Arif Aiman tarik perhatian Rangers FC?

Arif Aiman tarik perhatian Rangers FC?

ARIF AIMAN HANAPI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kelincahan bintang bola sepak negara, Arif Aiman Hanapi mula mendapat perhatian peminat di Eropah apabila penyokong kelab gergasi Scotland, Rangers FC berharap pemain itu akan menyertai mereka.

Aksi pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) mencuri tumpuan kelab penyokong Rangers FC yang dikenali sebagai The Rangers Journal.

Kelab penyokong itu, telah meminta Ahli Lembaga Pengarah kelab itu, Nils Koppen untuk membawa masuk Pemain Paling Bernilai di Liga Malaysia itu menyertai Rangers FC.

“Arif pemain yang konsisten bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di peringkat kelab elit Asia dengan empat gol serta satu bantuan jaringan dalam empat perlawanan.

“Cukup berbahaya di depan gawang sama ada menjaringkan gol atau mencipta peluang. Pemain sayap ini cukup lincah dan kerap berdepan pemain pertahanan dengan kadar kejayaan menggelecek 74 peratus yang tinggi musim ini.

“Bersedia untuk cabaran seterusnya dalam kariernya dan boleh menawarkan kontrak pada Januari nanti,” kata The Rangers Journal di laman X sambil memetik nama Koppen.

Ketika ini Arif Aiman muncul antara penyerang paling berbisa mengatasi pemenang lima kali Ballon d’Or, Cristiano Ronaldo dalam saingan ACLE ketika ini selepas meledak empat gol mengatasi bintang Portugal itu, dua gol.

Arif Aiman turut mengatasi rakan sekelab Ronaldo di Al Nassr, Sadio Mane serta beberapa lagi pemain ternama dunia seperti Neymar (bersama kelab Al Hilal) dan Roberto Fermino (bersama kelab Al Ahli) yang turut bersaing dalam ACLE.

Jaringan terbaharu Arif Aiman diraih sewaktu menentang Ulsan HD di Stadium Sultan Ibrahim Selasa lalu, di mana skuad Harimau Selatang menang 3-0 dengan Arif Aiman meledak satu gol.

Tiga lagi gol dicatatkan ketika menentang kelab China, Shanghai Shenhua dengan meledak satu gol serta dua jaringan lagi raih bertemu Shanghai Port.

Arif Aiman berkongsi kedudukan di tangga kedua selaku penjaring terbanyak dengan empat lagi pemain lain iaitu Aleksandar Mitrovic (Al Hilal), Salem Al-Dawsari (Al-Hilal), Soufiane Rahimi (Al-Ain) dan Taisei Miyashiro (Vissel Kobe).

Penyerang Gwangju FC, Jasir Asani pula mendahului carta itu dengan enam gol.

Sekiranya, Arif Aiman dapat mengekalkan prestasinya, tidak mustahil dia bakal menjadi buruan kelab-kelab gergasi Asia yang lain selepas ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×