KANGAR: Meskipun berusia 31 tahun, ratu pecut negara Zaidatul Husniah Zulkifli yang mencipta sensasi memecahkan rekod kebangsaan dalam acara 100 meter berada pada prestasi terbaik untuk menjadi taruhan negara merangkul pingat Sukan SEA, tahun depan.
Presiden Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM), Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, Zaidatul menunjukkan larian yang baik sehingga mampu memecahkan rekod 31 tahun yang dipegang bekas atlet wanita kebangsaan, G. Shanti.
Beliau juga yakin, Zaidatul akan terus memperbaiki larian tersebut dari masa ke semasa sekali gus memberi perkembangan positif untuk kem olahraga negara.
“Ia sesuatu yang cukup baik untuk negara, dan setiap pencapaian di sini dan kejohanan super series akan datang akan terus dinilai. Ia juga menjadi usaha kita untuk mencapai kejayaan khususnya dalam Sukan SEA nanti,” katanya selepas Kejohanan Olahraga Terbuka Perlis Cahya Mata Sarawak Super Series 5 di Kompleks Tuanku Syed Putra di sini, semalam.
Kelmarin Zaidatul berjaya memadam rekod selama 31 tahun milik Shanti 11.50 saat yang dibuatnya pada 1993 di Kuala Lumpur dengan catatan baharu 11.49s pada Kejohanan Terbuka Perlis Super Series.
Ditanya mengenai jurulatih membimbing Zaidatul, Mohd Poad Md Kasim bakal ditamatkan kontraknya hujung tahun ini, Shahidan berkata, ia akan diputuskan dalam mesyuarat teknikal nanti.
“Kita juga akan adakan SEA Youth Athletics Championship November ini yang akan dibuat di Sabah, kemudian Super Series 6 akan dibuat di Sarawak dan semua mereka yang ada kekurangan dan sebagainya, kita akan pastikan mereka ada jurulatih dan sebagainya. Ini jawatankuasa teknikal akan putuskan,” katanya.
Sementara itu, Shahidan berkata, atlet-atlet olahraga akan menyertai sekurang-kurangnya enam kejohanan setahun sebagai persediaan menjelang temasya Sukan SEA berkenaan.
“Atlet tidak boleh kata mereka tidak pertandingan. Tahun ini dan tahun depan mereka akan sibuk dengan pertandingan, berlatih tidak ada pertandingan tidak bagus juga, perlu sertai pertandingan,” katanya. – UTUSAN










