Dilema hijau: Malaysia boleh, tapi mahukah?

Dilema hijau: Malaysia boleh, tapi mahukah?

CABARAN sebenar untuk memastikan manfaat ekonomi hijau dikongsi oleh semua, terutama mereka yang paling terdedah kepada kesan iklim. – UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Asal hujan, banjir”, antara rungutan rata-rata rakyat Malaysia sejak kebelakangan ini.

Hari ini, frasa perubahan iklim menjadi lebih dekat dan bermakna secara peribadi malah mendesak akibat rentetan peristiwa cuaca ekstrem.

Baru-baru ini, sektor kewangan hijau mendapat perhatian dan ia mewakili cara untuk menyalurkan modal ke dalam projek-projek yang boleh membantu mengurangkan kerosakan alam sekitar serta membina daya tahan terhadap kesan iklim.

Malaysia mengambil tindakan proaktif dalam bidang ini, terutamanya dengan dokumen Perubahan Iklim dan Taksonomi Berasaskan Prinsip yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia. Ia merupakan rangka kerja untuk institusi kewangan menilai kegiatan ekonomi dan kesannya terhadap iklim dan persekitaran. Ini adalah satu langkah penting ke arah ketelusan dan akauntabiliti yang lebih besar dalam sektor kewangan.

Walaupun pelaburan dan bon hijau semakin menarik perhatian pelabur institusi yang ingin menyelaraskan portfolio terhadap tanggungjawab alam sekitar tetapi pembangunan projek hijau bukanlah satu perkara yang mudah. Ia memerlukan pemahaman mendalam tentang impak alam sekitar dan kemampanan serta pelaburan awal yang besar dalam penyelidikan, perancangan mahupun pelaksanaan.

Projek-projek ini sering melibatkan teknologi canggih, proses pensijilan yang ketat dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa selain memerlukan kepakaran khusus. Selain itu, kos awal yang tinggi untuk projek-projek ini boleh menjadi penghalang bagi pemaju. Mereka mungkin memilih alternatif lebih murah dan kurang mampan.

Cabaran ini dirumitkan lagi dengan fakta bahawa kewangan hijau masih merupakan konsep yang agak baharu di banyak pasaran, termasuk Malaysia. Institusi kewangan dan pemaju projek mungkin kurang pengalaman atau insentif untuk melaksanakannya. Tanpa rangkaian projek yang layak, pasaran bon hijau boleh terhenti, menggagalkan matlamat kemampanan yang diharapkan.

Untuk menjambatani jurang ini, dasar yang merangsang kemasukan kewangan hijau perlu diwujudkan. Ini bermakna merangka insentif kewangan yang bukan sahaja menarik tetapi juga praktikal dan boleh diakses oleh pemaju.

Kerajaan boleh melaksanakan pelbagai alat fiskal yang boleh mengubah ekonomi ke arah kemampanan. Sebagai contoh, memperkenalkan insentif cukai untuk syarikat yang melabur dalam teknologi hijau boleh menjadikan inovasi ini lebih kompetitif dari segi ekonomi selain menggalakkan penerimaan yang meluas.

Ia boleh menjadi alat yang berkesan untuk mengurangkan pencemaran, menjadikannya lebih mahal untuk syarikat terlibat dalam aktiviti yang merosakkan alam sekitar. Hasil cukai ini boleh digunakan untuk membiayai projek-projek mitigasi iklim, meningkatkan peralihan kepada sumber tenaga yang lebih bersih dan meningkatkan kesihatan awam melalui kualiti udara yang lebih baik.

Walaupun pelaksanaan cukai karbon mempunyai cabaran tersendiri, termasuk kesannya terhadap isi rumah berpendapatan rendah dan keperluan untuk mekanisme penguatkuasaan yang berkesan, ia mewakili pendekatan proaktif untuk mencapai sasaran neutral karbon Malaysia menjelang 2050 dan meningkatkan daya saingnya dalam pasaran global untuk amalan mampan.

Golongan muda semakin sedar akan krisis iklim dan mendesak agar institusi kewangan memberi keutamaan kepada planet daripada keuntungan jangka pendek. Ini amat penting memandangkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang merangkumi lebih daripada 90 peratus daripada keseluruhan penubuhan perniagaan di negara ini pada 2023, dengan lebih ramai golongan muda terlibat dalam perusahaan ini.

Komuniti terpinggir yang tinggal di kawasan mudah banjir, menderita paling banyak semasa gelombang haba dan tidak mampu untuk menyesuaikan diri dengan keadaan yang berubah. Bagi mereka, perubahan iklim adalah perjuangan harian. Alat seperti bon impak sosial boleh disesuaikan untuk memberi manfaat kepada komuniti ini dengan memastikan kewangan hijau sampai kepada mereka yang paling memerlukannya.

Dalam peralihan kepada ekonomi yang lebih hijau, prinsip adil sangat penting untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan. Ini termasuk melabur dalam program latihan semula untuk pekerja dalam industri intensif karbon, menyokong PKS dalam mengamalkan amalan mampan dan mewujudkan pekerjaan baharu dalam ekonomi hijau.

Pergerakan Persekitaran, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG) semakin mendapat momentum apabila Malaysia mula mengikuti jejak langkah ini. Institusi kewangan semakin memasukkan kriteria ini dalam strategi pelaburan ekoran menyedari syarikat dengan amalan ESG yang kukuh membawa manfaat jangka masa panjang.

ESG perlu dilihat sebagai pemacu inovasi dan penciptaan nilai. Ini termasuk menerima model perniagaan baharu yang memberi keutamaan kepada kemampanan, melabur dalam teknologi canggih untuk mengurangkan kesan alam sekitar dan membangunkan produk serta perkhidmatan yang menangani cabaran unik akibat perubahan iklim.

Sebagai contoh, menggunakan analitik data canggih dan kecerdasan buatan (AI) dalam pelaporan ESG boleh meningkatkan ketelusan dan membantu pelabur membuat keputusan yang lebih bermaklumat.

Dalam masa sama, kerajaan perlu mencipta persekitaran pengawalseliaan yang menggalakkan, bukan hanya mewajibkan penerimaan ESG. Ini termasuk memperkenalkan pendedahan ESG mandatori, menawarkan insentif kepada pelopor awal dan membangunkan metrik piawai yang memastikan konsistensi dan kebolehbandingan di seluruh sektor.

Kerjasama awam-swasta juga perlu diperkukuhkan dan ia bermula dengan ketelusan. Mekanisme pemantauan dan pelaporan yang ketat perlu ada untuk menjejaki impak inisiatif kewangan hijau dan memastikan ia memenuhi janjinya.

Di samping semua ini, penting untuk kita melangkaui permainan salah menyalah. Terlalu kerap, beban untuk menangani isu alam sekitar diletakkan sepenuhnya di bahu pengguna individu kerana tanggungjawab ini sebenarnya di bawah industri dan perniagaan. Entiti-entiti ini bertanggungjawab terhadap pelepasan, pencemaran dan sisa dalam skala yang jauh lebih besar.

Namun, mereka sering terlepas daripada pengawasan, sementara pengguna merasa bersalah atas pilihan mereka. Ketidakseimbangan ini bukan sahaja tidak adil tetapi juga tidak produktif.

ACAH-ACAH HIJAU
Tambahan pula, acah hijau (greenwashing) semakin menjadi kebiasaan, dengan syarikat-syarikat dalam pelbagai sektor, baik di peringkat global mahupun di Malaysia, membuat tuntutan yang mengelirukan tentang usaha alam sekitar mereka. Walaupun kesedaran tentang isu ini semakin meningkat, namun terdapat kekurangan peraturan yang jelas untuk menanganinya.

Tanpa peraturan yang ketat dan akauntabiliti, industri akan terus melakukan amalan ini, meremehkan usaha sebenar untuk menangani perubahan iklim.

Struktur pembiayaan semasa juga perlu diperiksa semula untuk memastikan pembiayaan yang adil tersedia di seluruh sektor dan wilayah bagi membolehkan setiap pihak berkepentingan menyumbang secara efektif kepada peralihan hijau.

Oleh itu, cabaran sebenar adalah pada kesediaan kita untuk menghadapi kebenaran yang tidak selesa. Pemain industri bertanggungjawab dan perlu memastikan manfaat ekonomi hijau dikongsi oleh semua, terutama mereka yang paling terdedah kepada kesan iklim.

Taruhannya tinggi dan jalan ke hadapan menuntut pilihan yang berani kerana akan menentukan bukan sahaja tempat kita di bumi ini, tetapi juga warisan yang ditinggalkan untuk generasi akan datang.-UTUSAN

PENULIS ialah aktivis belia alam sekitar, Ahli Panel Konsultasi Perubahan Iklim, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dan Pelajar Ijazah Kedoktoran (PhD), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×