Tujuh tahun perjuang kes tunggakan gaji 

Tujuh tahun perjuang kes tunggakan gaji 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: “Ini kali pertama satu perintah penahanan dikeluarkan mahkamah bagi kes tunggakan gaji kelab bola sepak.”

Demikian kata Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFAM), Izham Ismail berhubung penahanan bekas pemilik kelab Kuantan FA dan Marcerra United yang didakwa ingkar perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji RM2 juta.

Beliau berkata, pihaknya memperjuangkan kes itu selama tujuh tahun yang menyebabkan penderitaan pemain dan pegawai kelab itu sebelum ini.

“Perkara ini dianggap sebagai amaran kepada semua pemilik kelab atau persatuan supaya peka dengan hak pemain terutama melibatkan tunggakan gaji.

“Kami mahu industri bola sepak tanah air memandang serius dan berharap isu seumpama itu tidak berulang sehingga ke tahap penahanan,” katanya di sini, semalam.

Izham berkata, PFAM turut meminta pemain yang menghadapi isu sama tampil membuat laporan kepada pihaknya bagi tindakan lanjut.

Terdahulu, seorang lelaki bergelar Datuk ditahan selepas didakwa mengingkari perintah mahkamah untuk membayar tunggakan gaji melibatkan 47 pemain dan pegawai pasukan itu pada 2018.

Individu berusia lingkungan 50-an itu ditahan selepas selesai prosiding sebutan berkaitan satu kes penipuan lain di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Penahanan itu dilakukan mengikut perintah komital yang telah dikeluarkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Februari lalu.

Sebagai rekod, pengurusan Marcerra bergabung de­ngan Kuantan FA untuk beraksi dalam Liga Premier pada 2018.

Namun, pasukan itu tidak bertahan lama selepas kegagalan membayar gaji pemain selama empat bulan sebelum disingkirkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Malah, nasib Marcerra United dalam kancah Liga FAM pada 2018 turtt berakhir di tengah jalan ekoran kemelut kewangan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN