Tagupi membaca dan jiwa merdeka

Tagupi membaca dan jiwa merdeka

PENDIDIKAN antara lain berperanan membimbing kanak-kanak untuk membezakan antara yang baik dengan buruk. – FACEBOOK TAGUPIMEMBACA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“INDIVIDU tidak bernegara merasakan diri mereka seperti halimunan. Sedangkan mereka wujud. Mereka dimiliki. Namun mereka tidak kelihatan dan tidak pula didengari. Mereka merasakan diri mereka seperti halimunan. Mereka ialah insan yang hana, tidak ubah seperti kerusi yang kosong. Kita semua yang duduk di atas kerusi ini mempunyai hak kewarganegaraan. Kita wujud. Kita dimiliki (sebuah negara). Sedangkan individu tidak bernegara tidak dapat dilihat dan tidak dapat didengari.” – Cate Blanchett, Duta Muhibah Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Pelarian (UNHCR).

Golongan tidak bernegara atau tanpa kerakyatan merupakan salah satu kumpulan paling rentan dalam masyarakat negara ini. Mereka juga dianggap sebagai orang asing dan dinafikan hak hatta yang paling asas seperti pendidikan, pekerjaan dan penjagaan kesihatan.

Kedudukan mereka sebagai bukan warga negara dan penafian hak asas menyebabkan mereka terdedah dengan pelbagai bentuk kesulitan seperti diskriminasi, penganiayaan dan eksploitasi.

Lebih malang lagi jika mereka merupakan kanak-kanak yang seharusnya diberikan asuhan serta perlindungan selain dijamin keselamatan. Kepentingan pendidikan begitu terserlah jika dilihat dari sudut kesan akibat ketiadaan akses kepadanya.

Pendidikan antara lain berperanan membolehkan kanak-kanak berupaya membaca dan menulis, iaitu kemahiran asas yang begitu penting. Selain itu, ia juga membimbing mereka untuk membezakan antara yang baik dengan buruk sesuatu perkara.

Dalam hubungan ini, kanak-kanak tidak bernegara bukan sahaja diselubungi buta huruf dan tidak dapat berbahasa Melayu dengan baik malah mereka bertindak tanpa dapat menimbangkan kesannya, terutama kepada diri sendiri.

Sebagai contoh, ribuan kanak-kanak Bajau Laut yang terjerumus dalam ketagihan teruk menghidu gam bagi melupakan realiti kehidupan dan kelaparan yang ditanggung untuk beberapa jam. Di samping menghidu gam, kanak-kanak berkenaan juga terlibat dalam aktiviti berjudi, mengemis dan mencuri.

Kajian yang dilakukan oleh beberapa penyelidik misalnya di pekan Semporna, Sabah pada 2019 mendapati banyak kanak-kanak Bajau Laut terpaksa mengemis atau meminta-minta kepada orang awam. Senario ini bahkan seolah lumrah sehingga hari ini. Mereka menanti orang awam di hadapan premis bangunan untuk meminta wang dan makanan. Terdapat juga antara mereka yang membawa anak yang masih kecil. Bayi itu pula dilihat tidak berpakaianlengkap dan dalam keadaaan tidak terurus.

Hakikatnya, tiada pilihan lain di tangan mereka. Desakan hidup memaksa mereka untuk berbuat demikian bagi menampung serta meneruskan kehidupan.

Dari sudut pekerjaan dan ekonomi, kanak-kanak tidak bernegara juga dimanfaatkan tenaga mereka untuk membantu ibu bapa mereka demi sesuap nasi. Kanak-kanak yang berumur seawal lima hingga 10 tahun yang seharusnya ke sekolah terpaksa membanting tulang melakukan pekerjaan seperti menjual ikan, menjual beg plastik di pasar, memungut hasil laut, membantu menangkap ikan di laut dan membantu menjual ikan di pasar ikan.

Zaman kecil dan remaja mereka yang seharusnya dipenuhi keseronokan mempelajari pelbagai ilmu pengetahuan sebaliknya sarat dengan tanggungjawab yang selayaknya dipikul golongan dewasa. Lebih malang daripada itu, waktu diisi dengan pelbagai aktiviti tidak berfaedah malah membunuh akhlak serta keperibadian mereka. Bagi golongan dewasa pula, keringat mereka diperah namun majikan menindas mereka dengan membayar gaji yang rendah, bahkan terdapat kes gaji yang diperoleh lebih rendah daripada keperluan minimum.

Oleh sebab desakan dan tuntutan menyara keluarga, mereka terpaksa menanggung dan meredai sahaja eksploitasi serta penindasan berkenaan.

MESEJ PENTING

Menyedari kepentingan ilmu pengetahuan bagi membimbing anak-anak tidak bernegara mencorakkan kehidupan lebih bermakna, maka #TagupiMembaca dengan kerjasama Pusat Pembangunan Minda Insan (PPMI) diteruskan bagi siri kelima bermula 9 September hingga hari ini.

Pasukan #TagupiMembaca ingin menyampaikan mesej penting kepada anak-anak dan individu tidak bernegara bahawa ketika ada yang membenci kerana status mereka yang tidak pasti, yang sangsikan kehadiran mereka dan enggan berkongsi nikmat dengan mereka, yang bimbangkan keselamatan kerana pergerakan mereka merentas sempadan maritim negara, yang menjauh kerana tidak mahu terpalit dengan kasta dan pekerjaan mereka, yang mencela kerana kecelaruan latar dan asal-usul mereka, usahlah sesekali mereka mengalah dan berputus asa.

Pasukan #TagupiMembaca menghulurkan tangan untuk disambut bagi memastikan ilmu dapat menghiasi jiwa mereka yang lelah. Dengan ilmulah jiwa merdeka dapat dibentuk. Jiwa yang menyedari kemampuan dan keupayaan diri, kekuatan dan kesanggupan, bakat serta potensi, di samping ruang dan peluang.

Jiwa itulah juga yang dapat membebaskan diri daripada kejahilan dan kekhilafan, cemuhan serta penghinaan dan sebaliknya dapat menjalani kehidupan dengan lebih bererti. Kehidupan yang berasaskan harapan serta kesedaran untuk menjadi komuniti yang memiliki nilai dan jati diri terpuji, harga dan maruah diri tinggi selain memiliki hak selayaknya di alam Ilahi.

#TagupiMembaca akan terus digerakkan bagi menampung kelompangan usaha dan daya kepimpinan negara. Atas semangat jiwa merdeka serta tanggapan bahawa manusia semuanya sama dan tiada sesiapa pun yang kewujudannya tidak sah, maka segenap pihak diharapkan dapat memberikan sokongan padu.

#Tagupi Membaca tidak mungkin dapat terus berlangsung tanpa dokongan kuat pihak kerajaan mahupun agensi, organisasi malah individu dermawan tidak didendang. Semuanya ini bagi memastikan impak besar daripada usaha kecil ini kekal memberikan manfaat bukan sahaja kepada individu tidak bernegara yang terlibat tetapi juga masyarakat setempat dan juga negara tercinta.-UTUSAN

PENULIS ialah aktivis #TagupiMembaca, program amal yang menyalurkan bahan pembelajaran untuk komuniti tidak bernegara di Sabah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN