Kesefahaman kunci kejayaan Negeri Sembilan Antlers

Kesefahaman kunci kejayaan Negeri Sembilan Antlers

PEMAIN KL Thunder, Azlan Alias (kiri) cuba menghalang rejaman apit kanan Negeri Sembilan Antlers, Mohd Haizul Hayazi Adnan dalam perlawanan akhir Liga Sepak Takraw Malaysia 2024 di Serdang Jaya, kelmarin. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerjasama pasukan serta gandingan pemain yang sudah lama beraksi bersama telah menjadi rahsia kejayaan kepada Negeri Sembilan Antlers untuk menjuarai Liga Sepak Takraw (STL) buat kali kedua berturut-turut.

Negeri Sembilan Antlers mempertahankan kejuaraan dengan menewaskan Kuala Lumpur Thunder 2-0 di Stadium MBSJ, Serdang Jaya, kelmarin dan pengurus pasukannya, Rahimy Rahim mengakui gembira dengan dengan kejayaan pasukannya.

“Alhamdulillah, tahun ini rezeki sekali lagi berpihak kepada kami. Pemain memberikan kerjasama dengan baik sepanjang kejohanan malah mereka juga sudah lama bergandingan bersama.

“Untuk aksi final ini, kami ada memberitahu kepada pemain untuk kuatkan mental mereka dan beraksi seperti biasa dan tidak meletakkan tekanan kepada diri sendiri.

“Walaupun kami turun selaku juara bertahan namun lebih selesa untuk bergelar sebagai pasukan underdog. Tekanan semestinya ada dan kami sasarkan untuk menang aksi ini namun kami tetap menghormati lawan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas aksi final kelmarin.

Negeri Sembilan Antlers membawa pulang RM30,000 berserta piala malah dua pemain mereka iaitu Haziq Nizam dianugerahkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP) untuk menerima RM1,500 manakala Zulefendi Sumari muncul apit kiri terbaik mendapat RM1,000.

Sementara itu, Haziq mengakui berasa bersyukur apabila dapat mempertahankan kejuaraan dua tahun berturut-turut malah tidak menyangka dinobatkan sebagai MVP kejohanan.

“Ini semua rezeki. Saya tak sasarkan (mendapat MVP) cuma saya hanya mahukan kejuaraan sebagai satu pasukan. Anugerah MVP itu adalah rezeki buat saya. 

“Kami sebagai pemain tidak pernah patah semangat sebaliknya kami semakin bersemangat untuk menghadapi satu perlawanan ke satu perlawanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN