Demi Najib, penyokong sanggup datang dari Lenggeng

Demi Najib, penyokong sanggup datang dari Lenggeng

KEDIAMAN NAJIB RAZAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang penyokong Datuk Seri Najib Razak sanggup memandu dari Lenggeng, Negeri Sembilan semata-mata untuk hadir dan menunjukkan sokongan terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Siti Zalena Anuar, 43, berkata, beliau yang sudah lama menyokong Najib sentiasa menantikan pembebasan bekas Ahli Parlimen Pekan berkenaan.

“Saya datang dari Lenggeng selepas kerja bagi memberi sokongan. Kami merindui kepimpinan Datuk Seri Najib. Saya sudah menjadi penyokong beliau sejak dahulu lagi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini

Terdahulu, Najib mendapat pengampunan bersyarat dengan beliau perlu menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028 tertakluk sekiranya membayar denda RM50 juta.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-64 yang berlangsung hari ini.

Sementara itu, tinjauan di pekarangan kediaman Najib di Jalan Langgak Duta mendapati beberapa pegawai kepada bekas Perdana Menteri itu termasuk Ahmad Lutfi Azhar tiba kira-kira pukul 4.35 petang tadi.

Kehadiran Ahmad Lutfi itu menarik perhatian media serta penyokong Najib yang masih berkumpul di hadapan kediaman berkenaan susulan perkembangan terkini membabitkan bekas Perdana Menteri tersebut. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×