SUKAN Olimpik Paris 2024 melabuhkan tirainya pada 11 Ogos lalu di Jardins du Trocadero, Perancis setelah menamatkan 329 acara sukan yang dipertandingkan selama dua minggu.
Penyertaan Malaysia dalam Sukan Olimpik Paris 2024 menandakan satu lagi lembaran dalam perjalanan sukan antarabangsa itu yang telah lama terjalin sejak penyertaan pertamanya pada 1956.
Penyertaan 26 atlet kontinjen negara merentas acara sukan menandakan dorongan berterusan dari Malaysia ke arah usaha untuk mendapatkan pingat keramat di temasya sukan yang gemilang itu.
Di Paris, Malaysia terus mempertaruhkan nama-nama besar dalam sukan badminton dan berbasikal seperti Lee Zii Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik dan Datuk Azizulhasni Awang yang diharapkan dapat menerajui langkah mendapatkan emas pertama buat negara.
Harapan ini sebenarnya tidaklah mustahil berbanding pencapaian meraih 13 pingat dalam sejarah Olimpik yang menjadi bukti kemampuan atlet negara bersaing di pentas antarabangsa. Walaupun impian untuk menggenggam emas pertama di sukan itu tidak kesampaian, namun pencapaian atlet kita menyuburkan harapan buat sukan di Malaysia.
Kejayaan Mohamad Aniq Kasdan dalam penampilan pertama di sukan angkat berat Olimpik dengan pencapaian di tempat keempat yang hanya berbeza satu kilogram (kg) daripada pemenang pingat gangsa bagi kategori 61kg di samping berjaya memecahkan rekod kebangsaan baharu dengan jumlah angkatan keseluruhan 297kg adalah satu petanda bahawa di masa hadapan, Malaysia mampu menjadi pencabar utama dalam sukan angkat berat.
Begitu juga dengan penampilan sulung pelumba berbasikal trek wanita negara, Nurul Izzah Izzati Mohd. Asri yang berjaya menempatkan diri dalam kalangan pelumba antarabangsa dan memecahkan rekodnya sendiri di Kejohanan Asia yang lalu.
Bukan itu sahaja, pasangan beregu badminton negara, Pearly Tan dan M. Thinaah juga membuka tirai baharu dalam sejarah badminton negara apabila menjadi beregu wanita pertama mara ke separuh akhir di pentas Olimpik. Pasangan muda itu mendapat perhatian sejak penampilan sulung di Olimpik Paris. Mereka mempunyai masa depan cerah setelah mempamerkan aksi dalam persaingan sengit dengan pihak lawan yang ternyata lebih berpengalaman.
Pencapaian atlet wanita negara di Olimpik Paris terus diperkukuhkan dengan kemunculan debut pemanah-pemanah wanita yang mempamerkan peningkatan dalam aksi pertarungan berkumpulan dan individu walaupun tewas dalam merebut tempat ke suku akhir ketika menentang trio Indonesia yang menghuni ranking 100 terbaik dunia.
PERTIMBANG FAKTOR KEJAYAAN
Melihat ke hadapan, masa depan Malaysia dalam sukan di peringkat antarabangsa menunjukkan pengukuhan dalam beberapa acara. Namun, di sebalik itu, beberapa faktor harus dilihat secara serius jika mahukan momentum di Paris terus bertahan.
Perbincangan yang berterusan mengenai keperluan program latihan yang lebih mantap, kemudahan infrastruktur, sokongan kewangan yang konsisten dan berterusan menjadi faktor kritikal dalam membangunkan atlet berkaliber tinggi bertaraf dunia yang mampu bersaing di peringkat tertinggi seperti Olimpik.
Tumpuan juga harus diberikan dalam mengukuhkan mental dan psikologi atlet, memupuk daya tahan serta keyakinan dalam berhadapan dengan pihak lawan yang bertaraf juara.
Malaysia juga perlu bersedia untuk memacu pembangunan sukan negara secara strategik dengan suatu pendekatan yang holistik iaitu dengan menumpukan amalan-amalan terbaik dalam pengurusan sukan di negara ini. Strategi ini sejajar dengan matlamat jangka panjang untuk meningkatkan kualiti keseluruhan sukan di Malaysia dan tidak tertumpu kepada Olimpik sahaja.
Badan-badan yang menaungi atlet haruslah bersedia untuk melakukan reformasi dalam tadbir urus dan pengurusan kewangan supaya pulangan pelaburan ke atas industri sukan membawa keuntungan buat negara.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan komitmen untuk memberikan kemudahan yang terbaik buat atlet, jurulatih serta sistem sokongan terbaik secara berterusan. Dalam amanatnya awal tahun ini, Hannah mengumumkan inisiatif baharu iaitu Skim Kontrak Penggajian Atlet (SKPA) bagi menjamin masa depan atlet kebangsaan dan inisiatif bantuan sukan untuk sekolah-sekolah di Malaysia.
Program Road to Gold yang diberikan peruntukan berjumlah RM3.53 juta juga adalah bukti bahawa kerajaan sangat komited bukan sahaja dalam menyokong atlet-atlet negara tetapi juga dalam memajukan sukan di negara ini.
Dengan pelaburan strategik dan tumpuan yang diperbaharui, Malaysia pasti mengorak langkah yang lebih meyakinkan pada Olimpik di Los Angeles, California 2028 nanti.
Impian untuk menggenggam emas di lapangan Olimpik akan menjadi kenyataan jika semua rakyat Malaysia terus bersatu dalam mendukung aspirasi untuk memajukan sukan di Malaysia.
Apa pun, menang atau kalah adalah adat dalam setiap perlawanan sukan. Namun, dengan komitmen yang jitu, perjalanan Malaysia dalam meraih kegemilangan dan kilauan emas di Olimpik akan mencipta impak yang berkekalan dalam pembangunan sukan sekali gus dapat melahirkan barisan pelapis atlet negara yang cemerlang di masa hadapan.-UTUSAN
PENULIS ialah Perunding Latihan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Kampus Wilayah Timur.










