HARI ini rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan ke-67 dengan tema Malaysia Madani: Jiwa Merdeka. Tema sambutan ini melambangkan kesejahteraan holistik, terutamanya dalam kemajuan progresif rakyat Malaysia yang berbilang kaumnya. Tema ini juga melambangkan diri yang teguh pada jati diri negara, sering kali disebut sebagai semangat patriotik.
Patriotisme atau rasa cinta kepada negara haruslah tulus. Ia perlu lahir daripada kesedaran serta pemahaman yang jelas tentang prinsip-prinsip selaku kerangka pembentukan negara kita. Hal ini sepatutnya menjadi asas kepada pembinaan jati diri anak watan dan seterusnya menjadi penyatu jiwa seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan keturunan, mahupun di mana mereka berada.
Tanah ini tanah beraja dan rakyatnya hidup di bawah naungan pemerintahan raja-raja Melayu yang mentadbir negara sejak zaman berzaman. Janganlah sekali-kali kita bersikap derhaka kepada baginda raja-raja.
Hidup kita dilingkungi adat dan adab yang diterjemahkan melalui kehalusan tutur kata, budi bahasa dan keperibadian mulia. Jangan sampai bahasa dan adat budaya kita tergadai hanya kerana kemajuan dan kehidupan moden ingin dikejar.
Di manakah terletaknya jati diri jika kita tidak faham serta menjunjung adat budaya sendiri? Mengenali diri kita harus dimulai dengan mengkaji sejarah diri dan sekeliling supaya tidak lupa diri dan mudah hilang pegangan. Dalamilah sejarah negara dan selami asal usul serta perjalanan tanah air agar benar-benar fahami segala yang telah membawa kita ke saat ini. Janganlah menjadi buta sejarah sehingga mudah dipermainkan orang lalu tertipu dengan naratif sejarah yang salah.
Bagi saya, memahami sejarah negara ialah perkara asas bagi menyatukan hati seluruh rakyat Malaysia. Kita mesti berbangga dengan tamadun yang dibina nenek moyang. Ia harus dijadikan rangsangan untuk terus berusaha membina negara ini dengan lebih gigih sehingga bukan sekadar disegani di mata dunia tetapi mampu memberikan kesejahteraan kepada seluruh rakyatnya.
Namun sayangnya, kadangkala kemajuan yang dicapai jelas melekakan kita. Contohnya, tatkala berbicara tentang topik kesetiaan kepada negara, semakin ramai yang tidak berminat kerana merasakan topik ini sudah terlalu klise ataupun nilai ini tidak lagi penting, sudah basi atau terlalu kerap diperkatakan. Masalahnya, perasaan sebegini timbul akibat mereka tidak benar-benar memahami nilai dan kepentingannya dalam kehidupan bernegara.
Dalam dunia hari ini, ramai yang merasa tidak selesa mahupun mempunyai keinginan untuk melangkah keluar daripada lingkungan keselesaan diri. Ini menyebabkan kita mengamalkan sikap individualistik dan mementingkan diri sendiri, ingin mempertahankan kepentingan diri sehingga tidak peduli kepentingan jumhur secara kolektif.
Hal ini bukan sahaja terhad kepada perihal kepentingan material, tetapi juga dalam hal identiti diri. Lazim sekali kita mendengar suara-suara yang mengatakan bahawa mereka mahu bebas menjadi diri sendiri kerana itulah mereka tanpa mempedulikan kesannya kepada orang sekeliling. Jika masing-masing bersikap begini, huru-hara jadinya masyarakat kita.
Baru-baru ini saya dijemput menjadi salah seorang panel bagi sebuah program anjuran Persatuan Pelajar Undang-undang Universiti Teknologi Mara (UiTM) sempena bulan Kebangsaan. Program tersebut membicarakan isu patriotisme terutamanya dalam konteks dunia yang mengalami perkembangan globalisasi secara meluas.
Salah satu topik yang diketengahkan oleh pemudah cara ialah isu penyeimbangan identiti diri dan negara. Dalam sesi soal jawab pula, saya ditanya oleh salah seorang peserta, bagaimanakah seseorang patut menyeimbangkan kedua-dua faktor identiti ini?
Kedua-dua faktor identiti ini sering dikatakan sebagai terpisah, sehingga boleh bercanggah dan menyebabkan krisis dalam diri seseorang. Kita inginkan identiti diri sendiri, sedangkan masyarakat sekeliling inginkan identiti negara diterapkan dalam diri setiap anggota masyarakat.
Oleh itu, hal ini dilihat rumit dan membebankan kerana pada satu sisi ia melibatkan sentimen diri, manakala di sisi lain melibatkan isi hati masyarakat yang kadang-kadang bercanggah dengan kemahuan diri kita sebagai individu.

SEMANGAT BERSAMA
Bagi saya, perkara ini akan hanya menjadi satu masalah sekiranya kita sendiri yang bertindak memisahkan diri daripada dunia sekeliling. Walhal, walaupun setiap daripada kita mempunyai kehidupan, pilihan dan kehendak sendiri, namun akhirnya sebagai anggota masyarakat, kita tetap hidup dalam satu dunia yang sama. Ini bermakna setiap tingkah laku anggota masyarakat itu boleh memberi kesan kepada individu lain.
Disebabkan inilah kita harus belajar hidup secara bermasyarakat, agar masing-masing dapat saling bantu-membantu serta menyokong satu sama lain.
Oleh kerana pembangunan diri manusia banyak dipengaruhi oleh suasana sekeliling, maka amat penting bagi sesebuah masyarakat untuk bergerak secara bersama-sama, agar dapat membentuk suatu persekitaran yang sihat untuk perkembangan sahsiah ahlinya.
Maka, di sinilah pentingnya kita memupuk identiti negara dalam diri setiap rakyatnya agar kita mempunyai hasrat dan nilai yang sama, yang mana akhirnya membawa kepada lahirnya semangat kesatuan rakyat yang kukuh.
Perpaduan rakyat ialah tonggak keutuhan negara. Negara akan hancur jika rakyatnya berpecah-belah dan saling berbalah sesama sendiri.
Masalahnya, ada rakyat yang hanya mahukan kehendak dan kemahuan diri mereka sahaja dipenuhi. Mereka menuntut hak namun tidak menghormati hak orang lain mahupun negara. Perkara ini boleh dilihat begitu jelas dalam gerakan berpaksikan ideologi anarki terutamanya dalam kalangan orang muda sehingga membelakangkan tatasusila dan peraturan.
Selamat menyambut Hari Kebangsaan ke-67. Mudah-mudahan semangat kenegaraan bukan sekadar menjadi slogan untuk didendangkan menjelang sambutan Hari Kebangsaan tetapi tertanam kukuh dalam jiwa setiap rakyat. Semoga negara kita sentiasa diberkati Allah dan dilindungi daripada segala malapetaka.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










