PETALING JAYA: Tiga mata penuh menjadi idaman Jeonbuk Hyundai Motors dalam perhitungan timbal balik Liga Juara-Juara 2 (ACL 2) menentang Selangor di Stadium Piala Dunia Jeonju, hari ini.
Pengendali kelab Korea Selatan itu, Kim Do Heon berkata, hanya kemenangan mampu memulihkan maruah Jeonbuk yang kini dipalit masalah prestasi selain mereka juga mahu memadam kekalahan pada pusingan pertama.
Biarpun berdepan kemarau kemenangan dalam lima aksi terakhir, Do Heon memberi amaran tiada jalan mudah buat Gergasi Merah kerana beliau akan mempertaruhkan kesebelasan terbaik.
“Kami sudah lihat kelemahan dalam pasukan termasuk ketika tewas 1-2 Ketika pusingan pertama, jadi kami kena tambah baik apa yang kurang. Saya percaya perlawanan itu nanti akan jadi aksi yang bagus buat kedua-dua pasukan.
“Ramai penyokong yang jangkakan kami mampu lepasi peringkat kumpulan tetapi penting buat kami adalah saingan liga (domestik). Tetapi tidak bermakna akan ada perlawanan yang tidak penting.
“Kami akan bermain tempat sendiri dan sudah pasti kami akan melakukan persiapan sehabis baik. Saya yakin yang kami mampu pamerkan prestasi terbaik pada perlawanan itu nanti,” kata Do Heon.
Daripada lima perlawanan terakhir, Jeonbuk Hyundai Motors hanya mampu raih satu keputusan seri ketika mengikat Incheon United tanpa jaringan, Sabtu lalu manakala selebihnya berakhir dengan kekalahan termasuk tunduk 1-2 kepada Selangor di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), bulan lepas.
“Pemain muda kami perlukan pengalaman untuk jadi lebih baik dan saya anggap apa yang mereka lalui adalah perkara bagus buat mereka,” katanya. – UTUSAN










