PUTRAJAYA: Penyokong Datuk Seri Najib Tun Razak berhimpun dan berkampung seawal pukul 5 pagi di perkarangan Istana Kehakiman, Putrajaya bagi menunjukkan solidariti dalam menunggu keputusan berhubung nasib bekas Perdana Menteri itu, hari ini.
Seorang penyokong, Alias Samad, 68 dari Kuala Selangor berkata, beliau hadir bersama keluarga seawal pukul 4.45 pagi bagi menunggu keputusan akhir pembelaan kes Najib.
Katanya, harapan utama beliau adalah agar Najib diberikan kebebasan sepenuhnya kerana para penyokong berasa tidak adil terhadap keputusan sebelum ini.
“Saya memang menunggu keputusan hari ini dari awal sehingga habis. Hari ini, saya datang dengan orang rumah dan anak saya.
“Saya sebagai orang UMNO, Barisan Nasional (BN) berasa hampa sebab keputusan lepas dia masih tidak dapat keputusan yang sebenar, kamu seboleh-bolehnya berharap Datuk Seri dibebaskan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Alias turut meluahkan rasa terkilan dengan apa yang disifatkannya sebagai layanan tidak seimbang terhadap Najib.
“Sedangkan Perdana Menteri kita sekarang pun dapat pengampunan daripada Sultan. Jadi saya berasa terkilanlah sebab saya rasa ini semua hanyalah permainan politik,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang lagi penyokong, Radiah Rashid, 68 dari Sungai Buloh, Rawang berkata, mereka sudah berkampung sejak awal pagi dan turut membawa makanan untuk dikongsi sesama mereka.
Katanya, kehadiran mereka membuktikan keyakinan dan harapan penyokong terhadap Najib tidak pernah pudar.
“Pada pagi Jumaat yang mulia ini, saya bersama sahabat serta penyokong yang hadir, sentiasa mendoakan agar Datuk Seri akan dibebaskan. Harapan kami adalah Datuk Seri dibebaskan sebab itu kami cekal untuk hadir berada di sini.
“Kami juga turut bawa sedikit makanan dan jamuan untuk sahabat-sahabat yang hadir pagi ini, jadi kita bersama-samalah kongsi rezeki,” katanya.
Hari ini, skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dikaitkan dengan kejatuhan Najib sebagai Perdana Menteri itu akan diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang bersidang di Istana Kehakiman, di sini.
Sekiranya didapati bersalah, pihak pendakwaan boleh memohon agar hukuman penjara bagi kesalahan penyelewengan itu dijalankan secara berasingan dengan hukuman penjara yang sedang dijalani oleh Najib atas kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.
Najib didakwa atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan dan didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bagi setiap pertuduhan tersebut, Najib boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda hingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram pula, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA).
Najib boleh dikenakan hukuman denda maksimum RM5 juta dan penjara hingga lima tahun atau kedua-dua sekali, bagi setiap pertuduhan, jika sabit kesalahan. – UTUSAN










