BARU-BARU ini media mendedahkan rakyat Malaysia memakan secara purata 0.5 gram mikroplastik setiap hari per kapita.
Angka 0.5 gram sehari juga meletakkan Malaysia di kedudukan tertinggi di antara 109 negara dalam pengambilan mikroplastik (bahan plastik lebih kecil daripada 5 milimeter (mm).
Pendedahan itu diterbitkan oleh penyelidik dari Cornell University pada 24 April lalu dalam jurnal Environmental Science & Technology, kajian ini mengira pengambilan mikroplastik per kapita melalui diet dan udara berdasarkan data dari 1990 hingga 2018.
Laporan itu menyatakan bahawa lebih 50 peratus pengambilan mikroplastik di Malaysia berasal daripada pengambilan ikan. Walau bagaimanapun, sesetengah pihak mempersoalkan fakta mengenai ikan dan makanan laut Malaysia mengandungi mikroplastik.
Setakat ini, tidak dapat dinafikan bahawa mikroplastik mencemari hampir semua persekitaran, termasuk bahan makanan dan haiwan akuatik dalam rantaian makanan.
Menurut kajian berkenaan ikan komersial seluruh dunia, 56.5 peratus sampel ikan didapati tercemar dengan mikroplastik, menurut Reviews on Environmental Health. Terdapat juga kajian daripada Science of the Total Environment, Marine Pollution Bulletin dan Malaysian Journal of Analytical Sciences yang melaporkan bahawa ikan dan makanan laut lain dari kawasan pantai Malaysia mengandungi mikroplastik seperti polietilena, polipropilena, PET).
Walaupun pencemaran mikroplastik marin telah banyak didokumentasikan, namun kita juga memerlukan lebih banyak penyelidikan untuk memahami kesannya terhadap kesihatan manusia.
Banyak kajian juga menunjukkan mikroplastik boleh memasuki tisu manusia termasuk paru-paru, darah, dan lain-lain, tetapi bukti klinikal yang kukuh mengenai kesannya terhadap kesihatan masih kurang.
Banyak kajian in vitro pada sel manusia dan kajian haiwan mencadangkan kesan negatif yang berpotensi. Plastik juga mengandungi bahan tambah yang berpotensi toksik seperti pengisi, pewarna, dan penstabil, yang dilepaskan ke dalam alam sekitar dan dimakan oleh manusia.
Analisis data dari pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti Persatuan Pendidikan Laut, menunjukkan pengeluaran sisa plastik per kapita di Malaysia adalah 67.1 kilogram (kg) setiap orang untuk setiap tahun. Berdasarkan data itu telah meletakkan negara ini pada kedudukan keenam di dunia.
Kajian ini juga menganalisis penghasilan sisa plastik per kapita pada 2016 akibat pengurusan yang tidak baik. Rakyat Malaysia menghasilkan 1.23 kg sisa plastik setiap orang pada setiap hari akibat amalan pelupusan yang tidak betul selain data itu meletakkan Malaysia di kedudukan keempat di dunia, menurut Science Advances.
Sementara kajian lain dari Delft University of Technology di Belanda yang dipetik dari Science Advances menunjukkan bagaimana pengurusan dan penguatkuasaan yang lemah di negara-negara tertentu dan tabiat pelupusan sampah yang tidak terkawal oleh orang awam dan industri ke dalam sungai menyebabkan pengumpulan sisa plastik yang berterusan di persekitaran laut.
Pasukan Belanda tersebut menggunakan data global mengenai sisa plastik, taburan geografi sungai dan data persekitaran lain selain mengira kebarangkalian sisa plastik memasuki lautan dari sungai.
Dapatan mendapati lebih 80 peratus pelepasan sisa plastik tahunan global didapati berasal dari lebih 1,000 sungai, dengan pelepasan tahunan sehingga 2.7 juta tan metrik.
Dapatan juga mendapati lima sungai di negara ini berada di kedudukan 50 sungai teratas di dunia dengan pelepasan plastik tertinggi iaitu Sungai Klang ( keempat, Sungai Sarawak (ke-22), Sungai Langat (ke-27), Sungai Kelantan (ke-41) dan Sungai Kuantan (ke-47).
Sementara dari segi peratusan sisa plastik dari sungai yang akhirnya berakhir di lautan, Malaysia menduduki tempat pertama di dunia, dengan sembilan peratus sisa plastik memasuki lautan. Dari segi pelepasan per kapita pula, negara ini menduduki tempat kedua di dunia dalam sisa plastik, dengan 2,215 tan metrik sisa plastik setiap juta orang.
Berdasarkan semua maklumat dan data di atas, maka tidak sukar untuk memahami mengapa rakyat Malaysia menjadi ‘pemakan plastik terunggul di dunia’.
PENDIDIKAN
Oleh itu, tiada cara lain selain usaha pendidikan yang lebih besar dan berleluasa diperlukan daripada kedua-dua sektor awam dan swasta untuk meningkatkan kesedaran tentang pencemaran mikroplastik.
Setiap rakyat mesti menyumbang kepada pengurusan sisa plastik dan mengurangkan penggunaan plastik untuk melindungi kesihatan dan alam sekitar.
Sebagai rakyat biasa, mari kita mulakan hari ini dengan mengatakan ‘tidak’ kepada penyedut minuman dan beg plastik serta tabiat buruk membuang sampah merata-rata.-UTUSAN
DR. Song Beng Kah ialah Profesor Madya di Sekolah Sains, Universiti Monash Malaysia.










