PETALING JAYA: Pasukan hoki remaja kebangsaan sedia memikul cabaran Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 selepas mencatat keputusan positif dalam dua aksi pemanas badan menentang New Zealand dan Great Britain.
Ketua jurulatih kebangsaan, I. Vikneswaran berkata, berdasarkan dua perlawanan ujian itu, Young Tigers sudah mulai menunjukkan pemahaman mendalam tentang proses permainan meskipun jaringan yang dicatat tidak menggambarkan potensi sebenar para pemain.
“Mereka mengerti apa yang dikehendaki dalam proses permainan. Jaringan tidak bermakna dan apa yang penting membawa keyakinan kepada mereka kerana kalau kita lihat ranking, New Zealand dan Great Britain pemain mereka semua bermain di Olimpik Paris 2024.
“Permainan ini juga penting untuk mereka meningkatkan skil pasukan jauh lebih penting dari skil individu. Keserasian mereka meningkat dan ada penambahbaikan dari aspek lain untuk sampai ke satu tahap yang lebih baik,” kata Vikneswaran kepada Utusan Malaysia.
Isnin lalu,Young Tigers berjaya menewaskan New Zealand 2-1 pada aksi persahabatan pertama sebelum berjaya menundukkan Great Britain 1-0, kelmarin.
Sementara itu, Vikneswaran menyatakan rasa kesalnya susulan terpaksa membatalkan perlawanan persahabatan terakhir menentang India, semalam berikutan beberapa pemain perlu berehat untuk mendapat kecergasan semula untuk menghadapi SOJC pada esok.
Menurutnya, beliau merasakan Young Tiger terlepas peluang keemasan untuk menentang India yang baru-baru dikendali oleh P.R. Sreejesh yang merupakan legenda penjaga gol India yang meraih pingat gangsa pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan Paris 2024.
“Memang sangat rugi (lawan India) sebab perlawanan itu sangat memberi input yang penting untuk pemain kita. Kalau mahu menjadi hebat kita perlu berhadapan dengan pasukan terbaik dunia,” ujarnya.
Young Tiger dijadual membuka tirai saingan SJOC 2024 menentang New Zealand,esok pada pukul 8.30 malam di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru. – UTUSAN










