PETALING JAYA: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang tidak menolak kemungkinan untuk beraksi pada kejohanan utama pada musim 2025 selepas ‘berehat’ panjang sejak Sukan Olimpik Paris 2024.
Bagaimanapun, fokus beliau untuk meluangkan masa bersama keluarga serta menumpukan pelajaran ijazahnya dalam jurusan Sains Latihan Klinikal di Melbourne, Australia menyebabkan beliau akan terlepas pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia 2025 di Velodrom Nasional Nilai, Februari depan.
Azizulhasni yang diberi julukan The Pocket Rocketman itu berkata, beliau akan berbincang bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh bagi hala tuju perancangannya untuk musim 2025.
“Ada khabar angin yang mengatakan saya akan berlumba pada ACC 2025. Saya menafikannya kerana saya mahu memberi peluang kepada pelumba muda seperti Shah Firdaus Sahrom, Ridwan Sahrom dan Fadhil Zonis. Sudah tiba masanya untuk mereka buktikan kemampuan mereka.
“Saya belum berjumpa dengan Hannah sebab selepas kejadian di Paris beliau sangat memberi sokongan padu kepada saya. Saya mungkin akan bertemu dengannya pada Disember ini bagi mengaturkan perbincangan,” kata Azizulhasni kepada Utusan Malaysia
Ketika ditanya mengenai adakah peluang pelumba berusia 36 tahun itu untuk kembali semula ke trek tertutup sepenuhnya, Azizulhasni menegaskan, beliau masih ada masa sehingga penghujung tahun ini untuk memberi keputusan untuk berkayuh semula.
“Peluang itu tidak tertutup sepenuhnya sebab saya masih ada masa sehingga hujung tahun ini untuk berehat dan berfikir. Kita tidak tahu, namun kalau saya rasa mahu berlumba semula saya mungkin akan berbincang dahulu bersama jurulatih.
“Bagaimanapun, dalam masa terdekat ini saya tidak akan menyertai mana-mana kejohanan. Saya mahu menghabiskan pengajian saya yang masih ada setahun lagi. Apa pun banyak kemungkinan yang boleh berlaku kepada saya,” ujarnya.
Terdahulu, khabar angin tercetus mengenai pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu akan menjadikan ACC 2025 sebagai medan penampilan sulungnya sejak Olimpik Paris 2024.
Kali terakhir Azizulhasni bertanding kejohanan Asia itu adalah pada edisi 2023 selepas tidak turut serta pada edisi 2024 di New Delhi, India bagi mengelakkan risiko dijangkiti COVID-19 sebelum ke Paris.
Untuk rekod, pada edisi 2023, Azizulhasni meraih emas keduanya di acara keirin menjadikan koleksi kilauan pingat terbabit di peringkat Asia kepada 12 secara keseluruhan sejak 2007. – UTUSAN










