MADRID: Sepanyol akan bertemu Denmark dan Serbia dalam kempen Liga Negara-Negara tanpa khidmat penyerang Nico Williams yang mengalami kecederaan ketika beraksi dengan Athletic Bilbao.
Bintang Euro 2024 itu melapor diri bagi kem latihan pasukan kebangsaan di Las Rozas, dekat Madrid, namun dia dibenarkan pulang selepas disahkan mengalami kecederaan dan tidak cergas.
“Williams dibenarkan pulang selepas rundingan antara perkhidmatan perubatan kelab dan pasukan kebangsaan,” kata persekutuan bola sepak Sepanyol dalam satu kenyataan.
Gandingan Williams dan Lamine Yamal dalam skuad kebangsaan Sepanyol ketika ini menjadi igauan buat mana-mana pasukan selepas mereka membuktikan kewibawaan di Euro 2024.
Pemain Real Sociedad, Sergio Gomez, sebahagian daripada skuad yang memenangi pingat emas Olimpik Paris dipanggil untuk menggantikan Williams bagi dua perlawanan di Murcia dan Cordoba.
Williams sebelum ini dinamakan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas meledak gol pembukaan apabila Sepanyol menewaskan England 2-1 di Berlin pada Julai lalu untuk menjulang piala Euro 2024.
Gandingan pemain sayap itu bersama Yamal dianggap masa depan pasukan kebangsaan La Roja. – AGENSI/ UTUSAN










