Beregu ada peningkatan, perseorangan tidak ke mana

Beregu ada peningkatan, perseorangan tidak ke mana

RAZIF SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

Sukan tanah air tidak pernah dapat lari daripada isu yang melibatkan sukan badminton.

Sebagai sukan No. 2 Malaysia di belakang bola sepak, tumpuan peminat sering tertumpu kepada pencapaian pemain negara di pentas antarabangsa.

Badminton juga setiap empat tahun sekali menjadi prospek pingat emas pada Sukan Olimpik yang sehingga kini masih belum mampu direalisasikan.

Wartawan Mingguan Malaysia, Aizawati Ahmad berkongsi pandangan legenda badminton Malaysia, Datuk Razif Sidek yang merupakan pemenang pingat pertama Sukan Olimpik negara.

Mingguan Malaysia: Pendapat Datuk prestasi badminton negara semua sektor termasuk lelaki dan wanita?

Razif: Saya lihat kita punya persembahan tidak ke mana pun, terutama perseorangan lelaki dan wanita di BAM (Persatuan Badminton Malaysia) atau yang di luar tidak ke mana, kita tidak tahu apa sebab atau dasar apa, komitmen ke atau dari segi ideologi atau latihan saya tak tahu. Tetapi saya tengok kita punya beregu lelaki ada perkembangan baru yang mana sejak Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani keluar sebagai pemain profesional dia begitu mantap dan begitu berjaya.

Mungkin dia berasa tanggungjawab lebih besar dan sebagainya kita tak tahu, dari segi beregu campuran kita nampak sedikit perubahan, ada peningkatan, itupun masih kurang sebab matlamat kita masih Olimpik, pasal kita belum ada juara Olimpik, itu yang saya rasa perlu diketengahkan. 

Ketika ini masalah paling ketara ialah perseorangan kerana beregu kita ada juga menang gelaran yang besar, tetapi perseorangan berlaku sebaliknya?

Razif: Kita tak tahu apa sebabnya pemain-pemain perseorangan kita merosot begitu mendadak, mungkin dia orang ada sebab-sebab tertentu mengapa mereka tidak begitu menonjol, itu yang kita kena lihat, malah, pemain wanita kita juga berdepan isu sama.

Adakah masalah kemerosotan pemain perseorangan berpunca daripada faktor jurulatih menyebabkan pemain kita tidak menyerlah?

Razif: Saya lebih melihat kepercayaan pemain kepada jurulatih itu sendiri kerana apa yang penting ialah penyampaian jurulatih kepada pemain-pemain tentang teknik kejurulatihan itu penting.

Saya pun sebenarnya kurang pasti kenapa pemain perseorangan tidak begitu menyerlah berbanding beregu, mungkin Malaysia ini lebih suka bergandingan daripada perseorangan saya tak tahu, sehingga ke hari ini kita belum mampu melahirkan jaguh seperti Datuk Lee Chong Wei, tetapi atas dasar apa (kita tidak mampu berbuat demikian) saya tak tahu.

Sekarang pemilihan jurulatih perseorangan masih lagi berjalan, Datuk melihat ada beberapa calon dengan jurulatih dari Denmark, Kenneth Jonassen sebagai pilihan utama?

Razif: Dulu saya ada cadangkan kepada BAM kita tidak boleh melihat satu jurulatih sahaja dan selepas itu kita tidak simpan lama pasal idea-idea mereka mungkin tidak boleh pakai semasa sekarang.

Jadi kita memerlukan idea baharu, malah, (sebelum ini) terdapat cadangan supaya kita ambil jurulatih selain Indonesia, seperti dari China, Korea Selatan atau Eropah, tak kisahlah siapapun kerana kita perlukan idea baharu.

Adakah Kenneth Jonassen calon terbaik?

Razif: Mengenai hal ini saya tak boleh komen, tetapi yang penting ialah calon tersebut perlulah mendapatkan kepercayaan pemain-pemain itu sendiri, mereka perlu hormat jurulatih itu, perlu ada latar belakang kejurulatihan yang baik.

Macam Jonassen dia telah membuktikan dirinya layak, dia punya pemain-pemain pun bagus dan dia juga bekas pemain jadi dia lebih tahu. Mungkin modul kejurulatihan dia bagus kita tak tahu, kalau tak pun kita cubalah dulu (khidmat beliau).

Ataupun abang Datuk sendiri Datuk Misbun Sidek mungkin perlu dibawa kembali ke pangkuan BAM?

Razif: Tak boleh, sekarang ini Datuk Misbun, beliau telah melahirkan beberapa pemain hebat, tetapi sekarang ini tak ada.

Kita perlukan idea baharu, saya bukan menentang siapa-siapa, tetapi lebih baik jurulatih lain, itu pandangan saya.

Walaupun siapapun jurulatih yang akan dibawa masuk kelak calon berkenaan itu bukan sahaja perlu menggalas tugas naikkan prestasi perseorangan lelaki, tetapi, juga pemain wanita secara keseluruhan?

Razif: Itu benar, jurulatih berkenaan perlu menitik beratkan mengenai pencapaian pemain-pemain, itu yang paling penting (supaya) kita ada pengganti, tetapi, buat masa sekarang kita memang tidak ada pengganti (mengisi tempat pemain-pemain terdahulu). Kita perlu ada pemain pengganti, sekarang ini memang tak ada pengganti, kalau ada pengganti pun masih jauh (perjalanannya).

Kenapa badminton masih gagal memberikan pingat emas Sukan Olimpik kepada Malaysia, Datuk adalah beregu pertama negara yang membutirkan pingat Olimpik, adakah pemain kita terlalu dibebani dengan harapan yang diletakkan kepada mereka?

Razif: Bukan begitu, ini soalan yang sukar…yang penting kita kena lihat keseluruhan, No. 1 kita kena lihat pemain, kita perlu ada pemain yang betul-betul minat yang inginkan kejayaan begitu tinggi, selepas itu baharu kita boleh capai (sasaran tersebut).

No. 2 bukan kemudahan sahaja, kita sudah ada semua itu, kita ada kemudahan lengkap termasuk pakar psikologi tetapi kita juga perlu bergantung kepada pemain dan jurulatih.

Kedua-dua ini penting juga, mereka perlu seiring, kalau tidak memang tak boleh, kita harapkan jurulatih pun tak boleh, kita harapkan pemain sahaja pun tak boleh, kena pergi seiring, kepercayaan sesama sendiri penting.

Mengenai Presiden BAM, tahun depan baru kita ketahui pengganti, Datuk melihat individu yang perlu dilantik perlu dalam kalangan ahli politik, bekas pemain atau ahli perniagaan?

Razif: Siapa sahaja Presiden BAM yang boleh membawa kewangan kepada pentadbiran, dia merupakan calon yang sesuai, tak kira sama ada bekas pemain ke atau siapapun kerana (kewangan) itu yang penting. Kita juga perlukan pengaruh yang boleh bercerita kemampuan BAM selama ini dan akan datang, jadi, saya lihat seseorang tu harus betul-betul ada kemampuan membawa kewangan dan persatuan.

Adakah Datuk berminat untuk menjadi calon?

Razif: Bukan saya, pening kepala nanti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN