Tiada risiko GPMS dibatalkan

Tiada risiko GPMS dibatalkan

MUHD. FAZREEN ISMADI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUKADIMAH

 

PELBAGAI spekulasi timbul sejak akhir-akhir ini menyebabkan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), MUHD. FAZREEN ISMADI menjadi buah mulut pelbagai pihak, sama ada bekas presiden, bekas ahli mahupun golongan politik dan ternama berkaitan Persidangan Agung Tahunan yang tidak diadakan selepas persidangan terakhir pada 24 Julai 2022.

Kekeliruan itu timbul akibat penggunaan istilah penggal oleh sesetengah pihak selain kenyataannya sebelum ini untuk tetap mengadakan pemilihan ahli majlis tertinggi tahun depan mengikut nas perlembagaan yang mana tempoh pemegang jawatan adalah tiga tahun.

Muhd. Fazreen dalam temubual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID menoktahkan kekeliruan tersebut selain menyatakan secara lebih terbuka menerima kehadiran pemimpin baharu yang lebih muda menerajui pertubuhan ini selepas menyerahkan kepada perwakilan untuk menentukan pemilihan ahli majlis tertinggi.


BEZA PENGGAL
Fasal 13.8 (j) Perlembagaan GPMS menyebut: “Kerja-kerja Persidangan Agung Tahunan ialah melantik ahli majlis tertinggi untuk tempoh tiga tahun”.

Kami juga mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi pada 7 September lalu selaras dengan Fasal 30.1 Perlembagaan GPMS yang memberi kuasa kepada majlis tertinggi mentafsir perlembagaan. Dalam mesyuarat tersebut, 19 daripada 23 ahli majlis tertinggi bersetuju tempoh pemegang jawatan yang bertanding pada 24 Julai 2022 berkuat kuasa bagi tempoh tiga tahun dan tamat pada 23 Julai 2025.

Namun begitu, terdapat kekeliruan apabila ada pihak sering menggunakan nama penggal bagi membezakan zaman pentadbiran dan menamakan penggal ini sebagai sesi 2021/2024 sebagai sambungan kepada sesi lalu, sesi 2018/2021.

Yang membezakan hal ini ialah, penggal 2018/2021 menjadi empat tahun kerana tidak menjalankan persidangan pemilihan pada 2021 dan mendapat kelulusan dari Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) serta memanjangkan tempoh hingga 2022 atas faktor Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19. Maka pemilihan jawatankuasa baharu dipilih pada 24 Julai 2022, berkuat kuasa bagi tempoh tiga tahun.

PERSIDANGAN AGUNG KHAS PADA 19 OKTOBER INI
Pada perbincangan dengan ROY, mereka menekankan isu sebutan penggal sebagai 2021/2024 semasa pemilihan pada 22 Julai 2022 yang menjadikan kekeliruan tentang tempoh sebenar pemegang jawatan yang menang ketika itu.

Kami juga dinasihatkan minit-minit di dalam Persidangan Agung Tahunan ketika pemilihan 2022 berkenaan nama penggal juga tidak boleh dipinda kecuali melalui Persidangan Agung, sekali pun jika nama penggal itu bertentangan dengan Perlembagaan GPMS.

Atas nasihat itu juga, sebahagian besar GPMS negeri menghantar notis kepada Setiausaha Agung GPMS pada 27 dan 28 September lalu memohon untuk mengadakan Persidangan Agung Khas bagi memuktamadkan kekeliruan ini.

Ini selaras dengan saranan ROY hanya Persidangan Agung boleh memperbetulkan kekeliruan dalam minit Persidangan Agung lalu, bukannya mesyuarat Majlis Tertinggi.

Persidangan Agung Khas ini diluluskan Mesyuarat Majlis Tertinggi pada 3 Oktober lalu dan notis telah pun diedarkan bagi mengadakan Persidangan Agung Khas pada 19 Oktober ini.

Walau apa pun keputusan Persidangan Agung Khas nanti, kami masih akan merujuk kepada ROY untuk mendapatkan pandangan dan nasihat sebelum memuktamadkan keputusan berkenaan isu ini. Apa-apa pun perlembagaan GPMS yang utama dalam menentukan gerak kerja GPMS.

TIDAK BERISIKO DIBATALKAN
Dalam kesemua surat-surat dan pertemuan dengan ROY, tiada sebutan penggantungan mahupun pembatalan pendaftaran GPMS yang ditimbulkan.

Kuasa pembatalan sesuatu pertubuhan belia hanyalah bagi kesalahan melibatkan tujuan penubuhan serta sebab-sebab yang menjadikan ia pertubuhan yang salah di sisi undang-undang sama ada bersifat radikal, jenayah mahupun terbabit dengan pergerakan yang menyalahi undang-undang negara.

Ia jelas dalam Seksyen 20 Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 688) berkenaan sebab-sebab dan kuasa yang diberi kepada Pendaftar Pertubuhan Belia untuk membatalkan sesuatu pendaftaran pertubuhan belia.

Isu berkenaan risiko GPMS dibatalkan ini pun hanya timbul dari cakap-cakap orang luar yang tidak faham isu sebenar serta peruntukan undang-undang di dalam Akta 688.

Walau bagaimanapun kami percaya ia bukti pihak-pihak tersebut amat prihatin, risau dan sayangkan GPMS.

Saya boleh nyatakan GPMS tidak berisiko dibatalkan sebagaimana digembar-gemburkan sesetengah pihak. Kami sentiasa bertindak berlandaskan saranan ROY dan nasihat oleh beberapa Panel Peguam dalam GPMS yang amat berpengalaman mengendalikan kes-kes melibatkan pertikaian dalam pertubuhan belia di bawah ROY dan pertubuhan di bawah ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan).

TIADA PERGOLAKAN DALAMAN
Sejak timbul isu ini, kami dua kali mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi iaitu pada 7 September dan 4 Oktober lalu. Kedua-dua mesyuarat mencapai kata putus mengikut kesepakatan yang boleh dikatakan hampir 100 peratus ahli majlis tertinggi yang hadir bersetuju perkara dan keputusan yang sama. Begitu juga dengan majoriti negeri-negeri.

Apa yang membuatkan isu ini kelihatan seperti pergolakan kerana ada beberapa negeri dan bekas pimpinan GPMS di pelbagai peringkat membuat komen di media tanpa terlebih dahulu meminta penjelasan kami, sedangkan kami sentiasa bersedia memberikan penerangan. Kami faham pemimpin ini juga sayang kepada GPMS.

Majlis tertinggi juga akan mengambil tindakan kepada ahli yang mengeluarkan kenyataan media berlandaskan 34.3 Perlembagaan GPMS (Pindaan 2021).

TIDAK LAGI MENDESAK, SUARA MULA DIDENGAR
Saya merupakan Ahli Jawatankuasa Pemandu Kluster Reformasi Pendidikan dan Modal Insan Kongres Ekonomi Bumiputera (KEB) 2024 dan GPMS memberi 100 tuntutan pendidikan.

GPMS turun menyantuni hampir 30,000 pelajar berkaitan TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) dan motivasi pendidikan. GPMS bersuara melalui medan Majlis Perundingan Belia Negara berkaitan dasar dan polisi melibatkan Kementerian Pendidikan antaranya pendidikan wajib menengah dan pembantu guru. 292 pelajar dibantu sokongan bagi mendapat tempat di MRSM (Maktab Rendah Sains Mara), IPT (institusi pengajian tinggi) serta biasiswa.

Memang pada suatu ketika dahulu kelihatan gah dengan ahli-ahli politik sama ada yang masuk, mahupun yang dilahirkan GPMS sendiri. Ketika itu GPMS banyak menjadi kuasa pendesak yang menentang pelbagai polisi yang dilihat tidak memberi manfaat kepada masa depan pendidikan Melayu di negara ini.

GPMS hari ini masih lagi dianggotai oleh ramai pemimpin-pemimpin politik dari pelbagai parti politik dan di pelbagai peringkat di seluruh negara. Sememangnya GPMS masih lantang jika mengulas isu-isu terutamanya melibatkan masa depan pelajar Melayu.

Namun pada hari ini tiada lagi keperluan untuk GPMS menongkah arus terutamanya apabila suara kami mula didengar dan diambil perhatian oleh pelbagai pihak terutamanya pembuat dasar dan polisi kerajaan.

MASIH TUMPU ASPEK PENDIDIKAN
GPMS kini kerap bertumpu kepada isu pendidikan Melayu sebagaimana tujuan asal penubuhannya pada 1948. GPMS kembali masuk ke sekolah, menekankan aspek pendidikan yang asas dan membawa agenda meramaikan graduan Melayu terutamanya dalam bidang profesional.

Sememangnya kerja-kerja ini tidak kelihatan hebat dan tidak nampak gah untuk paparan media, tetapi hasil yang diperoleh memberi manfaat kepada ramai pelajar Melayu seluruh negara.

Pertubuhan ini tidak pernah ditubuhkan untuk populariti semata-mata, tetapi apa yang kami harapkan ialah kerja-kerja ikhlas dari ribuan ahli yang membantu meningkatkan taraf pendidikan pelajar Melayu di pelbagai peringkat dari bangku sekolah hinggalah ke menara gading.

GPMS sekarang menumpukan kepada pelajar Melayu dalam bidang TVET serta bidang profesional yang tidak ramai pelajar Melayu masuk seperti peguam, arkitek dan STEM (Sains Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik). Terdapat juga kajian lapangan yang dijalankan dan akan didedahkan nanti.

MAHU PASTIKAN GRADUAN MELAYU BERKUALITI
Tujuan asal penubuhan GPMS adalah bagi menarik dan membantu meningkatkan jumlah pelajar Melayu di menara gading. Ketika penubuhannya, tidak sampai 50 orang Melayu ada di universiti.

Namun kini dengan jumlah pelajar Melayu di universiti, apa yang menjadi keutamaan kami adalah memastikan graduan Melayu berkualiti, berdaya saing dan mampu masuk ke dalam industri dengan cemerlang.

Kami juga berusaha memastikan bidang pengajian dipilih menepati keperluan industri, berupaya memenuhi peluang pekerjaan yang ada, selain bidang-bidang profesional yang masih belum dikuasai pelajar bukan Melayu.

Jika dulu masalah utama ialah kemiskinan dan taraf sosioekonomi yang menjadi penghalang kemasukan anak Melayu ke universiti, kini halangan utama ialah sikap bangsa kita serta masa depan yang tidak menjanjikan harapan cerah. Dirosakkan pula oleh budaya tidak sihat pempengaruh media sosial yang tidak menggalakkan pengajian tinggi. Mereka dirosakkan dengan agenda kewangan dan kemewahan semata-mata.

JANGAN BANDINGKAN DULU DAN KINI
Melahirkan pemimpin hebat dalam kalangan Melayu bukanlah matlamat utama. Jika ada sekali pun ia merupakan mutiara kebetulan yang berlaku dalam GPMS apabila lazimnya pemimpin pertubuhan belia ini juga aktif dalam politik, menjadi tokoh perniagaan yang berjaya serta turut dianggotai ahli-ahli dalam kalangan profesional yang terkemuka.

Tidak dinafikan, faktor had umur belia yang menjadikan tidak ramai tokoh hebat sempat berada lama dalam GPMS apabila had umur diturunkan kepada 40 tahun melalui Akta 688.

Ada dalam kalangan pemimpin GPMS pada penggal lalu menjadi wakil rakyat, pemimpin politik di pelbagai peringkat dan tokoh dalam masyarakat. Mereka bekas pemimpin GPMS namun had umur memaksa mereka berada di luar organisasi pada hari ini.

Perkara yang sama turut akan berlaku apabila pindaan umur kepada 30 tahun dikuatkuasakan pada 2026 ini yang mana penglibatan pemimpin muda dalam pertubuhan belia ini mungkin hanya dikuasai golongan umur yang baru tamat pengajian tinggi. Rata-rata belia pada umur 20-an di negara ini masih lagi belajar di universiti. Jika ada yang sudah bekerja sekali pun jumlahnya tidak ramai.

PERANCANGAN TERBAHARU
Di sinilah tempat kita sedar semula akan perjuangan GPMS, belajar bersama untuk memastikan diri mencipta peluang yang lebih baik demi kepentingan pendidikan bangsa Melayu. GPMS adalah tempat membina hubungan dan bersuka ria dalam menjalankan program pendidikan.

Saya dan pasukan juga sedang fokus untuk mendapatkan tanah serta bangunan agar GPMS mempunyai asetnya sendiri. Dalam masa sama, cuba bekerjasama dengan pihak-pihak tertentu untuk merealisasikan kolej atau tadika GPMS. Gerak kerja ini makan masa dan perlukan susunan yang betul agar tidak menjadi beban atau perebutan di masa depan.

GPMS kebelakangan ini amat menekankan secara serius soal mencari dan melatih pemimpin muda terutama dalam kalangan pemimpin GPMS cawangan khas universiti. Ini amat penting sebagai proses transisi ke arah pemimpin muda di bawah umur 30 pada 2026 nanti.


H : Buka peluang kepada orang muda

TIDAK UTAMAKAN JAWATAN
Hasrat saya ialah untuk melihat GPMS dipimpin oleh pasukan yang terbaik. Ini bukanlah berkenaan jawatan saya semata-mata, tetapi keseluruhan pasukan yang menerajui pertubuhan ini.

Saya bukan seorang pemimpin yang suka populis dan bukanlah bekerja seorang diri. Pasukan yang ada pada hari ini memainkan peranan menggerakkan organisasi ini.

Mempertahankan jawatan saya sekarang bukanlah keutamaan. Ramai pemimpin yang berkaliber dan sanggup gadai nyawa demi kelangsungan GPMS. Jika ada individu yang mampu menerajui GPMS dengan lebih baik, saya percaya keutamaan harus diberikan, lebih-lebih lagi kepada yang lebih muda sebagai persediaan menghadapi penguatkuasaan Akta 688 terhadap pindaan had umur belia kepada 30 tahun.

ANGKAT PEMIMPIN WANITA, OKU
Lebih 30 peratus kepimpinan kebangsaan adalah wanita berbanding dahulu dan 85 peratus di bawah 30 tahun serta saya angkat pemimpin OKU (Orang Kurang Upaya) untuk perjuangkan pendidikan bagi golongan tersebut.

Zaman saya membuka ruang seluas-luasnya. Contoh lantikan pengerusi negeri dulu dipilih presiden tetapi zaman saya pengerusi negeri dipilih oleh akar umbi negeri itu sendiri. Majlis tertinggi boleh mengeluarkan kenyataan media mengikut portfolio yang ditetapkan bagi mewakili GPMS.

Yang mana kemenangan dia tertangguh masa pemilihan, saya angkat dan lantik dalam kepimpinan saya dan beri ruang sepenuhnya untuk memberi khidmat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×