Jenayah penipuan siber gugat kewangan isi rumah

Jenayah penipuan siber gugat kewangan isi rumah

JENAYAH kewangan siber semakin meningkat sejajar dengan perkembangan teknologi digital dan penggunaan internet yang meluas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JENAYAH kewangan siber merujuk kepada pelbagai bentuk penipuan dan aktiviti jenayah yang dilakukan dalam talian melalui internet, bertujuan untuk mencuri maklumat peribadi dan kewangan.

Menurut laporan CyberSecurity Malaysia, terdapat lebih 10,000 kes pancingan data (phishing) dilaporkan pada 2023, dengan kerugian kewangan mencecah jutaan ringgit. Jenayah kewangan siber seperti pancingan data, penipuan pelaburan dalam talian dan kecurian identiti bukan sahaja menyebabkan kerugian kewangan, tetapi juga menimbulkan tekanan emosi dan psikologi kepada mangsa, sekali gus menghancurkan keharmonian kewangan isi rumah.

Antara sintom jenayah kewangan siber yang boleh dikenal pasti isi rumah antaranya terdapat transaksi yang tidak dikenali berlaku. Transaksi biasanya melibatkan akaun bank atau kad kredit. Ini boleh menjadi petanda maklumat kewangan dicerobohi pihak yang tidak bertanggungjawab. Dalam sesetengah keadaan, terdapat kejadian pihak tertentu meminta maklumat peribadi yang tidak sah. Mangsa mungkin menerima emel atau mesej mencurigakan yang meminta maklumat peribadi atau kewangan.

Penjenayah siber sering menggunakan teknik ini untuk mencuri maklumat sensitif. Terdapat juga insiden kata laluan yang tidak sah digunakan. Contohnya, jika pengguna tidak dapat mengakses akaun dengan kata laluan yang betul, ini mungkin menunjukkan akaun tersebut telah digodam. Selain itu, terdapat juga perubahan maklumat akaun tanpa kebenaran, seperti alamat emel atau nombor telefon.

Dalam menghadapi cabaran ini, setiap isi rumah disarankan agar mengambil beberapa langkah berjaga-jaga. Antaranya dengan meningkatkan pendidikan dan kesedaran tentang jenayah kewangan siber. Kempen kesedaran oleh pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Bank Negara Malaysia (BNM) boleh membantu masyarakat memahami risiko dan cara melindungi diri.

Dalam mendepani cabaran jenayah kewangan siber yang semakin melebar, pengguna disarankan mengamalkan langkah-langkah mengharmonikan kewangan isi rumah daripada menjadi mangsa jenayah kewangan siber. Antaranya adalah dengan menguruskan kewangan dengan bijak.
Isi rumah perlu mempunyai simpanan kecemasan yang mencukupi untuk menghadapi sebarang kejutan kewangan.

Pengguna juga dinasihatkan mengadakan pemantauan akaun secara berkala. Sentiasa memantau akaun bank dan kad kredit untuk memastikan tiada transaksi yang mencurigakan.

Pemantauan berkala dapat membantu mengesan jenayah pada peringkat awal. Dalam masa yang sama, pengguna dinasihatkan agar menggunakan rangkaian wifi yang selamat dengan mengelak menggunakan kemudahan ini di tempat awam untuk melakukan transaksi kewangan atau mengakses maklumat peribadi.

Pastikan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, nombor kad kredit atau kata laluan disimpan dengan selamat dan tidak dikongsi dengan orang lain.

Di samping itu, pengguna juga perlu lebih peka mengenai teknik-teknik penipuan siber terkini. Pengetahuan ini dapat membantu mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

Perkara yang paling dibimbangi ialah kesannya apabila menjadi mangsa jenayah termasuk kehilangan wang, tekanan emosi dan masa yang diperlukan untuk memulihkan keadaan kewangan.

UNDANG-UNDANG
Bagi membendung masalah ini, kerajaan memainkan peranan yang kritikal melalui pelbagai inisiatif dan tindakan bersepadu. Antara langkah yang diambil kerajaan termasuklah penggubalan undang-undang, penguatkuasaan, pendidikan awam dan kerjasama antarabangsa.

Kerajaan menggubal undang-undang khusus untuk menangani jenayah siber, seperti Akta Jenayah Komputer 1997 dan Akta Perlindungan Data Peribadi 2010. Undang-undang ini memberikan asas untuk mendakwa penjenayah siber dan melindungi hak-hak pengguna. Contohnya, Akta Perlindungan Data Peribadi melindungi maklumat peribadi pengguna daripada penyalahgunaan oleh pihak yang tidak bertanggung jawab.

Penguatkuasaan melalui agensi khusus seperti CyberSecurity dan SKMM memainkan peranan penting dalam penguatkuasaan dan pemantauan jenayah ini. Agensi-agensi ini menyediakan khidmat nasihat, sokongan teknikal, dan pemantauan aktiviti siber. Sebagai contoh, CyberSecurity menyediakan perkhidmatan respons insiden siber untuk membantu mangsa serangan siber.

Kerajaan turut melaksanakan kempen kesedaran dan pendidikan untuk meningkatkan pengetahuan masyarakat mengenai risiko jenayah siber dan langkah-langkah pencegahan. Program seperti ‘CyberSAFE’ bertujuan mendidik orang ramai mengenai keselamatan dalam talian. Contohnya, kempen ini mengajar pengguna cara mengenali dan mengelakkan serangan pancingan data.

Kerajaan juga melaksanakan langkah proaktif dengan bekerjasama dengan negara-negara lain dan organisasi antarabangsa untuk menangani jenayah siber yang bersifat merentasi sempadan. Ini termasuk perkongsian maklumat risikan, teknik forensik siber dan penyelarasan operasi penguatkuasaan. Contohnya, Malaysia adalah ahli kepada Forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC) yang bekerjasama dalam isu keselamatan siber.

Kerajaan turut melabur dalam teknologi dan penyelidikan untuk membangunkan alat-alat dan teknik baharu dalam memerangi jenayah siber.

Bahkan universiti dan institusi penyelidikan diberi dana untuk menjalankan kajian mengenai ancaman siber dan kaedah pencegahan. Dengan melaksanakan langkah-langkah ini, kerajaan dapat memainkan peranan yang berkesan dalam menangani dan melindungi kesejahteraan kewangan rakyat.

Ironinya, jenayah kewangan siber adalah ancaman serius yang boleh menghancurkan keharmonian kewangan isi rumah.

Hal ini kerana, keharmonian kewangan isi rumah adalah penting untuk kestabilan mahupun kesejahteraan keluarga dan pengesanan awal simptom jenayah kewangan siber serta langkah berjaga-jaga dapat membantu melindungi diri daripada ancaman ini.

Maka, setiap individu perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk melindungi kewangan dan maklumat peribadi mereka, demi memastikan keharmonian kewangan yang berterusan.

Oleh itu, kefahaman dan penguasaan sistem maklumat kewangan peribadi merupakan kunci utama benteng memerangi jenayah kewangan siber daripada terus membarah dan menjejaskan keharmonian ekosistem kewangan isi rumah.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Azwan Abdullah ialah Ketua Bahagian Jaringan dan Data Raya, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kemiskinan (InsPeK), Fakulti Keusahawan dan Perniagaan, Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

MUHAMMAD Zariq Naqiuddin Zaid ialah Pegawai Penyelidik, Institut Penyelidikan dan Pengurusan Kiskinan (InsPeK), Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×