PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad berbasikal trek negara, John Beasley mengakui anak didiknya, Nurul Izzah Izzati Mohd Asri mampu melangkah lebih jauh dalam Kejohanan Berbasikal Trek Dunia 2024, Denmark sebelum kemenangannya diragut komisar pertandingan.
Nurul Izzah yang diberi julukan The Pocket Rocketwoman terlepas beraksi di pusingan kedua acara pecut selepas penyertaannya dibatalkan kerana komisar mendakwa pelumba dari Kedah itu tidak mengikuti garisan ketika pecutan terakhir.
Kemenangan diberikan kepada wakil Jerman, Alessa-Catriona Propster dan Beasley menyifatkan insiden tersebut menyerupai penyingkiran jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang di Kejohanan Berbasikal Trek Dunia di Glasgow, Scotland, tahun lalu.
“Kami menetapkan sasaran Izzah menamatkan 16 teratas dalam acara pecut dan dia boleh melakukannya namun telah diragut oleh keputusan yang sangat teruk daripada ketua komisar yang berasal dari Jerman yang mahu melihat atlet dari negaranya dapat ke pusingan seterusnya.
“Izzah melakukan kemajuan jika sistem yang adil dia sepatutnya menduduki tempat ke-10 sekurang-kurangnya kerana dia menewaskan pilihan ke-10.
“Pada pandangan saya, UCI (Kesatuan Berbasikal Antarabangsa) perlu menyiasat perkara ini dan meletakkan proses yang adil apabila insiden seperti ini berlaku. Perkara yang sama yang berlaku kepada Datuk Azizul dalam kejohanan dunia pada tahun lalu di Glasgow.
“Kita perlu memberi tekanan kepada UCI untuk mengubah peraturan dan melakukan perkara yang betul dengan meletakkan individu bebas untuk membatalkan keputusan yang salah dan tidak adil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Bagi acara keirin menyaksikan Nurul Izzah menamatkan saingan di tempat ketujuh manakala seorang lagi wakil pelumba wanita negara, Anis Amira Rosidi terkandas di pusingan pertama. Bagi acara pecut menyaksikan Anis Amira menamatkan perlumbaan di tempat ke-28. – UTUSAN









