Tiada jalan mudah pimpin GPMS

Tiada jalan mudah pimpin GPMS

GABUNGAN Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) harus menjadi pencetus perubahan dan peneraju dalam mencipta paradigma pergerakan belia yang hebat. – FACEBOOK GABUNGAN PELAJAR MELAYU SEMENANJUNG - RASMI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LAGU rasmi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ciptaan Yub Rawan pasti akan memberi nostalgia kepada bekas pejuang persatuan ini. Bermula daripada usaha lima mahasiswa Raffles College dan Kolej Perubatan King Edward, Singapura yang diketuai Aminuddin Baki bersama Abdul Wahab Ariff, Mohd. Nor Marahakim, Abdullah Majid dan seorang siswi perubatan, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali, organisasi ini ditubuhkan sebagai simbol kesedaran kebangsaan Melayu selepas pendudukan Jepun. Penubuhan ini lahir daripada semangat bangsa Melayu yang mendambakan kemajuan dan kemerdekaan.

Tahun ini sekali lagi seluruh perwakilan akan berkumpul di Persidangan Agung Tahunan GPMS. Persidangan ini merupakan peluang berharga bagi perwakilan dari seluruh negara untuk bertemu dan mengemukakan pandangan mereka. Lebih menarik lagi, persidangan kali ini dijangka menyaksikan ramai calon yang menawarkan diri bertanding dalam kepimpinan baharu bagi penggal 2024 hingga 2027.

Dalam konteks pertubuhan bukan kerajaan (NGO), perjuangan GPMS sudah melalui perjalanan panjang sejak penubuhannya pada tahun 1948. GPMS melahirkan ramai pemimpin negara, termasuklah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Hasmah, Tun Musa Hitam dan ramai lagi dalam pelbagai bidang. GPMS menjadi medan membina kematangan dan idealisme pemimpin dalam usaha memperjuangkan hak pendidikan dan kemajuan anak bangsa.

Ramai juga kepimpinan GPMS yang berada dalam kepimpinan Majlis Belia Malaysia. Saya sendiri menjadi antara ahli GPMS yang pernah menjawat jawatan tertinggi selaku Presiden MBM pada 1994 hingga 1998. Rakan seangkatan yang bersama ketika itu ialah Datuk Abdul Rahman Palil, Datuk Syed Anuar Syed Mohamad, Datuk Sobri Ahmad, Datuk Sohaimi Sahadan, Datuk Hang Tuah, Azan Ismail, Samsudin Suip dan lain-lain.

Malah, tokoh aktivis NGO yang teraktif di Malaysia dewasa ini juga adalah kelahiran GPMS, Jais Abdul Karim yang merupakan pengasas dan Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW). Saya kenali beliau sejak di bangku sekolah menengah dan beliau menyertai ahli majlis tertinggi GPMS peringkat kebangsaan semasa tahun pertama di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Saya teringat ‘perlawanan persahabatan’ dalam GPMS pada 2005 dahulu antara saya dan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican. Pasukan kami ketika itu melalui persaingan sengit atas semangat demokrasi untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada GPMS. Kami amat akrab dan rapat sehingga sekarang ibarat ‘biduk berlalu, kiambang bertaut’. Merekalah sahabat dan adinda saya sepanjang perjalanan kehidupan ini.

Persidangan agung tahunan dan pemilihan kepimpinan baharu dalam GPMS memainkan peranan penting dalam memperkukuh proses demokrasi dalam organisasi ini. Melalui persidangan ini, para ahli dapat menyuarakan pandangan dan memilih pemimpin yang berwibawa untuk meneruskan perjuangan mereka.

Pemilihan kepimpinan adalah satu simbol kepercayaan ahli terhadap calon-calon yang menawarkan diri. Proses ini memastikan setiap keputusan yang diambil berdasarkan suara majoriti dan mengutamakan kepentingan organisasi serta bangsa Melayu.

GPMS juga mempunyai sejarah perjuangan yang penuh cabaran dan tidak melalui laluan yang mudah, tetapi dengan kecekalan dan semangat seperti pepatah, ‘sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit,’ organisasi ini terus bertahan dan berkembang.

Dari dahulu hingga kini, GPMS memainkan peranan sebagai penyambung tradisi perjuangan elit Melayu berpendidikan tinggi, terutamanya melalui program pendidikan seperti kelas tuisyen yang berjaya melahirkan ramai anak Melayu cemerlang.

Kini, GPMS diterajui oleh generasi muda di bawah usia 40 tahun, yang penuh dengan semangat, amanah dan kesedaran dalam meneruskan legasi perjuangan. Kepimpinan baharu ini perlu membawa cogan kata yang lebih tegas dan berstrategi bagi menunjukkan mereka bukan sekadar bersuara melalui kenyataan akhbar tetapi juga berusaha memperjuangkan isu-isu pendidikan di forum mahupun program akar umbi.

GPMS di zaman saya dahulu mengemukakan pelbagai memorandum tuntutan demi penambahbaikan pendidikan Melayu di samping melaksanakan pelbagai program lain seperti Jelajah Motivasi ikon pelajar Melayu dan sesi dialog dengan pelajar di luar negara.

Selain itu, turut mengemukakan cadangan kepada Dr. Mahathir untuk mewujudkan Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, menentang tuntutan dari Dong Zong dan Jawatankuasa Rayuan Pilihan Raya Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Suqiu). Aktiviti-aktiviti ini membuktikan komitmen GPMS dalam usaha memajukan pendidikan dan mempertahankan hak anak anak Melayu serta mempersiapkan mereka untuk menghadapi cabaran masa depan.

PERUBAHAN
Pemimpin masa hadapan GPMS tidak boleh lagi mengharapkan jalan yang mudah, kerana landskap politik negara kini sudah banyak berubah dan isu-isu berkaitan orang Melayu semakin sering diperdebatkan.

Bekas kepimpinan dan ahli GPMS yang kini melebihi sejuta orang perlu bekerja keras untuk meneruskan perjuangan mengangkat martabat bangsa terutama dalam kalangan generasi muda, bak pepatah, ‘beralah bertepi, maju biar berjasa.’

GPMS harus menjadi pencetus perubahan dan peneraju dalam mencipta paradigma pergerakan belia yang hebat.

Persidangan agung tahunan kali ini diharapkan dapat membangkitkan kesedaran kepada generasi muda untuk memajukan diri, meniupkan semangat bekerja keras dan menjadi pelindung kepada masa depan bangsa.

Mereka perlu mempunyai mentaliti kelas pertama bagi menjamin masa depan Melayu dalam menghadapi arus globalisasi. GPMS juga berharap bekas-bekas pemimpin akan membantu dan menyokong kepimpinan baharu agar suara GPMS akan terus mengaum dan memberi kesan yang besar dalam memperjuangkan kepentingan bangsa.

Aminuddin Baki pernah menyatakan beliau tidak kesal sekiranya bangsanya menitiskan air mata darah bercampur keringat, tetapi tidak mahu mereka menitiskan air mata darah bercampur kekesalan akibat kealpaan sendiri.

Jangan biarkan bangsa Melayu menjadi seperti ‘ayam dikepuk mati kelaparan, itik di air mati kehausan’.

Marilah kita terus bekerja keras untuk mencapai kejayaan demi masa depan bangsa yang gemilang.-UTUSAN

DATUK Dr. Suhaimi Ibrahim ialah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) ke-20, penggal 1997 hingga 2006.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×