Noktahkan ‘poket’ kemiskinan penjawat awam

Noktahkan ‘poket’ kemiskinan penjawat awam

KENAIKAN gaji penjawat awam dijangka memberikan impak positif kepada kutipan cukai pendapatan individu. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENJAWAT awam di Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan kelancaran pentadbiran kerajaan dan sistem penyampaian perkhidmatan awam. Namun, walaupun menjawat pekerjaan yang stabil, kemiskinan masih menjadi masalah signifikan bagi mereka.

Fenomena ini dikenali sebagai ‘poket kemiskinan’, yang menggambarkan situasi apabila penjawat awam menghadapi kesukaran kewangan walaupun mempunyai pendapatan tetap.

Data terkini menunjukkan lebih 40 peratus penjawat awam berada dalam kategori B40.

Kemiskinan dalam kalangan penjawat awam bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan hidup mereka tetapi juga memberi impak kepada produktiviti kerja. Mereka yang tertekan dengan masalah kewangan cenderung mengalami tekanan emosi dan mental yang akhirnya menjejaskan prestasi kerja.

Kos sara hidup yang semakin meningkat adalah salah satu faktor utama menyumbang kepada kemiskinan. Harga barang keperluan asas seperti makanan, perumahan dan perkhidmatan kesihatan meningkat setiap tahun. Hal ini menyebabkan pendapatan bulanan tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian, apatah lagi untuk menabung.

Kajian menunjukkan sebahagian besar penjawat awam menghadapi kesukaran menyediakan tabung kecemasan. Menurut laporan Bank Negara Malaysia pada tahun lalu, lebih daripada 50 peratus penjawat awam sukar menyimpan bagi menampung perbelanjaan kecemasan selama tiga bulan. Ini menunjukkan golongan ini terdedah kepada risiko kewangan yang serius jika berlaku sesuatu di luar jangka.

Dalam masa sama, masalah hutang yang tinggi turut membelenggu dan mendedahkan mereka kepada perangkap kemiskinan. Antara segmen hutang popular ialah pinjaman peribadi, perumahan, kenderaan dan kad kredit.

Di samping itu, ramai kurang pengetahuan mengenai pengurusan kewangan. Kekurangan pendidikan kewangan menyebabkan mereka sukar untuk menguruskan pendapatan dan perbelanjaan dengan sistematik. Akibatnya, mereka cenderung untuk berhutang bagi menampung keperluan harian dan menghadapi masalah kewangan yang berterusan.

Dalam mendepani kemelut poket kemiskinan ini, terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilaksanakan bagi mengatasinya. Antaranya, penjawat awam perlu diberi pendedahan dan pendidikan mengenai pengurusan kewangan yang efektif. Program latihan dan bengkel yang dikendalikan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta agensi-agensi kewangan seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) perlu diperluaskan.

Selain itu, penting juga memperkasa sistem maklumat kewangan yang holistik. Sistem ini perlu merangkumi beberapa aspek penting yang dapat membantu penjawat awam mengurus kewangan dengan lebih baik. Pengetahuan tentang pengurusan bajet, cara mengelakkan hutang berlebihan dan teknik menabung yang efektif penting untuk membantu mereka mengurus kewangan dengan efisien.

Dengan pengetahuan kewangan yang mencukupi, penjawat awam dapat mengurus kewangan dengan lebih baik dan mengelakkan daripada terjebak dalam hutang. Sistem pengurusan maklumat kewangan dan ekonomi yang baik amat penting untuk dikuasai. Ini sekali gus membolehkan mereka membuat keputusan yang bijak mengenai perbelanjaan, penabungan dan pelaburan.

Dalam masa sama, pemahaman mendalam tentang aliran tunai dan kos sara hidup membolehkan mereka menyesuaikan perbelanjaan mengikut kemampuan sebenar serta merancang untuk keperluan kecemasan. Ini semua membantu dalam meningkatkan kestabilan kewangan dan kesejahteraan hidup.

Langkah proaktif yang perlu difikirkan ialah dengan mencipta tabung kewangan kecemasan. Tabung ini boleh digunakan untuk menampung perbelanjaan kecemasan seperti kerosakan kenderaan, perubatan atau kos pendidikan yang tidak dirancang. Ini membantu mereka mengelak daripada terpaksa berhutang untuk menampung perbelanjaan ini.

Sebaliknya, penjawat awam yang terperangkap dalam hutang yang tinggi boleh memanfaatkan pelan pembayaran balik yang ditawarkan oleh institusi kewangan.

AKPK menyediakan program pengurusan kredit yang membantu individu dalam khidmat kaunseling bagi menyusun semula hutang dan mencadangkan pelan pembayaran balik yang lebih teratur. Kemudahan ini dapat membantu mengurangkan bebanan hutang bulanan dan memberi ruang untuk menabung selain mengurus perbelanjaan lain.

Di samping itu, kempen kesedaran mengenai pengurusan kewangan perlu diperkasakan. Program pendidikan kewangan yang menyeluruh perlu dilaksanakan di semua peringkat bermula dari sekolah hingga ke tempat kerja.

KELUAR DARI KEMISKINAN
Justeru itu, beberapa langkah strategik perlu diambil kerajaan, majikan dan individu itu sendiri dalam menangani permasalahan poket kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi dalam kalangan penjawat awam. Antaranya, kerajaan telah mengkaji semula dasar gaji minimum bagi memastikan ia sejajar dengan kos sara hidup semasa. Penjawat awam akan mula menerima gaji baharu pada Disember ini dalam membantu mereka menampung perbelanjaan harian.

Selain itu, program subsidi dan bantuan kewangan seperti Bantuan Sara Hidup (BSH) perlu diperluaskan dan disasarkan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Kerajaan juga perlu memperkenalkan lebih banyak program perumahan mampu milik untuk penjawat awam. Kos perumahan yang tinggi adalah salah satu faktor utama yang menyumbang kepada kos sara hidup yang tinggi. Dengan adanya usaha ini, mereka dapat mengurangkan perbelanjaan bulanan dengan seoptimum mungkin.

Ironinya, poket kemiskinan dalam kalangan penjawat awam adalah isu yang serius dan memerlukan perhatian berterusan. Dengan peningkatan kos sara hidup, beban hutang yang tinggi dan gaji yang tidak mencukupi menyebabkan ramai dalam kalangan golongan ini menghadapi kesukaran kewangan.

Usaha menoktahkan poket kemiskinan dalam kalangan penjawat awam perlu dilakukan dalam memastikan mereka tidak hanya mendepani realiti kemiskinan tetapi juga merealisasikan inspirasi untuk mencapai kestabilan dan kesejahteraan kewangan.

Dengan komitmen dan kerjasama semua pihak, kita boleh membantu penjawat awam keluar dari kitaran kemiskinan dan menuju masa depan yang lebih bermakna.-UTUSAN

 

PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Fakulti Keusahawan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

MUHAMMAD Zariq Naqiuddin Zaid ialah Pegawai Penyelidik, InsPeK, Fakulti Keusahawan dan Perniagaan UMK.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN