Konflik tamat jika Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara, anggota PBB

Konflik tamat jika Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara, anggota PBB

PENGISYTIHARAN Palestin sebagai sebuah negara dan anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan membawa kesan besar kepada keselamatan dan kestabilan global, khususnya Asia Barat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KONFLIK di Asia Barat yang bermula seawal 1948 sejak penubuhan Israel tidak pernah berakhir sehingga kini. Konflik terkini yang bermula pada 7 Oktober tahun lalu juga tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir dalam masa terdekat ini.

Sebaliknya semakin berleluasa dengan turut menyasarkan Lubnan, Syria, Yaman dan juga berlaku hubungan serta tindakan oleh Iran pada April dan Oktober, lalu.

Kemungkinan akan berlakunya campur tangan dan kemungkinan Israel memperluaskan kawasan serangan ke negara-negara lain di rantau itu seperti Turkiye. Perkara itu tidak mustahil berdasarkan perkembangan yang berlaku ketika ini.

Kenyataan Israel menyatakan beberapa syarikat di Turkiye mempunyai hubungan dan memberi bantuan kepada Hezbollah. Ini adalah provokasi dilakukan Israel yang memungkinkan akan berlaku tindakan terhadap Turkiye oleh negara itu.

Turkiye memberi sokangan terhadap Palestin dan menentang kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin dalam konflik yang berlaku. Negara-negara kuasa besar utama Barat seperti Amerika Syarikat (AS) dan Britain tidak berganjak daripada memberikan sokongan terhadap Israel dalam konflik yang berlaku sehingga sekarang. Perubahan sokongan dan cadangan yang baik seperti dilakukan Perancis terhadap Israel tidak berlaku kepada AS dan Britain.

Perancis tidak membenarkan Israel melibatkan diri dalam pertunjukan senjata pertahanan di Paris dan mencadangkan sekatan bantuan kepada negara itu. Hubungan Israel-Perancis agak keruh akibat tindakan dan keputusan Presiden Perancis. Ini adalah satu tindakan dan contoh yang baik dilakukan oleh sebuah kuasa besar dalam penyelesaian konflik antara Israel dan Palestin.

Apakah yang sepatutnya dilakukan oleh negara kuasa besar, khususnya anggota tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB)? Apakah isu atau persoalan asas yang perlu diselesaikan dalam konflik panjang antara Israel-Palestin yang sudah berlarutan melebihi 70 tahun?

Negara-negara kuasa besar dunia khususnya, negara anggota tetap Majlis Keselamatan PBB dan negara sekutunya perlu melihat isu konflik Israel-Palestin dari sudut positif dan tidak semata-mata lensa kepentingan berpihak. Kepentingan berpihak seperti yang berlaku ini (khususnya AS dan Britain) tidak membawa makna besar kepada keselamatan antarabangsa.

Konflik yang berlaku membawa ancaman keselamatan dan mungkin akan membawa kepada ketidakstabilan antarabangsa. Ia mungkin membawa kepada konflik yang lebih besar yang membawa ancaman bukan sahaja terhadap ketidakstabilan politik ekonomi khususnya di Asia Barat dan dunia global.

Kenyatan Israel yang akan bertindak balas dalam masa terdekat ekoran serangan Iran pada 1 Oktober lalu akan membawa implikasi besar. Iran juga telah mengeluarkan kenyataannya yang sekiranya Israel bertindak balas, serangan berskala besar akan dilakukan terhadap negara itu.

Jika berlaku, bekalan minyak akan terganggu selain perjalanan perdagangan dan perindustrian dunia akan turut terkesan. Negara kuasa besar dan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB perlu mengambil tindakan tepat yang tidak berpihak, tetapi lebih kepada kestabilan politik dunia dan ekonomi antarabngsa.

Langkah menghentikan konflik perlu dilakukan segera supaya tidak terus merebak dalam skala lebih besar dan membawa ancaman yang lebih meluas. Gencatan senjata, menamatkan bantuan tentera dan pertahanan seperti yang dilakukan oleh Perancis merupakan tindakan yang tepat.

Negara-negara kuasa besar utama khususnya AS dan Britain perlu berfikir ke arah kebaikan dunia secara keseluruhannya. Sokongan memihak kepada Israel tidak lagi membawa apa-apa yang jelas atau kesan positif. Andainya AS dan Britain tetap berpegang kepada apa yang dilakukan sekarang, kemungkinan kebencian dunia akan berlaku dan pembentukan negara yang memberikan sokongan kepada Palestin akan menjadi bertambah besar.

ISU ASAS
Isu asas konflik Israel-Palestin adalah tentang pendudukan Israel dan pengiktirafan negara Palestin. Palestin tidak pernah diiktiraf dunia antarabangsa dan PBB. Sehingga sekarang Palestin masih bertaraf negara pemerhati dalam Perhimpunan Agung menyebabkan negara itu tiada hak mengundi.

Persoalan yang timbul berkaitan Artikel 4(2) iaitu sokongan dan persetujuan anggota tetap Majlis Keselamatan PBB. Walaupun mendapat sokongan besar (iaitu dua pertiga) Majlis Perhimpunan, sesebuah negara itu (dalam hal Ini Palestin) tidak akan berjaya menjadi anggota PBB tanpa sokongan anggota tetap Majlis Keselamatan itu.

Sebuah sahaja anggota tetap (kuasa Veto) menentang maka dengan sendirinya akan terbatal. Negara anggota tetap Majlis Keselamatan yang selalu menolak kemasukan Palestin sebagai negara anggota adalah AS. Sehinga sekarang Palestin tetap gagal untuk menjadi anggota PBB kerana selalu ditentang oleh AS.

Tindakan ini tidak wajar dan satu kepentingan berpihak. Persoalan asas inilah yang membawa kepada konflik berpanjangan yang tidak berkesudahan antara kedua-dua negara itu sehingga kini. Kerana itu, perlu pembentukan Palestin yang sah dan diiktiraf dunia.

Pengembalian sempadan Palestin sebelum Perang 1967 dengan Baitul Maqdis sebagai ibu kota juga sesuatu yang wajar bagi membentuk kestabilan masa depan jangka panjang.

Justeru perjuangan Palestin yang memerlukan sokongan daripada negara anggota tetap Majlis Keselamatan adalah laluan yang membolehkan Palestin diiktiraf sebagai sebuah negara dan anggota PBB.

Apabila ini berlaku, ia akan membawa kesan besar kepada keselamatan dan kestabilan global, khususnya Asia Barat. Gerakan Hamas dan Hizbollah dapat dikurangkan. Dalam masa sama tindakan Israel yang melakukan kesalahan moral sejagat dan bertentangan dengan undang-undang antarabangsa hendaklah dihentikan.

Negara-negara kuasa besar hendaklah bertindak secara wajar dengan mematuhi peraturan dan matlamat asas penubuhan khususnya Artikel 1 dan Artikel 2 PBB. Artikel 2(4) mesti benar-benar dipatuhi tanpa sebarang alasan. Sebarang konflik yang berlaku mestilah merujuk kepada undang-undang antarabangsa khususnya prosedur yang terkandung dalam Bahagian 6 dan 7, Piagam PBB.

Bertindak mengikut kepentingan berpihak tidak membawa dan menjamin keamanan. Undang-undang antarabangsa dan moral sejagat perlu dijadikan asas utama tindakan semua negara, khususnya negara kuasa besar anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Mohd. Noor Yazid ialah Felow Penyelidik Kanan Institut Kajian Orang Asal Borneo (BorIIS), Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN