Mati sistem demokrasi jika sekat kebebasan awam

Mati sistem demokrasi jika sekat kebebasan awam

JIKA ruang kebebasan bersuara terlalu terikat dengan peraturan yang tidak munasabah, ia boleh menghalang pemugaran idea kepada kerajaan. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEBEBASAN awam merupakan hak individu dan hak asasi yang mesti dilaksanakan dalam sebuah negara yang merdeka dan berdaulat. Dalam konteks sistem pemerintahan demokrasi, kebebasan awam atau kebebasan individu penting bagi membolehkan sistem politik demokrasi berfungsi dan berkembang dengan baik.

Hak-hak kebebasan asasi ini juga penting supaya rakyat dilindungi daripada sebarang kezaliman, kekerasan dan tindakan-tindakan tidak berperikemanusian sama ada oleh kerajaan atau mana-mana golongan.

Dalam sistem pemerintahan demokrasi, rakyat bukan hanya diberikan hak untuk memilih kerajaan melalui peti undi tetapi juga wajib diberikan kebebasan bersuara, berorganisasai dan kekebebasan-kebebasan lain yang berkaitan dengan hak asasi manusia.

Hak kebebasan awam ini termasuklah mempertahankan diri di mahkamah jika seseorang itu dituduh dalam sesuatu kesalahan. Setiap orang berhak mendapat perlindungan undang-undang serta perbicaraan yang adil. Ini termasuk menolak perbicaraan yang tidak adil, hukuman yang berat sebelah, diskriminasi, tangkapan salah (tidak berasas) dan ugutan serta keganasan pihak berkuasa.

Di negara kita kebebasan awam ada dinyatakan secara bertulis dalam Perlembagaan Persekutuan pada Bahagian II (Kebebasan Asasi), iaitu dari Perkara 5 hingga Perkara 13.

Dalam konteks kebebasan bersuara, berhimpun secara aman dan kebebasan berpersatuan atau berorganisasi jelas dinyatakan dalam Perkara 10. Hak-hak awam ini diberikan tanpa mengira kedudukan dan status individu.

Dalam konteks hak asasi politik, rakyat wajib diberikan hak untuk berpartisipasi dalam apa jua bentuk aktiviti politik, menyertai mana-mana parti politik, memilih wakil, hak mengundi tidak boleh diwakili orang lain dan kebebasan bersuara atau membantah secara aman terhadap dasar kerajaan yang merugikan rakyat mahupun negara.

Kebebasan bersuara adalah unsur penting untuk menyalurkan pandangan, teguran dan kritikan terhadap kerajaan. Jika ruang kebebasan bersuara yang diberi itu terlalu terikat dengan peraturan dan sekatan-sekatan yang tidak munasabah maka ia seolah-olah menghalang penyuaraan idea atau pemikiran, kebebasan menegur dan mengkritik kerajaan.

Kebebasan bersuara ini termasuklah kebebasan menulis, menerbit, menyiar dan mempamer sebarang kenyataan selagi mana tidak mengancam keselamatan negara.

Berkaitan kebebasan bersuara ini, entiti yang ada kaitan langsung dan rapat dengannya ialah kebebasan akhbar atau media. Akhbar dan media mesti diberi ruang untuk menyiar dan mengulas berita, melakukan penyelidikan dan penyiasatan serta bebas menyiarkannya walaupun kemungkinan tidak disenangi oleh pihak berkuasa.

Kawalan dan sekatan yang terlalu ketat ke atas apa jua bentuk media boleh menyebabkan suara rakyat terbantut.

Pun begitu, apa juga bentuk kebebasan yang diberikan tidak boleh melampaui batas Perlembagaan. Ini bermakna Parlimen sebagai pembuat undang-undang tertinggi boleh mengadakan undang-undang tertentu bagi memastikan kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam terpelihara.

Cumanya kerajaan tidak patut membuat undang-undang sewenang-wenangnya yang mengongkong dan membataskan suara rakyat sehingga pemerintahan itu seolah-olah telah bertukar dari bersifat demokratik kepada ciri diktator atau autokratik sehingga rakyat tidak lagi memiliki ruang bersuara yang luas untuk mengkritik, menegur dan mengeluarkan pendapat.

Sebenarnya kawalan yang terlalu ketat terhadap kebebasan bersuara, berhimpun dan berorganisasi boleh berlaku dalam sebuah negara demokrasi disebabkan kemerosotan atau kebobrokan politik.

Politik yang tidak stabil menyebabkan kedudukan hak rakyat tidak dipelihara dengan baik, perlembagaan yang ada dicerobohi atau dilanggari sama ada secara terang-terangan atau halus melalui agenda politik yang kotor.

Kebobrokan politik ini boleh dikesan apabila ada segelintir ahli politik yang berpengaruh sanggup mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menyarankan kerajaan jangan terlalu mengikut perlembagaan. Kenyataan menghasut ini boleh menyebabkan berlakunya penindasan terhadap suara rakyat.

Kerajaan seharusnya berdiri di atas paksi perlembagaan, iaitu melaksana pemerintahan berasaskan dan menurut batasan perlembagaan negara. Bukankah perlembagaan itu memberikan panduan pentadbiran (pemerintahan), keamanan negara, kestabilan politik, keharmonian perhubungan sosial dan sebagainya?

Jika ini yang menjadi trend dalam politik negara, maka kawalan dan pemerhatian terhadap kerajaan boleh menjadi tidak efektif walaupun kita mempunyai pembangkang tetapi suara mereka ‘dijerut’.

Amalan mengengkang kebebasan suara rakyat ini boleh menyebabkan membiaknya penyalahgunaan kuasa walaupun di atas pentas mahupun perhimpunan-perhimpunan politik lantangnya ucapan muluk para politikus melawan penyelewengan dan budaya rasuah.

MEMPUNYAI NILAI
Kesimpulannya, kebebasan awam adalah sesuatu yang amat bernilai bagi memastikan sistem politik demokrasi kita berkembang dan berfungsi dengan baik.

Hak-hak asasi tersebut tidak patut dihalang selagi mana ia tidak melampaui batas perlembagaan dan mengancam keselamatan negara.

Sayugia difahami di peringkat antarabangsa, hak asasi manusia tersebut telah diiktiraf dan diisytiharkan dalam Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat di Vienna pada 1948.

Islam sendiri telah lama mendahului deklarasi ini, iaitu 14 abad lebih awal. Cuma, perbezaannya terletak dari sudut filsafat peradaban masing-masing.-UTUSAN

Penulis ialah penganalisis sosiopolitik bebas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN