mara selaku naib juara Kumpulan A
Pertembungan itu bakal menyaksikan satu wakil negara akan layak ke final untuk bertemu dengan pemenangan satu lagi aksi separuh akhir antara Korea Selatan dan Austria.
Kejohanan hoki remaja B-17 tahun, Piala Mirnawan yang memasuki tahun ketiga penganjurannya menyaksikan 14 pasukan mengambil bahagian dalam dua kategori lelaki dan wanita.
Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal gembira dengan penganjuran kejohanan ini yang dianggap medan terbaik buat skuad remaja menimba pengalaman beraksi di peringkat antarabangsa.
“Kami akan gunakan kejohanan ini sebagai medan buat para pemain remaja menimba pengalaman dan akibat kekurangan kewangan, kami bersetuju untuk menjadi penganjur kerana kosnya lebih rendah dengan memanggil pasukan lawan ke sini berbanding jika kita terbang ke mana-mana kejohanan antarabangsa.
“Namun itu bukan bermakna kita tidak akan menghantar skuad ke kejohanan luar negara tetapi kita akan mencari dahulu dana dan kita juga telah mencapai persetujuan dengan pasukan lawan untuk menjemput kita semula bermain dengan mereka di sana,” katanya
Dalam separuh akhir kategori wanita pula menyaksikan Queensland akan berdepan Afrika Selatan manakala Jepun akan berdepan Korea Selatan. – UTUSAN










