PETALING JAYA: Atlet Paralimpik negara, Datuk Abdul Latif Romly, berazam untuk menebus kekecewaannya pada Paralimpik Paris 2024 pada Kejohanan Dunia akan datang.
Menurut Latif, selepas meraih pingat perak di Paris, beliau menumpukan perhatian kepada Kejohanan Dunia yang bakal berlangsung sekitar pertengahan tahun depan.
“Saya kecewa kerana tidak dapat mempertahankan kejuaraan dan memenangi emas di Paris. Bagaimanapun, ini akan menjadi semangat untuk saya perbaiki prestasi di Kejohanan Dunia nanti,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Atlet berusia 27 tahun itu mengakui faktor kecederaan otot perut yang dialaminya tiga hari sebelum acara menjadi antara penghalang utamanya untuk memberikan persembahan terbaik di Paris.
“Kecederaan tersebut memang mengganggu rentak saya, namun saya kini dalam proses pemulihan dengan melakukan fisioterapi secara berjadual.
“Saya sudah kembali menjalani latihan dan berusaha untuk berada di tahap terbaik menjelang kejohanan akan datang,” jelas Latiff.
Berbicara mengenai Sukan Paralimpik Los Angeles 2028 (LA28), Latiff tidak berselindung bahawa misi utamanya adalah untuk merangkul kembali gelaran juara Paralimpik dalam acara lompat jauh.
“Sudah semestinya sasaran utama saya di LA28 adalah untuk meraih emas dan memperbaiki catatan peribadi saya.
“ Saya berharap kecederaan tidak akan menjadi halangan besar dan insya-Allah, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai sasaran itu,” tambahnya.
Latiff juga berpesan kepada rakyat Malaysia agar terus memberikan sokongan padu kepadanya dan atlet para lain, sambil berjanji akan memberikan yang terbaik di pentas antarabangsa.
“Kejayaan di Paris adalah motivasi buat saya, tetapi kegagalan mendapatkan emas memberi saya azam lebih kuat untuk menebusnya di Kejohanan Dunia serta LA28 nanti,” ujarnya.
Latiff, yang merupakan pemenang pingat emas di Sukan Paralimpik Rio 2016, akan memfokuskan kepada peningkatan teknik dan strategi dalam usaha untuk menyaingi atlet-atlet hebat dunia dalam kejohanan-kejohanan besar yang akan datang. – UTUSAN










