Kehebatan bahasa Melayu hanya sekadar jaguh kampung?

Kehebatan bahasa Melayu hanya sekadar jaguh kampung?

BAHASA Melayu perlu diletakkan di paras tertinggi sebagai identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKAN sahaja amat menyedihkan, juga sangat malang sekali apabila ada dalam kalangan pemimpin Melayu sendiri yang sanggup menyifatkan keunggulan bahasa Melayu sekadar hanya jaguh kampung, iaitu hebat di tempat sendiri sahaja. Oleh itu, ia tidak perlu pun diberi perhatian yang berlebihan kerana kepentingannya adalah di dalam negara sahaja. Itupun jika bahasa Melayu yang merupakan bahasa negara mahu dianggap bernilai di negara ini.

Sehubungan kepentingannya itu, ia yang merupakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi sewajarnya digunakan dalam semua ranah rasmi dan formal negara, lebih-lebih lagi oleh sektor awam.

Sebenarnya hal ini diwajibkan pada Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1 Tahun 2020 untuk Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam.

Namun, ia tidak selalu diikuti. Ini dapat dilihat dalam pelbagai acara kerajaan yang langsung tidak mengendahkannya. Antaranya adalah rancangan untuk negara memperoleh pingat emas pertama pada Temasya Sukan Olimpik. Ia sebenarnya boleh sahaja dengan mudah lagi cepat diberi nama Melayu , ‘Memburu Emas’ dan bukannya menggunakan bahasa Inggeris, ‘Road To Gold’.

Itulah hakikatnya. Tanpa berasa bersalah, ungkapan Inggeris seperti ‘flag off’, ‘info on wheels’ dan yang seumpamanya bukan sahaja banyak sekali digunakan tetapi lebih dibanggakan kerana menggunakan bahasa Inggeris yang lebih berkuasa, tinggi prestijnya serta banyak pula glamornya apabila dibandingkan dengan bahasa Melayu.

Dalam konteks ini, bahasa Inggeris dianggap sebagai jaguh dunia, yakni pengiktirafan untuk memperoleh pencapaian terbaik. Dalam hal ini, tidak dapat dinafikan bahasa Inggeris adalah bahasa antarabangsa terpenting kini.

Akan tetapi, jati diri kebangsaan melalui penggunaan bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara wajib diutamakan dalam semua ranah kenegaraan. Lebih-lebih lagi yang hanya melibatkan warganegara sendiri, seperti yang sangat dikehendaki pada pekeliling itu.

Sesungguhnya tanggungjawab kebahasaan ini bukan sahaja terletak sepenuhnya pada bahu golongan penjawat awam tetapi juga pada anggota pentadbiran, iaitu menteri dan timbalannya yang sama-sama wajib ikut memastikan pemerkasaan bahasa negara di kementerian masing-masing pada setiap waktu.

Oleh itu, semua langkah harus diambil untuk memastikan bahasa Melayu mendapat tempat sewajarnya sebagai bahasa negara, yang bukan sahaja wajib dihormati pada setiap masa.

Juga diguna pakai dengan baik dan betul selain berleluasa dalam semua ranah kenegaraan. Ini sangat penting sebelum sektor swasta mahu ikut diwajibkan menggunakan bahasa Melayu.

Selagi sektor awam terus-terusan menggunakan ungkapan ‘Fit Malaysia’ dan yang seumpamanya untuk banyak acaranya, selama itulah sektor swasta tidak akan bersikap serius dalam usaha untuk ikut memperkasa bahasa Melayu dalam peranannya sebagai bahasa negara. Ini kerana ia ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul.

Sepatutnya setelah lebih daripada enam dasawarsa tertubuhnya Malaysia dan terbinanya negara bangsa, kita sudah cukup matang untuk bukan sahaja memahami, juga menyedari peri pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Ini kerana bahasa Melayu adalah identiti nasional untuk negara dan identiti budaya bagi rakyat.

Namun keadaan sebaliknya terus berlaku, malah menjadi lebih teruk lagi apabila ada dalam kalangan kepimpinan negara yang mengatakan bahawa masa telah banyak berubah. Dengan ini, bahasa Melayu yang masih kurang nilai ekonominya berbanding dengan bahasa Cina (Mandarin), apatah lagi dengan bahasa Inggeris, hanya perlu dihormati sekadar token sahaja.

Ini bermakna kepentingan bahasa Melayu hanya sebagai lambang selain fakta semata-mata, tanpa perlu pun ditunjukkan perasaan bangga, sayang dan setia terhadapnya.

Jadi bahasa Melayu tidak perlulah diguna pakai sangat, malah langsung seperti yang diwajibkan pada pekeliling itu. Justeru berleluasalah penggunaan ungkapan bahasa Inggeris. Antaranya ‘Fun Run’, ‘Town Hall Meeting’ dan ratusan yang lain.

Kesemuanya ini sebenarnya boleh pun diungkapkan dengan baik dalam bahasa Melayu, seperti ‘Larian Ceria’ dan ‘Pertemuan Khalayak’, sekiranya jati diri kebangsaan kita utuh lagi kental pada setiap masa.

Sesungguhnya pemimpin Melayu yang merupakan penutur jati kepada bahasa Melayu, hendaklah menjadi teladan baik tentang kepentingan bahasa Melayu.

Sehubungan ini, pemimpin Melayu tidak boleh sesekali memperlekehkannya sebagai hanya jaguh kampung. Ini kerana tindakan tidak cerdik ini akan menafikan seluruh sejarah gemilang etnik Melayu itu sendiri.

Dengan bukan sahaja mengagungkan, juga memuliakan bahasa Inggeris sebagai jaguh dunia, pemimpin Melayu begini memang tidak mempunyai jati diri Melayu langsung sebagai etnik Melayu yang merupakan penduduk asal dan kelompok majoriti lagi dominan. Begitu juga dengan jati diri kebangsaan Melayu-Islam untuk terus memimpin pada mana-mana peringkat jua.

MELENGKAPI
Sepatutnya bahasa Melayu dan bahasa Inggeris saling melengkapi di negara ini dan tidak sesekali dilaga-lagakan dalam bentuk persaingan menghina antara jaguh kampung mahupun jaguh dunia.

Apabila wujud kesalingan, dua bahasa ini ada peranan untuk kelangsungan masing-masing.

Sebaliknya apabila bersaing, bahasa Melayu pasti akan mengalami kemerosotan. Antaranya menjadi bahasa kecil yang hanya berperanan dalam ranah remeh lagi tidak penting.-UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Majlis Profesor Negara (MPN) dan Institut Masa Depan Malaysia (MASA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN