MASYARAKAT India beragama Hindu akan menyambut Deepavali pada hari esok. Menurut fahaman budaya Hindu, Deepavali bermaksud cahaya iaitu menghindar kegelapan dan menyinari kehidupan insan. Malah konsep cahaya ini ada juga disebut dalam pelbagai kepercayaan agama.
Deepavali yang disambut di seluruh dunia adalah untuk memperingati kepentingan ‘cahaya’ dalam kehidupan manusia.
Sempena perayaan ini, pelbagai pihak termasuk ahli-ahli politik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan program Bakul Rahmah untuk masyarakat India yang berpendapatan rendah (B40) di kawasan masing-masing. Usaha pemberian Bakul Rahmah ini amat digalakkan pada musim perayaan ekoran rakyat masih terkesan dengan kenaikan harga barang makanan dan kos sara hidup.
Pengumuman Belanjawan 2025 yang memperuntukkan RM1 billion termasuk RM 300 juta untuk Payung Rahmah dapat membantu menangani kos program Bakul Rahmah dan inisiatif program Rahmah kepada golongan B40 serta peniaga kecil-kecilan.
Sementara Belanjawan 2025 juga memperuntukkan RM700 juta untuk mengawal harga melalui usaha sama dengan pasar tani, koperasi, kedai runcit, pasar raya dan sebagainya. RM250 juta pula untuk menyediakan barang makanan. Peruntukkan ini memberi manfaat kepada semua kaum terutamanya yang tinggal di luar bandar dan kawasan setinggan.
Berhubungan ini, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi telah menganjurkan program Santunan Kasih Deepavali 2024 di Kompleks UMNO Bagan Datuk, Perak pada 27 Oktober yang lalu. Program ini dihadiri oleh 3,000 orang India daripada Parlimen berkenaan.
Menariknya, orang ramai yang menghadiri majlis ini menerima bakul makanan. Pelajar–pelajar dari 14 sekolah Tamil dari kawasan ini juga diberi RM100 seorang untuk membeli pakaian sempena perayaan Deepavali.
Program ini dianjurkan dengan jayanya oleh Pegawai Khas Ahmad Zahid, A. Arvend. Memandangkan Arvend adalah seorang anak tempatan, dia berjaya mengumpul begitu ramai penduduk terutama pengundi India daripada kawasan Bagan Datuk untuk menghadiri Majlis Santunan Kasih Deepavali ini.
Dari situasi ini, kita dapat melihat sokongan masyarakat India terhadap Ahmad Zahid yang juga merupakan ahli Parlimen itu di kawasan sejak 1995.
Memandangkan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Malaysia itu merupakan anak jati Bagan Datuk, maka beliau dikenali dan popular di sini.
Beliau bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) bagi merebut kerusi Parlimen Bagan Datuk pertama kalinya pada Pilihan Raya Umum Kesembilan (PRU9) pada 1995 dan menang dengan majoriti besar mengalahkan calon-calon lain. Beliau berjaya mempertahankan kerusi itu dalam pilihan raya berikutnya sehingga PRU15 pada 2022. Ada yang mendakwa beliau tidak popular lagi kerana hanya menang dengan majoriti yang tipis iaitu 348 undi dalam pilihan raya dua tahun lalu.
Pun begitu, sokongan terhadap Pengerusi BN dan Presiden UMNO itu tidak pernah merosot sejak mula bertanding dalam PRU sebaliknya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dalam PRU12 apabila kebanyakan calon–calon BN termasuk pemimpin–pemimpin utama seperti bekas Presiden MIC, Tun S. Samy Vellu kalah disebabkan kebangkitan Barisan Bertindak Hak Asasi Hindu (Hindraf).
Kebangkitan Hindraf mengalihkan sokongan kaum India daripada BN kepada parti-parti pembangkang pertama kalinya dalam sejarah politik pilihan raya di Malaysia. Namun demikian Ahmad Zahid berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Bagan Datuk dengan memperoleh majoriti 2,692 undi pada PRU12.
Tetapi jumlah undi yang memihak kepada beliau merosot pada PRU15 kerana 8,822 pengundi Melayu yang biasanya menyokong BN mengalih sokongan kepada calon Perikatan Nasional (PN). Peralihan pengundi Melayu ini yang menyebabkan beliau menang dengan undi majoriti yang tipis.
TIDAK PINGGIR KAUM LAIN
Pun begitu, sokongan pengundi India mencecah 85 peratus memihak kepada Ahmad Zahid menyebabkan beliau berjaya mengekalkan kerusi Parlimen pada PRU15. Beliau berjaya menawan hati penduduk Bagan Datuk dengan sikap yang sederhana, prihatin dan suka membantu pada setiap masa kepada mereka yang memerlukan bantuan.
Orang ramai tanpa mengira agama, darjat dan fahaman politik suka bersama Ahmad Zahid kerana beliau tidak pernah cakap ‘tidak boleh’ dan sanggup membantu apa jua masalah yang dihadapi penduduk Bagan Datuk terutamanya berkaitan isu pendidikan.
Beliau banyak membantu pelajar-pelajar di Bagan Datuk untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi. Malah beliau selaku menteri yang bertanggungjawab terhadap pembangunan program Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) akan menghantar 200 pelajar kaum India mengikuti kursus itu ke China.-UTUSAN
DATUK M. Periasamy ialah penganalisis sosial politik.










