KUALA LUMPUR: Skuad badminton akan memberi tumpuan kepada persiapan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun susulan Scotland menggugurkan acara badminton dalam Sukan Komanwel Glasgow 2026.
Sambil menganggap tindakan itu mengejutkan, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengakui badminton merupakan penyumbang terbesar pingat emas untuk Malaysia pada termasya berkenaan.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh berkata, pengguguran sukan badminton adalah sesuatu yang janggal kerana acara itu sentiasa dimasukkan sejak Sukan Komanwel dianjurkan pada 1966.
“Saya rasa ia agak pelik kerana badminton sentiasa dimasukkan dalam Sukan Komanwel sejak bertahun-tahun.
“Badminton sentiasa dianjurkan pada setiap edisi Komanwel. Beberapa negara sangat berkuasa dalam sukan badminton seperti India, Singapura dan England. Jadi pengecualian ini adalah sesuatu yang mengejutkan,” kata Kenny.
Edisi sebelum ini di Birmingham 2022, Malaysia memenangi dua pingat emas menerusi beregu wanita Pearly Tan-M. Thinaah dan acara berpasukan campuran.
Sementara itu, Kenny berpendapat bahawa ini merupakan peluang keemasan untuk pemain mengalihkan fokus mereka kepada Sukan Asia 2026 Aichi-Nagoya, Jepun susulan pengguguran sukan ini.
“Mungkin para pemain kita akan terlepas peluang untuk memenangi pingat di Sukan Komanwel, tetapi kita juga mempunyai Sukan Asia pada 2026 di mana badminton akan dipertandingkan,
“Ini mungkin satu peluang yang terlepas untuk beberapa pemain tetapi di satu pihak, mungkin sudah tiba masanya untuk kita fokus sepenuhnya pada Sukan Asia,” ujarnya.
Untuk rekod, sukan badminton sudah menyumbang sebanyak 31 emas, 22 perak, dan 16 gangsa untuk negara. – UTUSAN










