Ubah kayu ukur kecemerlangan universiti

Ubah kayu ukur kecemerlangan universiti

JADIKAN universiti benar-benar relevan kepada masyarakat dan bukan hanya taksub menjadi kilang graduan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

APAKAH ukuran sebenar kecemerlangan universiti? Kedudukan dalam ranking atau sumbangan kepada masyarakat dalam menghapuskan kesenjangan yang semakin meluas?

Universiti di Malaysia memerlukan perubahan paradigma segera dalam ukuran kecemerlangan dengan melihat kepada peranannya yang semakin kurang kedengaran dan tidak menyerlah dalam kancah perubahan sosioekonomi politik dunia.

Universiti tidak cukup dengan hanya menghasilkan pengetahuan tinggi, tetapi rendah dalam menterjemahkannya kepada penyelesaian menangani isu-isu semasa sosial yang semakin meruncing, kesan cabaran perubahan iklim mahupun ekonomi.

Berbanding zaman awal kewujudan universiti yang mana kecemerlangan diukur dari penguasaan teori dan falsafah tanpa mengambil kira aplikasi praktikal, kini institusi pengajian tinggi (IPT) perlu dinilai berdasarkan sumbangan nyata dan segera kepada negara serta masyarakat tanpa perlu melakukan penyelidikan bertahun hanya untuk menanti satu tindakan.

Universiti perlu membuktikan impak sosial dan ekonomi dengan memberi penekanan kepada penyelidikan yang bersifat aplikasi serta relevan dengan isu-isu semasa. Universiti perlu memerdekakan diri dari ukuran kecemerlangan masa lalu yang lebih teori dan elitis. Menara ilmu yang terbina perlu diratakan ke tanah untuk memberi manfaat kepada masyarakat, bukan sekadar bahan bicara kayangan.

Malangnya kayu ukur kecemerlangan sedia ada tidak meletakkan agenda ini sebagai keutamaan atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kerana prestasi universiti terperangkap dalam parameter yang ditetapkan oleh agensi penarafan universiti seperti penerbitan, sitasi, penyelidikan – yang belum pasti memenuhi keperluan setempat atau kajian semula ketara orang luar yang tidak arif tentang dinamika tempatan.

Wajarkah pandangan orang luar dilihat lebih bernilai dari yang tinggal sebumbung. Benar, universiti di negara maju dinilai berdasarkan penyelidikan bertaraf dunia dan inovasi yang memberi kesan global. Sesuailah dengan sosioekonomi mereka. Di negara sedang membangun seperti Malaysia, kita mempunyai 1,000 macam keperluan kontekstual yang seharusnya menjadi ukuran utama.

Amat malanglah kalau ukuran kecemerlangan universiti Malaysia masih ditentukan oleh orang asing walaupun kita sudah 67 tahun merdeka. Ertinya minda rakyat Malaysia yang salah satu kemuncak proses pembinaannya di universiti pun masih dijajah.

Maka untuk mengisi makna sebenar kemerdekaan, universiti perlu bertindak segera turun dari menara menangani isu semasa bukan sekadar menanti hasil penyelidikan yang mengambil masa bertahun. Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa selepas berpuluh tahun kewujudan universiti di negara ini, mustahil kita masih belum cukup ilmu pengetahuan untuk memahami apa sahaja isu yang dihadapi.

Yang tiada adalah fokus dan tindakan untuk menanganinya. Kerangka madani seharusnya dihadam dan dicanai sedalamnya untuk diterjemah menjadi parameter prestasi sesebuah universiti. Untuk mengoperasikan hasrat madani ini, universiti perlu lebih serius membentuk model yang tersendiri. Tanpa perubahan naratif ini, IPT akan kekal dalam kitaran minda terjajah yang sama.

Bagi memulakan proses ini, universiti dan komuniti perlu diikat segera supaya perubahan yang diperlukan boleh berlaku secara organik dan alami. Ini boleh dilakukan dengan menyemarakkan penggunaan konsep komuniversiti iaitu gabungan komuniti dan universiti menggantikan kata universiti. Perkataan komuniversiti sudah semakin dikenali di peringkat global atas desakan perubahan landskap pengajian tinggi pasca Covid-19.

TIADA TINDAKAN
Bagi membina universiti model ini, perkara pertama yang diperlukan adalah menjadikan universiti benar-benar relevan kepada masyarakat keseluruhannya bukan hanya taksub menjadi kilang memastikan kebolehpasaran graduan dan sepadan dengan keperluan industri.

Benar, ketaksuban tidak bertempat ini sudah sering dikritik dari peringkat teratas sehinggalah di dalam bilik kuliah. Keresahan ini juga sudah disuarakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi sendiri apabila membangkitkan isu kecemerlangan tanpa roh serta keperluan mengembalikan pendidikan berorientasikan otak dan watak.

Malangnya mengapa keluhan ini berterusan dari satu pelan tindakan ke satu pelan tindakan? Ini kerana hasrat perubahan tercatat kemas di atas kertas namun pelaksanaannya masih terperangkap di dalam bengkel demi bengkel, seminar, wacana mahupun penubuhan jawatankuasa khas. Sedangkan apa yang diperlukan adalah tindakan demi tindakan untuk memastikan apa yang sudah dirancang terdahulu dilaksanakan sebaiknya dan sepenuhnya mengikut kitaran pelaksanaan dasar. Jalan keluarnya adalah kerangka madani perlu diambil serius dari aspek pengoperasiannya, bukan sekadar pada label mahupun slogan.

Andai ini sudah berlaku, Malaysia sudah selangkah ke depan dalam usaha merekayasa model universiti tersendiri. Mengembalikan kerelevan universiti ini bukan sekadar menyenaraikan isu semasa sebagai salah satu kursus di dalam kurikulum tetapi yang lebih kritikal untuk mencorak dan menentukan isu tersebut ke dalam konteks masyarakat Malaysia. Di samping otak serta watak, jiwa dan roh sebenar pendidikan perlu dibina serentak.

Perkara kedua, untuk memastikan universiti kembali relevan adalah dengan IPT segera keluar dari perangkap menara ilmu atau merdeka dari sindrom menara gading. Ketika ini menara gading yang terbina menggunakan batu-bata ranking universiti yang datang dari luar.

Dengan sifatnya sedemikian, pasti menara tersebut akan terasing atau tidak seiring keberadaannya di tengah-tengah bangunan Malaysia. Maka perubahan yang perlu dilakukan mesti bermula dari akar umbi iaitu proses penyetempatan ilmu dari segi tujuannya, sifatnya dan penterjemahannya. Selama ini, proses penjanaan ilmu sering mengikut trend dan acuan negara maju dek kerana penjajahan minda masih kuat serta berterusan dengan pelbagai cara.

Korpus ilmu yang ada masih majoritinya dikuasai negara Barat. Ini kerana bukan sahaja kandungan ilmunya tetapi kerana proses perkongsian serta penyebarannya diatur menurut kehendak dan acuan mereka. Malah kecerdasan buatan (AI) yang sedang hangat dikagumi kemampuannya, akan menjadi agen penjajahan minda paling canggih, sekiranya tidak dikawal penggunaannya.

Maka tanpa keberanian dan tekad serta diikuti dengan perancangan yang membumi dan setempat, universiti Malaysia akan terus tenggelam dalam mengejar serta mematuhi ranking atas alasan itulah trend pendidikan tinggi global. Sedangkan sudah jelas semakin banyak universiti-universiti ternama dunia sudah mula meninggalkan ‘permainan’ ranking ini.-UTUSAN

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Pengarah Pusat Sejahtera untuk Kelestarian dan Kemanusiaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN