Amorim enggan janji 'bulan bintang'

Amorim enggan janji ‘bulan bintang’

PEMAIN-pemain Sporting Lisbon menjulang Ruben Amorim selepas kejayaan menewaskan Manchester City 4-1 dalam saingan Liga Juara-Juara di Lisbon, kelmarin. Perlawanan bersama kelabnya itu merupakan yang terakhir sebelum memulakan tugas rasmi di Old Trafford pada Isnin ini. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LISBON: Peminat-peminat Manchester United tentunya meletakkan harapan tinggi terhadap pengendali baharu kelab itu, Ruben Amorim bagi mengembalikan semula status mereka sebagai antara gergasi Eropah.

Amorim bagaimanapun menegaskan bahawa ia tidak mampu memberi jaminan bahawa impak segera mampu dijelmakan di Old Trafford.

Kemenangan 4-1 Sporting Lisbon ke atas Manchester City dalam Liga Juara-Juara,semalam memberi petanda positif kepada peminat The Red Devils.

Namun, beliau menafikan kemenangan itu membuktikan dirinya mampu menghidupkan kembali era kegemilangan United yang mengalami permulaan terburuk sejak musim 1986-87.

“Apa yang saya boleh katakan ialah ini tidak membawa maksud apa-apa secara khusus, jangan buat kesimpulan daripada perlawanan ini.

“Ia mengelirukan, kami sangat bernasib baik hari ini (semalam). Kami tidak boleh membawa satu realiti ke dalam realiti lain.

“Manchester United tidak boleh bermain seperti kami bermain dan kami perlu menyesuaikan diri,” kata Amorim yang akan mengemudi perlawanan pertama United di Ipswich pada 24 November ini.

Pengendali Sporting itu akan secara rasmi mengambil alih kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) yang ‘bermasalah’ itu pada Isnin depan.

Amorim dianggap sebagai salah seorang pengurus muda terbaik di Eropah dan pengendali berusia 39 tahun itu membuktikan kehebatannya apabila Sporting mendedahkan kelemahan pertahanan City yang dibelenggu kecederaan.

Dalam aksi Liga Juara-Juara itu, Phil Foden meletakkan City di depan sejurus selepas perlawanan bermula di Stadium Jose Alvalade namun tuan rumah bangkit dengan empat gol iaitu menerusi Viktor Gyokeres yang mencipta hatrik manakala Maximiliano Araujo satu gol.

Amorim diraikan oleh peminat Sporting sepanjang perlawanan terakhirnya di tempat sendiri, sebelum barisan pemainnya memberi tanda perpisahan dengan mengangkatnya ke udara selepas wisel penamat.

“Hubungan dengan pemain saya, detik bersama penyokong sangat istimewa. Jadi saya akan bawa semangat ini ke Liga Perdana.

“Apabila saya tiba di sana, ia adalah dunia berbeza, tekanan berbeza. Saya akan cuba menjadi diri sendiri. Ia pasti menyeronokkan, sangat menyeronokkan dan saya sudah bersedia,” ujarnya. – AGENSI/UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN