Helmi teruskan aksi, Super KIP patah tangan 

Helmi teruskan aksi, Super KIP patah tangan  

KIP patah tangan serta cedera kaki kiri selepas terjatuh pada sesi kelayakan Moto2 Grand Prix Malaysia Petronas 2024 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam. - Ihsan MIE Racing
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Pelumba wildcard negara, Khairul Idham Pawi terpaksa melupakan aksi di Sepang hari ini selepas tangan kirinya patah dalam kemalangan yang turut melibatkan rakan sepasukan Muhammad Helmi Azman semasa sesi kelayakan kategori Moto2 di Litar Antarabangsa Sepang, semalam.

Muhammad Helmi bagaimanapun bernasib baik tidak mengalami kecederaan dan akan menjadi pelumba tunggal negara dalam kategori Moto2 pada Grand Prix (GP) Motosikal Malaysia Petronas di SIC hari ini.

Kemalangan berlaku selepas Helmi yang hilang kawalan di selekoh lapan dan Khairul Idham atau KIP yang mengekorinya gagal mengelak rakannya itu sehingga menyebabkan kedua-duanya terjatuh.

Ekoran insiden tersebut, kedua-dua pelumba Petronas MIE Racing RW itu dikejarkan ke pusat perubatan litar bagi mendapatkan rawatan.

Pengurus pasukan Petronas MIE Racing RW, Razmin Masli Abdul Razak mengesahkan KIP mengalami kecederaan di kakinya serta patah tangan kiri dan tidak dapat meneruskan perlumbaan, hari ini manakala Helmi akan berlumba.

Helmi akan memulakan perlumbaan di petak ke-29 dengan catatan masa sepusingan dua minit 07.554 saat (s), manakala KIP di tangga ke-30 merakamkan  2:07.570s.

Razmin berkata, berikutan kecederaan KIP, hanya Helmi akan meneruskan perlumbaan berseorangan tanpa pengganti.

Mengulas kecederaan KIP, beliau memberitahu, pelumba itu telah menjalani imbasan X-ray dan doktor mengesahkan tangan kirinya patah.

“Mujur Helmi tidak ditimpa sebarang kecederaan, jadi dia boleh meneruskan perlumbaan, esok (hari ini),” katanya.

 Sementra itu, pemilik MIE Racing, Midori Moriwaki berharap Helmi dapat memberikan yang terbaik untuk perlumbaan akhir hari ini.

“Saya tahu dia teruja untuk berlumba dan saya yakin Helmi akan memberikan yang terbaik demi Jalur Gemilang dan juga penaja, Petronas,” ujarnya.  

Sementara itu, pelumba Onlyfans American Racing Team, Jorge Navarro akan memulakan perlumbaan di petak pertama dengan catatan masa sepusingan 2:04.412s, manakala, rakan sepasukannya, Marcos Ramirez di tempat kedua (2:04.475s) dan Celestino Vietti dari Red Bull KTM Ajo ketiga (2:04.559s). – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN