Gadis ‘ayu’ Perlis sekuat 'Badang’

Gadis ‘ayu’ Perlis sekuat ‘Badang’

Nurul Aisyah Athirah Mohd Nadzim (kanan) dan Dhiya' Raihan Dzulkarnain berkongsi minat yang sama dalam sukan angkat berat. - UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BIARPUN angkat berat sukan lasak yang sinonim dengan lelaki, ia bagaimanapun tidak menghalang minat dua sahabat, Nurul Aisyah Athirah Mohd Nadzim,17, dan Dhiya’ Raihan Dzulkarnain, 17, menceburi sukan berkenaan.

Lebih membanggakan, dua atlet sukan angkat berat dari Perlis itu turut mencuri tumpuan pada Sukan Malaysia (Sukma) 2024 di Sarawak. Ogos lalu apabila mempamerkan kehebatan masing-masing dengan memperolehi pingat emas dan gangsa.

Selain menampilkan aksi memberangsangkan, dua remaja itu juga menarik perhatian ramai di sebalik paras rupa yang ayu dan perilaku yang lemah lembut, namun angkatan mereka mampu membutirkan pingat pada temasya tersebut.

Pada Sukma 2024 baru-baru ini, Nurul Aisyah membuktikan keupayaannya apabila membuat angkatan keseluruhan 170 kilogram (kg) dalam kategori 59kg untuk meraih pingat emas.

NURUL Aisyah Athirah Mohd Nadzim

Dhiya’ Raihan turut berkongsi gembira meraih gangsa dengan angkatan keseluruhan 162kg bagi kategori wanita tidak melebihi 71kg pada temasya tersebut. 

Nurul Aisyah berkata, dia mula menceburi sukan angkat berat selepas mengikut jejak langkah kakaknya, Nurul Amirah Mohd. Nadzim, 23, yang turut aktif dalam sukan tersebut.

“Sebelum ini, kakak saya aktif dalam angkat berat ini dan lama kelamaan, saya pun timbul minat untuk ikut jejak langkahnya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Mengulas lanjut, anak keempat dari lima beradik ini berkata, ibu bapanya, Mohd. Nadzim Mohd Noor, 56, dan Rozita Che Azahari, 50, juga sentiasa menyokong minatnya dalam sukan itu.

Katanya, ahli keluarga tidak pernah menghalang untuk dia terlibat dalam sukan angkat berat biarpun acara itu dianggap lasak dan keras.

“Dalam kami lima beradik, saya dan kakak ketiga sahaja yang aktif dalam sukan ini, malah ibu bapa kami sentiasa memberi sokongan penuh untuk terus berjaya dalam angkat berat,” katanya.

Di samping itu, Nurul Aisyah berkata, buat masa ini, dia juga sedang fokus kepada latihan sebagai persiapan bagi menyertai kejohanan angkat berat di Thailand bermula pada 18 sehingga 24 Oktober ini.  

Ujarnya, dia juga masih boleh menyertai edisi Sukma sebanyak dua kali selepas ini dan mensasarkan untuk mewakili Malaysia bagi kejohanan lebih berprestij selepas ini.

“Saya bukan hanya sasarkan untuk Sukma sahaja sebaliknya ingin melayakkan diri ke kem kebangsaan bagi membawa nama negara selepas ini,” katanya.

Dhiya’ Raihan pula berkata, dia juga sememangnya meminati sukan angkat berat dan turut mendapat sokongan kuat daripada keluarganya.

Dhiya’ Raihan Dzulkarnain

Menurutnya, buat masa ini, dia juga merancang untuk memperbaiki latihannya selepas berjaya menyumbangkan pingat gangsa buat Perlis pada Sukma 2024 lalu. 

“Saya akan cuba memperbaiki pencapaian dan mensasarkan pingat emas bagi temasya Sukma akan datang,” katanya.

Sementara itu, ibu kepada Dhiya’ Raihan, Siti Munirah Ashaari, 40, berkata, mulanya dia  terkejut apabila anaknya menyatakan hasrat dan minat menyertai latihan sukan angkat berat.

Namun begitu, lama kelamaan dia dapat menerima keputusan anak ketiganya itu dan menolak segala pandangan negatif daripada orang ramai sebaliknya akan terus memberi sokongan untuk anaknya melangkah lebih jauh dalam sukan tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN