PETALING JAYA: Pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia menegaskan dia masih belum menyerah kalah dalam misinya memburu tiket ke saingan Jelajah Dunia Akhir di Hangzhou, China pada Disember ini.
Zii Jia sebelum ini terpaksa menarik diri daripada Terbuka Denmark pada 15 Oktober lalu selepas mengalami kecederaan buku lali mengakui sudah bersedia untuk beraksi di Masters Jepun dan Masters China pada November ini.
Hanya lapan pemain terbaik layak beraksi di Hangzhou dan ketika ini Zii Jia berada di kedudukan kelima.
“Seperti yang saya katakan, sasaran saya adalah layak ke Jelajah Dunia Akhir dan saya fikir ada dua kejohanan yang tinggal iaitu Masters Jepun dan Masters China.
“Selagi saya rasa saya boleh bermain saya akan bertanding di kejohanan tersebut (Masters Jepun dan Masters China) sebab sasaran saya adalah layak ke Jelajah Dunia Akhir,” katanya.
Dalam pada itu, Zii Jia berkata sehingga kini tiada perubahan dalam struktur kejurulatihan pasukannya apabila dia akan terus berlatih di bawah bimbingan Wong Tat Meng.
“Sudah tentu dalam tempoh setahun setengah bersama jurulatih Wong Tat Meng banyak perubahan positif dapat dilihat. Buat masa sekarang tiada sebarang perubahan.
“Jika ada sebarang perubahan atau berita saya akan memberitahu anda,” kata Zii Jia yang mula dibimbing oleh Tat Meng sejak Julai 2023 bagi membantunya menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024. – UTUSAN










