Basikal minta naik taraf Velodrom Rakyat

Basikal minta naik taraf Velodrom Rakyat

VELODROM rakyat di Ipoh, Perak boleh memainkan peranan penting dalam pembangunan bakat muda dalam sukan basikal trek.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS), akan mempertimbangkan beberapa permintaan untuk menangani isu dana yang dihadapi oleh Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) termasuk permintaan untuk menaik taraf Velodrom Rakyat di Ipoh.

Menterinya, Hannah Yeoh berkata, KBS menerusi Majlis Sukan Negara (MSN), akan mengambil masa untuk meluluskan tiga permintaan PKBM selain bajet khas buat skuad lebuh raya negara dan peruntukan persatuan untuk menganjurkan kejohanan pada masa akan datang. 

“Tiga perkara yang kami bentangkan hari ini ialah yang pertama, permintaan untuk membaik pulih serta menaik taraf Velodrom Rakyat di Ipoh untuk keperluan program pembangunan berbasikal trek negara.

“Kedua, mengenai dana kewangan untuk skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan menghadapi kejohanan antarabangsa yang juga akan dipertimbangkan oleh MSN.

“Ketiga, permintaan untuk pembiayaan penganjuran kejohanan. Saya sudah menjelaskan kepada PKBM bahawa ini boleh diminta melalui geran padanan sukan dan komuniti yang terbuka kepada semua persatuan sukan,” kata Hannah di MSN, semalam.

Terdahulu, perkara itu dikongsi Hannah dalam satu sidang media khas, selepas menerima lawatan daripada Presiden PKBM Datuk Amarjit Singh Gill di MSN, semalam.

Sementara itu, Hannah menyeru kepada semua persatuan sukan di Malaysia supaya meminta kebenaran kepada kerajaan terlebih dahulu untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa pada masa akan datang.

Beliau enggan persatuan sukan membida secara melulu untuk menganjurkan kejohanan antarabangsa tatkala mereka berdepan dengan kekurangan dana kewangan dan pada akhirnya meminta kerajaan untuk menanggung.

“Kerajaan meminta setiap persatuan sukan mendapat kebenaran Jemaah Menteri dahulu untuk menganjurkan kejohanan antarabangs. Hal ini kerana, mereka membida sesuka hati ketika tiada dana dan akhirnya meminta kerajaan untuk meminta peruntukan.

“Kami tidak dapat memberi (dana) kerana tiada dalam perancangan kita. Pada akhirnya mereka meneruskan menganjur kejohanan tersebut dengan sambil lewa sehingga memburukkan nama Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN