PETALING JAYA: Selepas mara ke dua perlawanan akhir berturut-turut, pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia mendapat perhatian bekas jurulatih remaja kebangsaan, Kwan Yoke Meng.
Yoke Meng mengakui peningkatan yang amat ketara pada bekas anak didiknya itu berikutan aksi yang disajikan dalam gelanggang untuk menjadi juara Terbuka Thailand serta naib juara di laman sendiri ketika Malaysia Masters 2024.
Katanya, prestasi yang mengujakan ini menandakan perkara positif bagi anak jati Kedah itu dalam usaha membawa pingat emas pertama negara di Sukan Olimpik Paris 2024.
Beliau berkata, Zii Jia menunjukkan peningkatan dari segi mood agresif ketika bermain terutamanya mengembalikan corak permainan menyerang yang merupakan kelebihan pemain itu sejak dahulu lagi.
“Sekarang kita boleh lihat banyak perubahan dalam permainannya, terutamanya gaya permainan menyerang. Sebelum ini, dia seolah-olah cuba memperbetulkan kelemahannya namun terlupa cara untuk mendapatkan mata.
“Sebenarnya, kekuatannya terletak pada jentera serangan yang penting untuk mendapatkan mata banyak untuknya. Beliau juga perlu ambil berat dalam aspek pertahanan serta ketika di depan jaring. Semuanya perlu dititik beratkan,” katanya.
Yoke Meng sebelum ini merupakan jurulatih Zii Jia semasa berada dalam skuad remaja.
Dalam pada itu, Yoke Meng mempercayai kem badminton negara masih kekal menjadi penyumbang pingat kepada kontinjen Malaysia ketika Sukan Olimpik Paris Julai ini,
Menurutnya, prospek pingat masih lagi mampu digalas menerusi Aaron Chia-Soh Wooi Yik dalam acara beregu lelaki biarpun diherdik berikutan prestasi ‘yo-yo’.
“Kita lihat harapan kita terletak kepada Zii Jia dan Aaron-Wooi Yik. Dari mata kasar sudah jelas acara perseorangan dan beregu lelaki merupakan prospek pingat negara.
“Bagaimanapun, semua orang ada peluang untuk menang. Pemain Malaysia turut berpeluang kerana mereka hanya perlu masa yang sesuai untuk mencapai tahap kemuncak serta keadaan mental perlu dalam tahap terbaik,” katanya.
Untuk rekod, pada Olimpik edisi lalu di Tokyo, sukan badminton menyumbang pingat gangsa kepada kontinjen Malaysia menerusi Aaron Chia- Soh Wooi Yik pada penampilan sulung mereka. – UTUSAN










