JDT tidak gerun Pan Gon

JDT tidak gerun Pan Gon

Hector Bidoglio (kiri) bersama Jordi Amat pada sidang media, semalam menjelang perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elite menentang Ulsan HD di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak melihat kehadiran bekas ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon mengundang resah buat pasukan itu pada pertemuan Liga Juara-Juara Asia Elite (ACLE) menentang Ulsan HD, malam ini.

Sebaliknya, pengendali JDT, Hector Bidoglio berkata, skuad Harimau Selatan telah membuat persiapan rapi untuk memastikan tiga mata berada dalam genggaman.

Bagaimanapun, Bidoglio mengakui kelab Korea Selatan itu merupakan pasukan yang tidak kurang hebatnya setelah berjaya menjuarai Liga K1 baru-baru ini.

“Kita menjangkakan satu pertembungan yang sengit pada malam esok (malam ini), bagaimanapun kita tidak boleh mensia-siakan peluang untuk mendapatkan kemenangan setelah beraksi di stadium keramat kita sendiri.

“Walaupun Pan Gon mengenali ramai pemain JDT, itu tidak bermakna ia memberi kelebihan buat pasukannya. Apa pun, kita akan fokus pada aksi pasukan setelah semua pemain berada dalam keadaan baik dan siap sedia untuk diturunkan.

“Setakat ini dalam saingan ACLE, pemain telah menunjukkan persembahan terbaik mereka dan pada perlawanan ini kita akan cuba mendominasi permainan dengan corak yang dinamik seterusnya menekan pihak lawan untuk memperoleh kemenangan,” katanya.

JDT ketika ini menghuni kedudukan kelima Kumpulan A ACLE setelah mengutip empat mata dalam tiga perlawanan setakat ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN