ISKANDAR PUTERI: Juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan tugas sukar untuk menambat skuad Tok Gajah apabila menang 3-0 pada aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini hari ini.
Penyerang kelahiran Brazil, Heberty Fernandes muncul wira Harimau Selatan apabila meledak hatrik pada perlawanan itu walaupun Hector Bidoglio merehatkan dua lagi penyerangnya Fernando Forestieri dan Bergson Da Silva.
Fernandes meletakkan JDT di depan seawal minit keempat sebelum bersambung babak kedua dengan jaringan kedua muncul pada minit ke-66 dan melengkapkan hatrik ketika perlawanan sebenar berbaki empat minit sebelum tamat.
Pengendali Pahang, Fandi Ahmad yang membawa masuk Sergio Aguero bagi mengubah nasib Tok Gajah hampir mengejutkan pasukan tuan rumah menerusi rembatan derasnya pada minit ke-65 tetapi singgah di sisi gawang tuan rumah.
JDT hampir menambah jaringan apabila Romel Morales hampir memahatkan namanya dalam senarai penjaring, namun gagal memanfaatkan hantaran silang Arif Aiman Hanapi pada minit ke-85.
Empat minit sebelum masa perlawanan sebenar tamat, Fernandes melengkapkan jaringan hatrik setelah menghukum kesilapan penjaga gawang Sri Pahang FC, Zarif Irfan Hashimuddin dengan memintas hantaran pendeknya sebelum menolak bola ke dalam gawang lawan. – UTUSAN










