MUKADIMAH
KEGUSARAN sesetengah pihak kononnya kewujudan DAP dalam kerajaan akan merencatkan keistimewaan Islam sebagai agama Persekutuan, hak keistimewaan Melayu dan bumiputera serta bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan sepatutnya tidak lagi menjadi pertikaian kerana parti itu sudah pun mengiktiraf perkara asas Perlembagaan tersebut.
Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, SYAHREDZAN JOHAN memberi keyakinan parti itu tidak akan sesekali menyentuh perkara-perkara yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan ia terbukti sepanjang pentadbiran Kerajaan Perpaduan dan juga semasa Kerajaan Pakatan Harapan (PH).
Kepada wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan jurufoto MUHAMAD IQBAL ROSLI, beliau yang juga Ahli Parlimen Bangi memberitahu disebalik isu berulang dimainkan untuk menjatuhkan DAP, parti itu sebaliknya menerima penambahan ahli Melayu sekali gus menafikan dakwaan parti ini ditolak oleh kaum utama di negara ini.
PERKEMBANGAN MANIFESTO PILIHAN RAYA UMUM (PRU)
Manifesto saya untuk menjadikan Bangi bandar yang sejahtera. Maksudnya perlu fokus kepada perkara asas untuk hidup dalam satu bandar. Contohnya kita perlu pastikan jalan mempunyai lampu atau jika ada pembangunan, perlu pastikan jalan itu dapat menampung pembangunan.
Jadi fokus saya dalam dua tahun ini untuk cuba selesaikan isu asas. Tahun lalu, kita tukar lampu-lampu lama, kita bagi juga peruntukkan untuk memasang lampu baharu di Jalan Bangi Lama.
Tahun ini fokus kepada sekolah kerana kebanyakan sekolah di sini tidak cukup kelengkapan asas seperti kerusi, meja dan kadang-kadang kelas tidak cukup tetapi murid semakin bertambah. Dengan peruntukkan yang diterima, kami mahu bantu sekolah-sekolah ini mendapat kelengkapan sewajarnya.
Dalam masa sama saya juga beri penekanan kepada isu kesihatan mental. Yang mana kita tahu kawasan urban seperti Bangi, memang isu ini menjadi begitu penting dan sebenarnya kita tidak cukup pakar psikiatri. Jadi untuk membawa perkara ini, saya pernah bertanyakan di Parlimen tentang keperluan untuk fokus kesihatan mental penduduk bandar.
Saya tidak risau sangat tentang kesesakan di Bangi semasa bulan Ramadan kerana ia berlaku ketika itu sahaja dan menunjukkan kawasan ini didatangi oleh orang luar tetapi aduan yang selalu diterima adalah dari Alam Sari ke Jalan Reko.
Jika ikut penilaian majlis (Majlis Perbandaran Kajang, MPKJ), laluan ini mendapatkan skor E, iaitu teruk. MPKJ memang ada perancangan untuk jangka panjang tetapi penyelesaian sebenar tentang isu ini bukan sekadar melebarkan jalan atau membina lebih banyak lebuh raya tetapi memberi penekanan kepada pengangkutan awam.
MELAYU TOLAK PARTI MELAYU
Walaupun saya ahli pemimpin DAP, tetapi kita tidak boleh kata bahawa peningkatan sokongan orang Melayu di Kuala Kubu Baharu (KKB) disebabkan DAP. Saya fikir banyak faktor juga dan tidak boleh tolak tepi antaranya adalah kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) yang menyumbang kepada peningkatan ini.
Dalam masa sama, kami melihat terdapatnya sokongan orang Melayu kepada DAP, bukan baru-baru ini tetapi sudah berlaku dalam tempoh 10 hingga 15 tahun lepas dengan peningkatan ahli.
Tetapi saya fikir di KKB ada beberapa perkara positif yang boleh diambil sebagai motivasi seperti pertamanya peningkatan sokongan orang Melayu, Orang Asli dan undi awal yang buat kita menang. Ini adalah perkara-perkara yang sebelum ini tidak pernah terjadi.
Jadi, perkara-perkara begini menunjukkan sebagai satu kerjasama politik, kita masih boleh menang pilihan raya dan kita masih dapat mengekalkan sokongan tradisi kita daripada kaum Cina dan India.
PARTI MELAYU TIDAK LAGI RELEVAN
Saya rasa tidak sebab dalam kerjasama ini kita ada UMNO yang merupakan parti orang Melayu. Tidak bolehlah kata kita menolak parti-parti Melayu atau signal terdapatnya penolakkan terhadap Perikatan Nasional (PN) sebab mereka mendapat sokongan majoriti orang Melayu dalam KKB tetapi peningkatan (undian DAP).
Itu yang memberi motivasi dan indikator positif buat kita sebab ia datangnya daripada demografi yang mana sebelum ini merasakan tidak memberi sokongan kepada Pakatan Harapan (PH) atau Kerajaan Perpaduan. Tetapi sekarang sudah ada peningkatan walaupun mungkin tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya boleh gunakan sebagai landasan untuk membina sokongan yang lebih utuh di masa hadapan.
SOKONGAN ORANG MUDA
Secara umumnya kita melihat sokongan orang muda tidak berpihak kepada PH tetapi Melayu yang masuk DAP itu kalau kita tengok kebanyakannya orang muda. Itu menandakan ada tarikan parti ini kepada anak muda Melayu yang mana itu boleh kita jadikan platform untuk membina sokongan yang lebih kuat di masa depan.
JENAMA DAP
Satu saya fikir DAP ini ada ‘jenama’ yang mana wakil rakyat, ahli majlis terdiri daripada mereka yang boleh buat kerja. Mereka menyelesaikan isu-isu berbangkit kerana itu ia menjadi daya menarik anak-anak muda sebab mereka mahu pemimpin yang bukan hanya bercakap tetapi buat kerja juga.
Kedua, peluang kepada anak-anak muda. Saya fikir rekod penilaian kami ini boleh dilihat dalam banyak aspek contohnya di KKB, kita beri peluang kepada wanita muda untuk bertanding walaupun tiada pengalaman sebagai ahli majlis tetapi diberi tanggungjawab, mandat untuk bawa panji-panji kerajaan dalam pilihan raya kecil (PRK) dan menang.
KEPELBAGAIAN MELAYU DALAM DAP
Banyak lapisan kepelbagaian termasuk bidang profesional seperti peguam, doktor, jurutera dan sebagainya. Ada juga yang bekerja sendiri, ada yang duduk di luar bandar mahupun di bandar. Tidak perlu ada satu kategori sahaja yang mengatakan inilah golongan Melayu yang menyokong DAP. Ia ada kepelbagaian dan semakin ramai ahli Melayu masuk DAP, semakin parti ini terdapat pelbagai jenis Melayu yang ada.
Mahu kata ustaz, kita ada orang seperti Sheikh Umar Ali yang memiliki ilmu tentang agama yang tinggi.
PENYOKONG DAP DIANGGAP LIBERAL
Kita dahulu menerima maklumat satu hala sahaja iaitu dari pihak kerajaan dan itulah maklumat yang sebenar-benarnya tetapi sekarang apabila ada media sosial, kerajaan menjadi salah satu daripada jutaan ‘saudagar’ maklumat. Kerajaan pula perlu bersaing dengan entiti lain dan netizen untuk menyampaikan maklumat.
Dalam situasi ini, satu naratif sahaja tidak boleh mendominasi perbincangan dalam media sosial termasuk yang kata DAP ini komunislah, apa lah. Itu akan ada orang Melayu yang akan memperbetulkan kesalahan fakta tersebut atau mengatakan ia fitnah, mengarut atau sebagainya.
Anak-anak muda tidak hanya menerima sahaja maklumat yang diterima tetapi ada cara untuk periksa semula sama ada betul atau tidak.
TUNTUTAN BERASAS
Saya tidak lihat ada pencanggahan. Sudah tentu ada kedudukan istimewa orang Melayu, Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Itu perkara yang dipersetujui, bahkan sudah diiktiraf lama dulu.
Saya tahu ada cadangan untuk wujudkan Kampung Baharu Cina sebagai tapak warisan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) tetapi kita tidak boleh melihat itu sebagai satu tuntutan daripada sesiapa. Itu adalah cadangan menteri untuk mendapatkan pengiktirafan tersebut.
Kepentingan orang Melayu tidak pernah dan tidak patut menindas atau menolak kepentingan kaum-kaum lain sebab dalam Perlembagaan pun ada kata dalam Perkara 153.
Akhirnya perlu terima Malaysia diduduki banyak bangsa, agama yang memberi kekuatan kepada dan bukannya melemahkan.
MELAYU BONEKA DAP
Kalau betul begitu, orang seperti saya tidak akan diberi peluang bertanding apatah lagi Bangi sebelum ini ditandingi calon Cina.
Kalau tengok dalam PRU lepas, ahli Parlimen Melayu (DAP) daripada satu sudah melonjak tiga, kemudian yang bertanding pun paling ramai Melayu di peringkat Parlimen. Walaupun tidak semua menang, tetapi parti ini memberi peluang. Kita sebenarnya tidak kekurangan calon-calon Melayu untuk diketengahkan.
Ini adalah tohmahan yang dilemparkan untuk memberikan imej negatif. Mereka sebenarnya takut serangan mereka dahulu sudah jadi tumpul jika semakin ramai Melayu masuk DAP.
Bila ramai Melayu menunjukkan ada tarikan, bila ada tarikan maknanya sokongan untuk parti-parti lain dibawa ke DAP.
Di peringkat majlis contohnya, di Kajang sudah ada dua daripada sembilan ahli majlis DAP Melayu.
Kalau mengikut analogi bola sepak, strength in depth maksudnya kalau ada orang cedera, ada orang boleh ganti. Kami Melayu dalam DAP bukan hanya bergantung pada Young Syefura Othman, Sheikh Umar tetapi ada pelapis-pelapis lain yang boleh menggantikan atau menguatkan lagi sayap pimpinan parti.
PERBEZAAN PANDANGAN
Kalau tolak tepi Ketua Pemuda UMNO, Dr. Muhamad Akmal Saleh, yang lain tiada masalah. Mungkin ada perbezaan pendapat dan sebagainya tetapi kita uruskan dengan berhemah. Kalau tidak setuju, kita keluarkan kenyataan, bantah ataupun mungkin duduk semeja selesaikan. Dalam kalangan bukan menteri, ada hubungan yang baik sekali seperti dengan Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan BBC yang juga Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd. Shahar Abdullah.
Beliau memimpin dengan baik sekali. Apa-apa isu berbangkit dapat diselesaikan dengan baik. Dia adalah seorang ahli UMNO tetapi tiada masalah untuk saya borak, berbincang dan beliau maklumkan kepada saya isu-isu yang berbangkit dan sebagainya, tiada masalah.
Kerjasama antara parti-parti komponen sebenarnya tiada halangan besar untuk teruskan bersama. Kita perlu ingat dalam demokrasi tidak boleh semua orang setuju. Kita juga perlu ingat bahawa dua blok ini sebelum ini seteru, sekarang bersama.
Jadi, sudah tentu ada pandangan berbeza. Contohnya kerjasama saya dengan UMNO Bangi sangat baik sekali. Apa-apa masalah mereka akan maklumkan kepada saya, Seperti Ketua Pemuda UMNO Bangi jika ada isu seperti kebakaran, telefon sahaja saya, lihat apa yang boleh tolong, kemudian hantar untuk tolong, tiada masalah.
Kerjasama di peringkat akar umbi, kemudian ke kerusi lebih tinggi sehingga jemaah menteri, saya tidak nampak apa-apa isu di situ. Saya dengar semua lancar sahaja.
SUKAR SELESAI ISU IKUT CARA ISLAM
Tidak pernah pun sebelum ini saya terkekang kerana tidak ramai Melayu dalam DAP. Kita sebagai ahli Parlimen akan suarakan dan yang paling penting sekali ahli memahami keperluan untuk menyuarakan beberapa isu yang mungkin menyentuh tentang kepentingan orang Melayu dan Islam.
Bila saya suarakan (sesuatu isu) tidak pernah terima kritikan sebab mereka tahu sebagai ahli Parlimen, saya ada tanggungjawab untuk bangkitkan isu-isu.
Tiada sebab untuk kata bangsa kita sukar bersuara hanya kerana tidak ramai Melayu dalam parti.
IKON ISLAM
Kenapa perlu ada orang seperti Pas untuk mempertahankan Islam? Adakah saya sebagai orang Islam tidak boleh pertahankan agama itu? Kita terperangkap dengan polemik yang dirangka oleh pihak sana. Pihak sana kata, kalau ingin perjuangkan Islam perlu pakai serban, ada janggut. Tak semestinya.
Macam saya kata, kalau cari ustaz yang memiliki pengetahuan agama, kita ada Sheikh Umar, dia boleh berdebat dengan mana-mana pemimpin Pas dalam hal Islam. Saya pun sudah tentu boleh suarakan. Saya pun orang Islam, orang Melayu. Tak cukup Islam ke saya untuk bercakap tentang agama?
Kita jangan terperangkap dengan polemik bahawa hanya ustaz boleh bercakap tentang Islam, hanya orang Pas sahaja boleh bercakap tentang Islam, tidak. Itu polemik politik rangkaan mereka.
Kalau saya jadi imam solat, sah tak? Apa isunya? Nak kata di bawah DAP, Islam tidak terjaga dan sebagainya, kita sudah menjadi kerajaan dua kali, tiada perbezaan pun. Apa yang termaktub dalam Perlembagaan tidak disentuh langsung dan kalau takut sangat dengan DAP, kita ada cukup ahli-ahli Melayu, pemimpin Melayu yang akan mempertahankan apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Adakah saya kurang Melayu, kurang Islam hanya kerana saya DAP? Tidak.
PERSEDIAAN PRK
Semua kerusi yang akan diadakan PRK termasuk kemungkinan enam kerusi ahli Parlimen Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukan kerusi DAP (sebelum ini). Ini semua bergantung kepada perbincangan, kita akan beri sokongan kepada mana-mana calon Kerajaan Perpaduan, sama seperti parti-parti lain memberi sokongan kepada calon DAP di KKB.
Sungai Bakap ialah satu kawasan yang berpotensi besar untuk kita menang semula. Jika lihat calon PN sebelum ini pun, menang tidak besar, hanya 1,000 lebih. Kita perlu kerja keras dari sekarang.
Cuma perlu lihat bagaimana isu-isu seperti subsidi diesel dimainkan. Walaupun (subsidi diesel) tidak membantu (kempen) tetapi ia menunjukkan komitmen Perdana Menteri. Jika Datuk Seri Anwar Ibrahim fikir mahu menjadi Perdana Menteri selepas penggal ini, beliau tidak akan sentuh isu ini, beliau akan buat benda popular tetapi beliau lakukan walaupun sedar mengundang kemarahan.
Ini kerana beliau fikirkan ia perlu dilaksanakan untuk Malaysia, tidak perlu pun tunggu PRK Sungai Bakap. Kita akan lihat sejauh mana sebenarnya isu-isu seperti ini akan memberi kesan kepada satu PRK untuk satu DUN (Dewan Undangan Negeri) yang sebenarnya merangkumi isu-isu tempatan tetapi bagaimana isu nasional mempengaruhi.
HARAPAN
Politik ini tiada jaminan, kita tidak tahu sama ada akan dicalonkan semula atau boleh menang lagi tetapi dalam masa lima tahun yang diberi mandat ini, saya mahu laksanakan tanggungjawab dengan sebaik mungkin. Saya tidak rasa apa yang sudah kita laksanakan sempurna tetapi berharap dalam tempoh ini apabila orang jumpa saya akan kata “terima kasih YB (Yang Berhormat) untuk apa yg dibuat selama ini.” Ini sahaja sudah mencukupi untuk saya merasakan telah melaksanakan tanggungjawab dan amanah yang diberikan dengan sebaik mungkin.
Dalam satu program, saya didatangi individu yang beritahu dia menghargai apa yang saya buat untuk Parlimen Bangi walaupun merupakan penyokong belah sana. Itu satu penanda orang hargai apa yang kita buat selama ini.-UTUSAN










