HARI ini pastinya 1.6 juta kumpulan penjawat awam tidak sabar untuk mendengar apakah berita gembira yang akan diumumkan kerajaan berhubung kenaikan gaji pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA).
MAPPA telah menjadi acara tahunan yang dinanti-nantikan penjawat awam di Malaysia sejak tahun 2000 sebagai salah satu platform untuk seluruh penjawat awam menghayati aspirasi dan hasrat pucuk kepimpinan tertinggi negara melalui amanat yang disampaikan Perdana Menteri.
Sebelum ini, kerajaan memaklumkan kumpulan penjawat awam bakal mendapat berita gembira berhubung mekanisme pelarasan gaji yang akan disampaikan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada perhimpunan terbesar perkhidmatan awam kali ke-19 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC).
Dan Isnin lalu, ia sekali lagi disahkan oleh Ketua Setiausaha Negara baharu, Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar yang memberikan bayangan itu walaupun masih berteka-teki apakah berita baik yang sudah pun menjadi rahsia terbuka soal pendapatan kakitangan kerajaan menerusi kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).
Percaya atau tidak, masih ada kumpulan penjawat awam gred rendah menerima gaji permulaan sekitar RM1,216 sebulan. Pastinya jumlah itu tidak mencukupi, malah nilainya di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) dengan mengambil kira cabaran kenaikan kos sara hidup yang kian mencabar, apatah lagi tinggal di bandar.
Kali terakhir kadar gaji penjawat awam dinaikkan adalah pada 2013, iaitu membabitkan pemberian satu kenaikan gaji tahunan (KGT) antara RM80 hingga RM320. Ini bermakna lebih sedekad ia tidak disemak semula.
Baru-baru ini, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil memaklumkan, setiap penjawat awam akan mendapat gambaran secara umum peningkatan gaji masing-masing yang dijangka antara 15 hingga 42.7 peratus pada majlis hari ini.
Peningkatan kadar gaji baharu bagi kumpulan pelaksana adalah paling tinggi, manakala bagi kumpulan penjawat awam seperti Ketua Setiausaha dan Ketua Pengarah pula adalah lebih sederhana.
Ini bermakna seramai 692,828 kakitangan kumpulan pelaksana melibatkan pegawai Gred 40 dan ke bawah bakal menikmati kenaikan pendapatan sehingga 42.7 peratus.
Semasa sambutan Hari Pekerja Mei lalu, Anwar mengumumkan pelarasan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember depan iaitu yang tertinggi dalam sejarah negara melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.
Tentunya, kenaikan gaji ini memberi implikasi kepada kewangan kerajaan. Ia bukan hanya perlu di bawa ke mesyuarat Jemaah Menteri tetapi juga dalam Belanjawan 2025 yang akan dibentangkan pada 18 Oktober di Parlimen.
Kajian berhubung sistem saraan itu tidak hanya tertumpu soal pelarasan gaji, sebaliknya dijalankan secara menyeluruh termasuk peningkatan produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam yang mewajarkan gaji setimpal termasuk kesejahteraan golongan itu dan kemampanan fiskal negara dalam membiayai perbelanjaan berkaitan perkhidmatan awam.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut memberitahu, pendapatan minimum penjawat awam beserta elaun akan berubah dan meningkat pada kadar sekurang-kurangnya RM2,000. Ini tentunya sesuatu yang melegakan kerana pada masa ini pendapatan menyeluruh (termasuk elaun) minimum adalah pada kadar RM1,765.
Bagaimanapun, kerajaan menegaskan, kenaikan gaji itu akan dibuat berdasarkan penilaian prestasi serta tahap kecekapan penjawat awam bagi memastikan hanya mereka yang layak dan menunjukkan prestasi cemerlang sahaja menerima faedah tersebut.
Penjawat awam bermasalah tidak akan diberi layanan sama rata dalam mendapat ‘habuan’ kenaikan gaji itu atas dasar keadilan kepada mereka yang bekerja bertungkus-lumus, berbanding mereka yang culas, malas dan lembab dalam melaksanakan amanah.
Pasti ramai yang bersetuju dengan tindakan tegas ini. Mana mungkin mereka yang tidak produktif atau suka menular menikmati keistimewaan sama rata dengan mereka yang komited dengan tugas masing-masing.
Datang pejabat hanya ‘punch card’, lepas itu keluar semula. Pukul 10 pagi keluar lagi untuk minum pagi sehingga berjam-jam. Masuk jam 12 tengahari, keluar makan tengah hari pula. Cukup masa 4.30 petang, angkat beg dan pulang. Satu kerja pun tidak jalan. Yang terkesan adalah rakyat yang mahukan perkhidmatan cekap dan efisien terutama petugas yang berurusan secara langsung dengan pelanggan.
Dalam hal ini, ketua jabatan perlu tegas. Jangan lagi memberi muka kepada mereka ini. Tidak dinafikan majoriti kakitangan awam masih ada bersikap jujur, bertanggungjawab dan benar-benar melaksanakan tugas dengan baik. Wujudkan KPI atau petunjuk prestasi utama bagi membuat penilaian kerja masing-masing.
Hal-hal sebegini perlu dititikberatkan kerana setiap sen yang dibayar adalah wang rakyat. Mereka berhak menuntut satu perkhidmatan awam yang ideal sebagaimana matlamat utama kajian SSPA ini bagi menangani tiga cabaran semasa iaitu produktiviti perkhidmatan awam, pendapatan boleh guna yang tidak seiring peningkatan kos sara hidup serta kemampanan fiskal negara.
Apa yang menarik pada hari MAPPA ini, pihak penganjur menyediakan perkhidmatan khas kalau hendak kira berapa kenaikan akan berlaku pada gaji masing-masing.
“Ada kalkulator (untuk kira) berapa gaji kita. Pada 1 Disember, akan berlaku kenaikan gaji dan hujung bulan (Disember) penjawat awam akan terima kadar gaji yang baharu,” kata Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Datuk Mohd Shaiful Ibrahim seperti dipetik daripada laporan Bernama.
JANGAN BOROS
Nampaknya, masing-masing sudah mula membuat kira-kira berapa banyak duit tambahan yang diperoleh. Jangan pula Disember nanti penuh orang di kedai emas, ‘show room’ kereta dan tidak kurang yang mengintai beg tangan berjenama.
Pelaksanaan kenaikan gaji ini adalah untuk menampung keperluan hidup dan bukannya untuk bermewah-mewah. Perlu diingat, banyak duit mahu dipakai pada tahun depan. Sesi persekolahan sudah diawalkan pada Februari, disusuli Ramadan yang dijangka pada 2 Mac dan kemudiannya sambutan Aidilfitri pada 31 Mac. Maka berpada-padalah dalam berbelanja.
Ironinya, kenaikan gaji ini sebagai menghargai jasa dan khidmat bakti kumpulan penjawat awam yang menjadi nadi penting pembangunan negara. Dengan harapan, ia memberi suntikan semangat untuk bekerja lebih cemerlang tanpa ada unsur-unsur salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah atas alasan gaji tak cukup!
PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia Putrajaya.










