Enam beranak terperangkap banjir, air naik mendadak - Utusan Malaysia

Enam beranak terperangkap banjir, air naik mendadak

Tangkap layar Siti Farah Zulaikha memuat naik hantaran di laman sosial Facebook meminta bantuan orang ramai membawanya keluar ke tempat selamat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Enam beranak dari kawasan perumahan belakang pasar raya Pantai Timur di sini berdepan detik cemas selepas kediaman diduduki mereka ditenggelami banjir sejak awal pagi semalam.

Siti Farah Zulaikha Ibrahim, 32, berkata, situasi bertambah cemas apabila paras air meningkat secara mendadak dan masuk ke dalam rumah sejak pukul 3 pagi semalam.

“Ketika ini paras air di dalam rumah mencecah 0.4 meter, saya tidak dapat keluar untuk menyelamatkan diri kerana air terlalu deras, lagipun suami tiada di rumah.

“Suami pemandu lori dan dia baru pulang dari Kuala Lumpur, namun terperangkap di Kampung Padang Licin selepas laluan masuk ke Pekan Rantau Panjang ditenggelami banjir ketika ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Ujarnya selain tiga anak yang masih kecil rumah tersebut turut didiami bersama ibu dan ayahnya yang sudah tidak mampu untuk mengharungi banjir bagi menyelamatkan diri kerana faktor usia.

“Ketika saya dan keluarga menunggu pasukan penyelamat datang membantu, paras air diluar rumah ketika ini melebihi 1.2 meter.

“Ketika ini anak-anak berlin­dung di atas katil walaupun paras air semakin naik,” ujarnya yang menyatakan itu pengalaman pertama keluarganya berdepan detik cemas tersebut.

Terdahulu Siti Farah Zulaikha memuat naik hantaran di laman sosial Facebook untuk meminta bantuan orang ramai membawa­nya keluar ke tempat selamat.

Ketika ini paras air Sungai Golok berada pada tahap 11.48 sekali gus melepasi bacaan tahun 2023 (11.23) dan 2014 (10.52).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN