Dua aksi kelas ‘A’ bulan depan 

Dua aksi kelas ‘A’ bulan depan 

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang berusaha mendapatkan lebih banyak perlawanan persahabatan untuk skuad Harimau Malaya menjelang November ini. - IHSAN FAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Skuad Harimau Malaya bukannya dipulaukan berikutan kesukaran mendapatkan pasukan lawan pada jendela Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA), bulan ini.

Sebaliknya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berkata, sebenarnya banyak pasukan menunjukkan minat untuk menguji skuad kebangsaan namun hasrat itu tidak kesampaian selepas pasukan berkenaan turut memiliki perancangan tersendiri dalam misi mendapatkan mata ranking FIFA.

Perkara itu ditegaskan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata pihaknya sentiasa berusaha mencari pasukan lawan berkualiti bagi memastikan Harimau Malaya mendapat perlawanan berkelas ‘A’.

“Pada jendela kali ini, kita cuba dapatkan dua pasukan tetapi saya akui ada beberapa kesukaran terutama selepas pasukan lawan membuat persiapan masing-masing.

“Mereka tidak tolak (pelawaan) tetapi mereka ada komitmen lain yang mereka buat untuk kepentingan pasukan mereka.

“Kita faham masalah ini dan sampai kita nak dapatkan pasukan di bawah kita untuk sekadar dapatkan aksi persahabatan sukar juga kerana mereka ada persediaan tersendiri yang bersesuaian untuk mereka.

“Dalam keadaan sekarang, bukanlah pasukan besar tidak mahu bermain dengan kita kerana mereka pun nampak (kemampuan pasukan kita), tetapi mereka ada sasaran sendiri. Cuma mungkin masa tidak kena kerana mereka terbabit dengan perlawanan lain.

“Jadi kekangan itu daripada pihak pasukan lawan dan bukan daripada pihak kita,” katanya baru-baru ini.

Terdahulu, skuad kendalian Pau Marti Vicente gagal meraih sebarang mata untuk memperbaiki kedudukan ranking FIFA selepas tewas 4-0 kepada New Zealand yang berada di ranking ke-95 dunia pada aksi persahabatan Tier 1 di Auckland, kelmarin.

Kekalahan itu menyaksikan Malaysia kehilangan ditolak 3.72 mata FIFA sekali gus mengumpul 1113.92 mata dan turun satu tangga ke kedudukan 133 dunia berbanding 132 dunia sebelum ini.

Skuad negara kekal menjadi pasukan keempat terbaik di Asia Tenggara selepas Thailand (100), Vietnam (116) dan Indonesia (127).

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman mengesahkan pihaknya sedang menunggu maklum balas daripada beberapa lagi pasukan untuk melengkapkan perlawanan bagi jendela FIFA pada 11 hingga 19 November nanti.

“Kita boleh sahkan ada satu perlawanan menentang India pada 19 November dan kita sedang mendapatkan maklum balas daripada pasukan itu sebelum kita umumkan nanti,” katanya.

Selain India, difahamkan satu lagi pasukan yang akan bermain dengan Harimau Malaya adalah pasukan dari Asia Selatan memandangkan kedudukan geografi yang dekat dengan India. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN