BOLOGNA: Penyandang juara, Itali menamatkan permainan dengan hampa selepas diikat seri tanpa jaringan menentang Turkiye dalam aksi persahabatan menjelang sepak mula Kejohanan Eropah (Euro 2024) pertengahan bulan ini.
Pasukan bimbingan Luciano Spalletti gagal memecah kebuntuan dalam 90 minit permainan melayan kubu ampuh Turkiye.
Itali akan menghabiskan satu lagi aksi pemanas badan menentang Bosnia Herzegovina sebelum berkampung di Jerman.
Azzuri akan membuka kempen menentang Albania dalam saingan Kumpulan B yang turut dianggotai Sepanyol dan Croatia.
Sementara Turkiye yang dibimbing bekas pemain Itali, Montella akan menentang Poland dalam persahabatan minggu ini.
Turkiye akan membuka kempen menentang Georgia dalam aksi pertama Kumpulan F sebelum menyusul perlawanan kedua menentang Portugal dan Republik Czech. – AFP/UTUSAN










