BARU-BARU ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri mendedahkan terdapat lebih 3,000 undang-undang lapuk yang perlu dikaji semula agar lebih relevan dengan peredaran masa. Hakikatnya banyak undang-undang sivil di negara ini diwujudkan sebelum merdeka lagi.
Bertepatan dengan semangat kemerdekaan, elok dianalisis sejauh mana undang-undang dan badan kehakiman syariah diperkasakan. Peruntukan undang-undang yang kabur juga perlu penambahbaikan agar jelas untuk dikuatkuasakan.
Dalam konteks undang-undang syariah, belum ada undang-undang yang boleh dikategorikan sebagai lapuk. Banyak enakmen negeri tahun 1960-an sudah dimansuhkan dan diganti dengan enakmen baharu pada era 90-an. Malah undang-undang 90-an juga sudah banyak dipinda dan diperbaharu.
Terkini Dewan Undangan Negeri Kedah meluluskan rang undang-undang (RUU) bagi memasukkan mahkamah syariah ke dalam Undang-Undang Tubuh Negeri. Ini adalah sebahagian daripada cadangan memperkasakan mahkamah syariah yang sebetulnya telah lama dikemukakan.
Malah, saya turut mengemukakannya kembali semasa membentangkan kertas kerja dalam Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia baru-baru ini. Diharapkan agar negeri-negeri lain juga akan menuruti jejak langkah Kedah selepas ini.
Untuk memartabatkan undang-undang syariah, dari satu segi, perubahan jarang berlaku apabila berada dalam keadaan selesa. Perubahan selalu berlaku apabila berhadapan dengan cabaran. Apabila undang-undang dicabar, barulah ada pergerakan.
BEZA TAFSIRAN
Cabaran yang sering dihadapi perundangan syariah adalah berkenaan pentafsiran dan konflik bidang kuasa. Dari masa ke masa ada sahaja kes yang dibawa ke mahkamah sivil yang memohon kebenaran melakukan semakan kehakiman.
Mahkamah sivil membuat pentafsiran yang berbeza-beza apabila kes-kes berkaitan Islam dan semakan kehakiman dibenarkan.
Sebagai contoh, dalam kes Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) lwn Victoria Jayaselee Martin, Victoria mengheret MAIWP ke mahkamah tinggi kerana menolak permohonannya untuk diterima masuk sebagai peguam syarie di Wilayah Persekutuan.
Beliau memohon satu pengisytiharan bahawa Kaedah 10 tentang beragama Islam dalam Kaedah Peguam Syarie 1993 adalah bercanggah dengan Perkara 5, 8, dan 10 Perlembagaan Persekutuan.
Seksyen 59 (1) Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 hanya menetapkan ‘mana-mana orang’ yang mempunyai pengetahuan mencukupi boleh diterima sebagai peguam syarie.
Mahkamah tinggi menolak permohonan itu, kemudian mahkamah rayuan membenarkan rayuan, namun Mahkamah Persekutuan mengesahkan keputusan mahkamah tinggi bahawa tindakan MAIWP adalah tidak bercanggah dengan undang-undang yang ada.
Keputusan beberapa kes kebelakangan ini pula boleh mengubah landskap undang-undang syariah. Dalam kes Ikiputra Mubarrak lwn Kerajaan Negeri Selangor, cabaran terhadap kuasa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor meninggalkan kesan yang mendalam hingga kini, bukan sahaja kepada Selangor, malah kepada seluruh frateniti undang-undang syariah.
Ditambah pula dengan kes Nik Elin Zurina Abdul Rashid lwn Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun ini.
Ekoran dua kes itu, agenda skop ‘kesalahan terhadap agama’ dan menyelaraskan undang-undang kesalahan jenayah perlu menjadi keutamaan, manakala pembentangan RUU 355 wajar dipercepat bagi membolehkan pindaan secara menyeluruh dapat dilakukan dengan lebih sistematik.
Satu lagi aspek konflik ialah penentuan status agama Islam. Apa yang dilakukan oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes Soon Singh lwn Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) pada 1999 gagal memberikan jalan penyelesaian dalam hal bidang kuasa untuk permohonan keluar agama.
Tambah pula apabila kes Lina Joy mengheret MAIWP ke Mahkamah dari 2004 hingga 2007 dalam usaha menggugurkan perkataan Islam daripada kad pengenalannya.
Seharusnya, undang-undang yang memberi punca bidang kuasa perlu jelas supaya tiada pertikaian dan mengundang pelbagai tafsiran.
Ketika kes Siti Fatimah Tan Abdullah lwn Majlis Agama Islam Pulau Pinang diputuskan, belum ada kaedah pengendalian dalam kes permohonan penentuan status agama pada 2009.
Ia dibicarakan secara terus di mahkamah tinggi syariah. Ekoran kes itu, Jabatan Mufti Pulau Pinang mengeluarkan Fatwa Mengenai Perintah Istitabah 2013 yang mewajibkan sesi istitabah sebelum mahkamah boleh membuat keputusan.
Ketiadaan peruntukan undang-undang yang jelas mengenai bidang kuasa penentuan status agama menyebabkan pihak yang terkilan pergi ke mahkamah sivil memohon semakan kehakiman serta menuntut relif seperti perintah pengisytiharan sebagai bukan lagi beragama Islam.
Berdasarkan kes-kes yang dilaporkan, ia banyak berlaku di Sarawak, Sabah, Selangor dan Wilayah Persekutuan.
Sungguhpun begitu, banyak juga permohonan kebenaran untuk melakukan semakan kehakiman tidak diberi kebenaran. Manakala yang mendapat kebenaran semakan kehakiman juga ditolak oleh mahkamah sivil kerana menghormati semangat dan tujuan diadakan Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
Sarawak yang banyak berdepan dengan kes-kes sebegini akhirnya meluluskan Kaedah-Kaedah Tatacara Mal (Pengisytiharan Status Agama Islam) 2018. Persidangan Ketua Hakim Syarie juga membuat Arahan Amalan tahun 2020 mengenai proses kerja mahkamah mengendalikan kes permohonan penentuan status agama.
Namun Arahan Amalan ini tidak boleh digunapakai di beberapa negeri yang masih belum ada punca kuasa untuk membuat pengisytiharan status agama seseorang.
Sedangkan Negeri Sembilan telah mengemaskini Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Sembilan 2003 pada 2019 supaya hanya mereka yang memeluk Islam dan berdomisil di negeri itu sahaja yang boleh membuat permohonan.
Banyak hikmah yang boleh dipelajari daripada cabaran kes-kes ke arah menambah baik undang-undang syariah di negara ini.
Kesatuan dan kebersamaan dalam menjayakan agenda memperkasakan undang-undang dan mahkamah syariah menuntut komitmen yang tinggi dan harus dikendong bersama. – UTUSAN
PENULIS ialah Profesor Madya di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) dan Felo Kehormat, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).










