JDT III hampiri hatrik Piala Presiden

JDT III hampiri hatrik Piala Presiden

PEMAIN Selangor dan Johor Darul Ta'zim (JDT III) bersaing dalam aksi final pertama Piala Presiden di Stadium Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), kelmarin. JDT III menang 2-1. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad muda Johor Darul Ta’zim (JDT III) hanya selangkah lagi untuk menjulang Piala Presiden buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Selangor 2-1 pada perlawanan akhir pertama.

Bagaimanapun, kelebihan satu gol itu bukan jaminan dan pengendali JDT III, Gonzalo Sanz Zaballos menyeru anak buahnya untuk bermain lebih baik di Stadium Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Rabu depan.

“Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan persembahan pemain malam ini (kelmarin). Kita menguasai permainan pada babak pertama dan berjaya menjaringkan dua gol.

“Tetapi pada babak kedua, permainan berubah dan kami melepaskan satu gol, kita masih ada 90 minit lagi untuk menjulang Piala ini,” katanya selepas perlawanan.

Pada aksi itu, JDT III berjaya membuka jaringan menerusi Danish Syamer Tajuddin sebelum Abdul Raziq Abd Rahman menggandakan kedudukan untuk mendahului 2-0 pada babak kedua.

Begitupun, Selangor bangkit pada babak kedua mengubah permainan dan berjaya meraih satu gol menerusi Harry Danish pada minit ke-81 sekaligus mengurangkan defisit jaringan.

Bagi pengendali Selangor, Muhammad Firdaus Aziz mengakui anak buahnya lambat menemui rentak permainan pada babak pertama sehingga melepaskan dua gol.

Namun, Firdaus percaya peluang untuk Selangor masih ada untuk memburu kejuaraan selepas membawa bekalan satu gol bagi perlawanan akhir kedua di Pasir Gudang.

“Permulaan permainan kita tidak bermain dengan baik tetapi pemain terus mencuba. Kita beri terlalu banyak ruang kepada JDT pada babak kedua untuk mereka bermain.

“Babak kedua, dengan beberapa pertukaran pemain dan taktikal, kita mula menemui rentak dan memperolehi satu gol. Peluang untuk menang piala masih ada, kita akan cuba yang terbaik di Pasir Gudang nanti,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN