Pendidikan seks bukan tentang hubungan intim sahaja

Pendidikan seks bukan tentang hubungan intim sahaja

KANAK-KANAK di luar negara mula diajar perkara berkaitan seks pada peringkat sekolah rendah lagi.– AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
ANAK-ANAK adalah amanah Allah. Namun, yang membimbangkan ibu bapa adalah peningkatan kes gangguan seksual. Ini berikutan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman menunjukkan sebanyak 2,722 kes direkodkan sejak 2020.
Ia meliputi jenayah rogol, sumbang mahram, cabul, gangguan seksual, seks luar tabii, pornografi, komunikasi secara seksual, amang seksual fizikal dan bukan fizikal.
Jumlah paling tinggi direkodkan adalah pada 2023 iaitu sebanyak 766 kes berbanding 459 kes pada 2020. Bagi tahun ini, sehingga April lalu, sebanyak 268 kes dilaporkan.
Lebih membimbangkan, dilaporkan sembilan daripada 10 atau kira-kira 7.6 kanak-kanak di negara ini yang berusia 14 tahun dan ke bawah dianggarkan menghabiskan masa purata lapan jam sehari menggunakan internet.
Mereka terutama kanak-kanak seawal usia lima tahun berpotensi terdedah menjadi mangsa pedofilia atau antun kanak-kanak kerana sikap ibu bapa yang membenarkan anak mereka menggunakan internet pada usia yang tidak sepatutnya.
Sebab itu, saranan supaya pendidikan seks diajar di sekolah termasuk di peringkat tadika bagi kanak-kanak berusia enam tahun wajar disokong.
Bab seks sering dianggap tajuk yang sensitif untuk dibincangkan secara terbuka terutama dalam masyarakat Asia. Justeru, ada ibu bapa yang berharap anak-anak akan ‘belajar’ atau memahaminya secara semula jadi, tanpa perlu bersoal jawab dengan ibu bapa.
Pendidikan seks di rantau Asia melalui status perkembangan yang pelbagai. Negara seperti Indonesia, Mongolia dan Korea Selatan mempunyai rangka polisi yang sistematik tentang pengajaran seks di sekolah.
Bagaimanapun, Malaysia dan Thailand melihat pendidikan kesihatan reproduktif adalah lebih sesuai kepada golongan remaja.
Di Jepun, pendidikan seks adalah wajib bagi remaja berusia antara 10 ke 11 tahun. Namun, topik utamanya berkisar kepada bab biologi seperti baligh yang melibatkan bab haid dan keluar mani.
Bagaimanapun, pendidikan seks sebenarnya bukan semata-mata membincangkan bab hubungan intim suami isteri. Sebaliknya, ia melibatkan isu berkaitan anatomi manusia.
Bagi ibu bapa yang menghalang pendidikan seks diajar di sekolah, kita memahami kebimbangan mereka. Namun, untuk memutuskan pendidikan seks tidak perlu diajar kerana merasakan anak-anak itu akan tahu sendiri, bukan tindakan yang bijak.
Kandungan pendidikan seks itu mestilah merangkumi topik-topik seperti kesedaran mengenai tubuh badan, ruang peribadi, bahaya orang yang tidak dikenali, sentuhan boleh diterima atau tidak boleh diterima, cara menyelamatkan diri dan cara mengenali serta melaporkan bahaya.
Sebenarnya, ibu bapa tidak ada pilihan. Sama ada mereka membenarkan ia diajar di sekolah atau mereka sendiri yang perlu mengajarnya.
Jika tidak, memang anak-anak itu akan tahu sendiri tetapi kita bimbang mereka mengetahuinya daripada sumber-sumber yang mungkin menjerumuskan ke kancah yang ingin kita elakkan itu. Apatah lagi dengan dunia tanpa sempadan dan maklumat di hujung jari menerusi internet.
AJARAN ISLAM
Sebenarnya, pendidikan seks terangkum dalam ajaran Islam. Ia dibincangkan dengan jelas dalam bab taharah atau bersuci. Bab ini adalah terpenting dalam hidup setiap Muslim lebih-lebih lagi bab mandi wajib atau mandi junub. Tanpa memahami kaifiat atau cara-cara mandi junub, segala ibadat yang dilakukan adalah sia-sia.
Dalam Islam pendidikan seks sebenarnya bermula di peringkat prasekolah. Ini apabila kanak-kanak diajar dan boleh membezakan fizikal lelaki dan wanita serta jenis alat permainan mereka.
Demikian juga dalam segi memperkenalkan anggota dan fungsi badan seperti kaki, tangan, dada dan sebagainya.
Kesilapan yang sering berlaku, apabila tiba ke anggota sulit ibu bapa tidak beritahu kepada anak-anak yang berusia empat atau lima tahun tentang pantang larangnya, kata Pensyarah Institut Pendidikan (Pendidikan awal kanak-kanak) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Penolong Profesor Dr. Mastura Badzis kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Sebaliknya, kita perlu menjelaskan kepada anak-anak yang alat sulit itu hanya boleh disentuh ibu bapa dan guru bagi tujuan membersihkan apabila ke tandas dan bukannya untuk tujuan lain.
Demikian juga bagi kanak-kanak perempuan, mereka perlu diberi penjelasan dan pengetahuan tentang haid apabila mencapai usia baligh.
Ini sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: Katakanlah: “Haid itu adalah kotoran”. Oleh itu hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid; dan janganlah kamu mendekati mereka, sebelum mereka suci. Apabila mereka telah suci, maka campurilah mereka itu di tempat yang diperintahkan Allah kepadamu (al-Baqarah: 222).
Seorang tokoh, Dr. Mohd. Aqlah (1990) (Jordan) dalam bukunya Tarbiyyatul aulad fil Islam melihat pendidikan seks sebagai sebahagian dari pendidikan dan pembentukan akhlak.
Antara adab-adab yang perlu dipupuk pada anak-anak berkaitan pendidikan ini adalah:
– Cara duduk dan cara berkomunikasi.
– Memahamkan mereka tentang perasaan malu, penjagaan kehormatan diri dan pisahkan tempat tidur pada usia 10 tahun adalah permulaan yang baik kepada pemahaman tentang pendidikan seks (walaupun tanpa diberitahu apakah itu hubungan seks).
– Menyemai adab meminta izin sebelum masuk ke bilik ibu bapa (surah an-Nur: 58).
– Pemahaman tentang bab aurat dan rasional kenapa perlu menutup aurat.
– Pisah tempat tidur antara anak lelaki dan perempuan bila usia masuk tujuh tahun (dari segi perkembangan kognitif, kanak-kanak di usia ini sudah mula boleh membezakan sesuatu yang konkrit dan abstrak serta di peringkat permulaan memahami sesuatu yang berbentuk konseptual).
– Pendidikan tentang penjagaan maruah dan perwatakan diri contohnya tidak boleh lihat aurat orang lain, larangan mengeluarkan kata-kata kesat dan lucah.
Kata Dr. Mastura lagi, berikut adalah tips hasil penulisan Dr. Hassan Shamsi Basha dari Beirut (2001):
– Usah menganggap anggota sulit sebagai suatu yang aib dan tak perlu disebut bila memperkenalkan anggota badan. Didik anak menerima dan menghargai dirinya seadanya.
– Cuba menjawab persoalan anak tentang sesuatu yang berkaitan pendidikan seks dengan jawapan mudah difahami (sesuai mengikut peringkat umur) tanpa perlu diperincikan. Contohnya soalan, “Bagaimana adik boleh ada dalam perut umi”?
– Apabila kanak-kanak semakin besar, boleh bercerita tentang proses kejadian manusia dan peringkat perkembangan janin dalam kandungan sehingga usia sembilan bulan.
– Didik anak tentang keselamatan diri: apa yang ada pada dirinya adalah miliknya. Jangan biarkan sesiapa menyentuh alat sulitnya kecuali untuk tujuan membersihkan atau sebab perubatan.
– Perhatikan tingkah laku anak ketika bermain terutama jika bercampur lelaki perempuan yang remaja dan kanak-kanak di bawah umur.
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Utusan Malaysia.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN