PETALING JAYA: Badang negara, Mohamad Aniq Kasdan meletakkan sasaran untuk mengangkat 300 kilogram (kg) pada Kejohanan Angkat Berat Dunia 2024 di Manama, Bahrain, Disember ini.
Atlet berusia 22 tahun itu berkata, beliau akan bertanding dalam kategori 61kg dan mahu melupakan detik hitamnya terlepas podium pada Sukan Olimpik Paris 2024.
Sebaliknya, Aniq menganggap pencapaian dan usaha tenaga yang dikerah di Paris itu sebagai motivasinya untuk merealisasikan sasaran 300kg berkenaan.
“Sasaran saya masih sama sebelum ini, iaitu mengangkat lebih 300kg. Sekiranya saya mampu mengangkat berat sedemikian, maka pingat dalam genggaman saya.
“Saya tidak tahu peserta yang akan sertai kerana senarai masih belum keluar. Bagaimanapun, saya tidak fokus kepada pesaing saya, sebaliknya memberi tumpuan kepada diri dan prestasi saya,” kata Aniq kepada Utusan Malaysia.
Atlet kelahiran Segamat, Johor itu sebelum ini terlepas sasarannya untuk mengangkat 300kg pada Olimpik Paris 2024 dan berhasil mengangkat seberat 297kg dan dipisahkan dengan satu kg dengan pemenang pingat gangsa dari China, Li Fabin, Julai lalu.
Sementara itu, Aniq yang mencipta sensasi dalam penampilan sulungnya di Paris, sedang menyesuaikan dirinya untuk mengelak tekanan yang hadir.
Menurutnya, beliau mahu mencari penamat gemilang pada tahun ini sekali gus mencipta kejayaan di kejohanan dunia sebagai penutup tahun 2024 yang manis dalam kariernya.
“Saya masih dalam proses menyesuaikan diri saya (selepas Olimpik Paris) dan masih mencari keseimbangan. Saya sedang melanjutkan pelajaran saya dan semuanya lancar.
“Persediaan (kejohanan dunia) kali ini sangat bagus dan berada dalam landasan yang tepat. Saya tidak sabar untuk mengakhiri tahun ini dengan penuh gemilang,” ujarnya.
Pada Kejohanan Angkat Berat Dunia edisi lalu di Riyad, Arab Saudi, Aniq berhasil membawa pulang pingat gangsa menerusi kategori 61kg menerusi clean and jerk dengan angkatan 166kg.
Kejohanan Angkat Berat Dunia 2024 dijadualkan akan berlangsung pada 4 Disember hingga 14 Disember ini di Bahrain. – UTUSAN










